Azizi mahu pertahan Gua Musang jika kerusi kosong, ‘saya mohon PH, BN beri peluang’

Tidak adil sekiranya kerusi itu diberikan kepada orang lain seandainya diisytihar kosong

6:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim nekad bertanding untuk mempertahankan kerusi itu, sekiranya Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menetapkan keputusan ia terpaksa dikosongkan dan pilihan raya diadakan.

Mohd Azizi berkata, jika perlu berdepan situasi itu, beliau akan berusaha meyakinkan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bahawa beliau calon paling layak mempertahankan Parlimen Gua Musang yang kini disandangnya.

“(Jika ada pilihan raya) Memang saya akan minta kepada pimpinan parti PH dan BN untuk memberi peluang kepada saya di Gua Musang. Saya bertanding sebelum ini pun atas tiket Perikatan Nasional (PN) yang pada hakikatnya bukan satu (kerusi) sasaran pada peringkat PN sendiri,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, beliau sudah memulakan kerja untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan itu sebelum ini sejak 2020, sehingga meraih kemenangan.

Sepanjang tempoh beberapa tahun itu, katanya, beliau menjalankan pelbagai aktiviti sebagai usaha memenangi hati pengundi dan membantu mereka.

Justeru, ujarnya, tidak adil sekiranya kerusi itu diberikan kepada orang lain seandainya diisytihar kosong.

“Sebenarnya kita (PN sebelum ini) tak beri apa-apa fasiliti sebab katanya bertanding di Gua Musang bukan sasaran parti (untuk menang) sebabnya, PN tak ada sejarah (menang di kerusi itu), maksudnya kekebalan (bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah).

“PN sebenarnya tak sasarkan saya (menang), tetapi dua tahun lalu, saya bergelut membuat aktiviti terutama untuk tarik pengundi muda untuk menang.

“Saya bekerja sejak 2020, ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi, kenapa saya nak biarkan kerusi itu kepada orang lain jika berlaku pilihan raya. Insya-Allah saya akan guna alasan ini untuk jumpa pimpinan PH dan BN supaya memberi peluang kepada saya bertanding,” katanya.

Pada 20 Jun lalu, Bersatu mengemukakan notis kepada Johari memohon supaya enam kerusi Parlimen dipegang wakil rakyatnya dikosongkan.

Menerusi satu kenyataan media, Ketua Whip Bersatu yang juga Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, keahlian keenam-enam individu terbabit digugurkan, selepas menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Mohd Azizi, lima Ahli Parlimen itu adalah Datuk Zulkafperi Hanapi (Ahli Parlimen Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Seorang wakil rakyat Bersatu, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari turut dikenakan tindakan sama atas alasan serupa.

Terdahulu, Johari dalam kenyataannya mengesahkan beliau sudah menerima notis daripada Bersatu berhubung keperluan mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen terbabit.

Susulan itu, Johari berkata, keputusan berhubung kedudukan semua wakil rakyat berkenaan akan diputuskan dalam tempoh 21 hari. – 1 Julai, 2024

Topics

Hangat

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Buddhist leader urges calm, constructive actions following offensive football fan posts

He acknowledges that posts were unkind, unprofessional, but no plans to lodge additional police reports

Related