Bangga PMX tonton teater Haji Murat, Che Kem akui berdepan cabaran bawa watak pejuang Islam Chechen itu

Pementasan teater yang diangkat dari karya novel sasterawan terkemuka Russia, Leo Tolstoy sarat dengan falsafah, pemikiran serta aspek sosiologi, antropologi serta politik

3:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pelakon Che Kem atau Kamarulzaman Taib mengakui bangga apabila Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat meluangkan masa menonton pementasan teater Haji Murat yang diangkat daripada novel karya sasterawan besar Russia, Leo Tolstoy.

Bercakap kepada Scoop, Che Kem yang memegang watak utamanya iaitu Haji Murat, seorang tokoh pejuang Islam bangsa Chenchen berkata, dia sama sekali tidak menyangka PMX (Anwar) sendiri mengetahui dan mendalami karya naskhah itu serta turut mengajak masyarakat menonton dan mendukung seni teater tempatan.

Che Kem sama sekali tidak menyangka Perdana Menteri sendiri mengetahui dan mendalami karya naskhah Haji Murat serta turut mengajak masyarakat menonton dan mendukung seni teater tempatan – Gambar Unit foto DBP, 28 Jun, 2024

“Bagi saya, ia suatu perkara yang amat positif dan sokongan diberikan PMX cukup baik sekali dan ia memberikan petanda bahawa teater bukan sekadar hiburan dan bukan hanya dikhususkan untuk orang seni semata-mata.

“Apatah lagi bila pementasan teater Haji Murat ini benar-benar menterjemahkan semua aspek yang terdapat di dalam karya novel tersebut tanpa melakukan sebarang penambahan atau pengubahsuaian.

“Berbeza dengan apa dilakukan dalam karyawan filem daripada Hollywood dan Russia apabila mereka mengangkat kisah Haji Murat dalam filem The White Warriors dan The White Devils. Mereka punya interpretasi berbeza terhadap karya novel ini,” katanya.

Mengulas mengenai watak dibawanya, Che Kem berkata, cabaran besar dihadapinya adalah dari sudut mengadaptasi pola berfikir Haji Murat yang nyata jauh berbeza dengan alam persekitaran dan budaya Malaysia.

Bangga apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah, hadapan) sempat meluangkan masa untuk menonton pementasan teater Haji Murat, Che Kem berkata ia memberikan petanda bahawa teater bukan sekadar hiburan. Turut dilihat hadir, dari kiri hadapan, Fadhlina Sidek, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Fahmi Fadzil – Gambar Che Kem, 28 Jun, 2024

“Yang mendekatkan kita dengan Haji Murat adalah kerana dia seorang Muslim. Seorang lelaki yang penuh perikemanusiaan serta pejuang yang mempertahankan tanah airnya. Sama seperti pejuang Islam di tanah air lain.

“Tetapi, perilaku, gesture (gerak isyarat) dan perwatakannya berbeza. Apatah lagi dia berbangsa Chechen dan kita tidak pernah didedahkan dengan budaya bangsa itu sendiri.

“Dalam pementasan teater ini, ada banyak babak yang saya perlu bersikap under control (di bawah kawalan) dengan gerak laku, gesture dan percakapan saya. Tetapi pada babak monolog, misalnya, saya perlu melahirkan emosi dengan cara lebih ekspresif,” katanya.

Selain pernah mendengar sediri pembentangan kertas kerja daripada Sasterawan Negara, Datuk Anwar Ridhwan mengenai Haji Murat, Che Kem membuat kajian sendiri untuk mendalami watak ini – Gambar unit foto DBP, 28 Jun, 2024

Biarpun tidak pernah terdedah dengan karya novel itu, Che Kem berkata, dia bersyukur kerana pernah mendengar sendiri pembentangan kertas kerja daripada Sasterawan Negara, Datuk Anwar Ridhwan mengenai Haji Murat sekitar 2021.

“Saya pernah melihat dan mendengarnya tetapi tidak sangka pula saya yang dipilih membawakan watak ini.

“Sebaik sahaja saya mendapat skripnya, saya turut membuat kajian sendiri untuk mendalami watak ini,” katanya.

Pementasan teater Haji Murat yang ditulis Anwar Ridhwan dan diarahkan secara bersama oleh A Wahab Hamzah dan Aris Othman berlangsung selama empat hari di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermula 26 hingga 29 Jun ini.

Selain Che Kem, teater Haji Murat turut membariskan pelakon teater hebat seperti Rosdeen Suboh, Badrul Tahir, Ard Omar, Rasdi Daud, Saiful Ghaz, Helmi, Faez Salleh, Khai Sabri dan ramai lagi. – 28 Jun, 2024

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Zii Jia management, BAM should have kept mum on image rights, says sports analyst

Mohd Sadek Mustafa says such deals the norm among athletes

Related