Giliran Mek Mulung pula dipentaskan di festival antarabangsa: Rosminah Tahir

Seni warisan itu akan dipentaskan di festival antarabangsa CIOFF yang menjadi rakan rasmi Unesco pada 2025

9:02 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sejak meraih pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di bawah senarai warisan budaya tidak ketara yang perlu dilindungi pada hujung tahun lalu, usaha melestarikan Mek Mulung terus dipergiatkan agar ramai menyedari kewujudan seni warisan yang berasal dari Kedah ini.

Aktivisi seni budaya, Rosminah Tahir merangkap Timbalan Presiden Majlis Antarabangsa Festival Dan Pertubuhan Kesenian Rakyat (CIOFF) berkata, pihaknya sudah menyediakan beberapa perancangan bagi memperkenalkan Mek Mulung kepada kumpulan kesenian sedia ada di setiap negeri menerusi bengkel latihan yang disediakan.

“Usaha ini dilakukan supaya mereka boleh memahami apa itu Mek Mulung dan menggerakkan seni teater tradisional yang semakin pupus ini, sekali gus mengembangkannya kepada orang ramai dan generasi muda supaya mereka dapat mengenali keunikannya.

“Sebelum ini, kita sudah pun menggerakkan beberapa seni warisan rakyat lain seperti Wayang Kulit, Bangsawan serta Mak Yong dengan bantuan waris terakhir mereka. Ada yang sudah meninggal dunia seperti Allahyarham Khatijah Awang yang jadi pewaris terakhir Mak Yong.

“Tahun ini, fokus dan tumpuan kita adalah terhadap Mek Mulung. Kebetulan pula, Unesco sudah pun mengiktirafnya dan pewaris akhirnya pun masih ada. Sebelum kita terlepas, kita perlu jaga seni warisan rakyat ini daripada hilang begitu sahaja,” katanya kepada Scoop.

Timbalan Presiden Majlis Antarabangsa Festival Dan Pertubuhan Kesenian Rakyat, Rosminah Tahir menjelasnya, beberapa perancangan, termasuk bengkel akan diperkenalkan di negeri-negeri bagi mempromosikan Mek Mulung. – Gambar Scoop, 25 April, 2024

Menurut beliau, struktur persembahan Mek Mulung lebih kurang sama dengan Mak Yong yang mana ia mempunyai lakonan, nyanyian, tarian dan muzik.

Bagaimanapun, katanya, busana, bunga tarian dan konsep persembahannya berbeza dan lebih unik, ia menggunakan loghat Kedah sepenuhnya.

Selain itu, Rosminah berkata, pihaknya juga berusaha memberikan ilmu dan pendedahan mengenai seni warisan Mek Mulung ini kepada guru di sekolah.

“Kita mahu guru faham dahulu mengenai seni warisan Mek Mulung ini bagi memudahkan mereka untuk memperkenalkan seni warisan ini kepada pelajar mereka.

“Di sekolah seni, Mek Mulung sudah pun diangkat sebagai kurikulum baharu. Sebelum ini, mereka sudah pun mengangkat seni warisan seperti Wayang Kulit, Dondang Sayang, Bangsawan dan Mak Yong, sebagai kurikulum mereka serta sudah pun memiliki modul dan silibus tersebut,” katanya.

Jelasnya lagi, apa yang cuba dilakukan mereka adalah fasa pertama dalam usaha menyemarakkan dan melestarikan Mek Mulung.

Malaysia mahu membawa Mek Mulung ke festival antarabangsa pada 2025 ketika mesyuarat CIOFF di peringkat Asia diadakan. – Gambar ihsan JKKN, 25 April, 2024

“Apabila kita cuba implementasikan seni warisan Mek Mulung ini daripada akar umbi, ia sememangnya bukan perkara yang mudah. Tapi, ia perlu dilakukan.

“Fasa kedua pula, adalah membawa Mek Mulung ke festival antarabangsa. Sasaran kita adalah 2025 kerana ketika itu kita ada satu mesyuarat CIOFF di peringkat Asia. Dari situ nanti, kita akan persembahkan seni budaya warisan Mek Mulung ini,” katanya.

Rosminah berkata, CIOFF adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang menjadi rakan rasmi kepada Unesco serta mempunyai akreditasi untuk memberikan khidmat nasihat kepada Jawatankuasa Konvensyen Unesco untuk Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara.

“CIOFF bukan hanya terdapat di Malaysia tetapi negara lain yang menjadi ahli dan sudah menjadi menjadi tanggungjawab pertubuhan ini di setiap negara untuk memelihara, mempromosikan dan menyebarkan seni tradisional dan cerita rakyat,” katanya. – 25 April, 2024

Topics

Popular

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

US officials to visit Malaysia over alleged funds to Iran’s drone programme, says report

Washington honing in on claimed flow of money through Southeast Asia

Related