Boikot atau tidak, netizen berbalah penganjuran konsert Bruno Mars

Perdebatan timbul apabila Bruno Mars menyanyikan lagu klasik mereka 'I love you' dalam bahasa Hebrew di depan lebih 60,000 peminat Israel di Tel Aviv tahun lalu

4:33 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Berita kedatangan penyanyi terkemuka antarabangsa, Bruno Mars yang bakal menjayakan konsert solonya di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 17 September ini mencetuskan perbalahan dalam kalangan netizen.

Apatah lagi kehadiran Bruno Mars ketika menjayakan persembahan di Tel Aviv baru-baru ini sambil menyanyikan lagu I Love You dalam bahasa Ibrani mengundang kontroversi, ditambah pula dengan kenyataannya meluahkan rasa cinta kepada Israel.

Sedangkan sebelum persembahannya itu berlangsung, Bruno Mars menerima tekanan hebat daripada pergerakan Boycott Divestment and Sanctions (BDS), termasuk kumpulan advokasinya, Jewish Voice for Peace (JVP) agar segera membatalkan konsert di wilayah jajahan haram tersebut.

Ada netizen yang menzahirkan pendapat bahawa isu boikot terhadap rezim zionis Israel dan produk-produk mereka tidak seharusnya dikaitkan dengan mana-mana artis yang membuat konsert di negara ini atau di mana sahaja.
 
Ada pula yang beranggapan sebaliknya dan menggesa agar konsert Bruno Mars dibatalkan dan penyanyi itu juga harus diboikot kerana secara terang-terangan menunjukkan dirinya adalah pro-Israel.
 
Tidak kurang juga yang menyatakan tindakan Bruno Mars itu bukanlah satu bukti kukuh bahawa dia adalah pro-Israel, sebaliknya ia adalah kata-kata standard yang sering diucapkan artis di setiap lokasi konsert.
 
Apapun, Live Nation Malaysia menerusi hantaran media sosialnya semalam memaklumkan mengenai kedatangan Bruno Mars di negara ini selepas enam tahun dan jualan tiket konsert yang akan mula dibuka Jumaat depan.

“Bruno Mars akan datang ke Kuala Lumpur, September ini.

“Tidak sabar mahu berkongsi pengalaman persembahan lagu 24K Magic secara langsung,” tulis Live Nation Malaysia.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata peminat terkejut dan teruja dengan pengumuman itu memandangkan Malaysia sebelum ini tidak tersenarai sebagai lokasi konsert jelajahnya di Asia Tenggara.

Sebelum ini, Bruno Mars dijadual menjayakan konsert di Taiwan pada 8 September, diikuti Indonesia selama dua hari pada 13 dan 14 September.

Kali terakhir penyanyi kelahiran Hawaii, Amerika Syarikat (AS) itu beraksi di Malaysia adalah enam tahun lalu menerusi konsert jelajah Bruno Mars 24K Magic pada 11 April 2018.

Bruno Mars yang memiliki banyak lagu hits seperti Grenade, Just The Way You Are, Count On me, The Lazy Song, That’s What I Like dan UpTown Funk adalah penyanyi kedua yang berjaya memenangi Anugerah Grammy bagi kategori  ‘Record Of The Year’ untuk tiga tahun berturut-turut. – 23 Jun, 2024

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Rape allegations at centre of preacher Zamri Vinoth’s defamation trial

Witness for defence claims in her testimony that preacher had raped her at his Rahang home in 2018

Related