Apakah wajar Malaysia naikkan cukai pelancongan?

Bali bercadang naikkan cukai tersebut bagi mencegah pelancong berkelakuan biadab

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dengan ‘keberanian’ Bali memperkenal cukai pelancongan, malah bakal menaikkan kadar cukai berkenaan tidak lama lagi, ramai beranggapan Malaysia juga wajar melaksanakan tindakan sama atau meningkatkan sistem percukaian sedia ada.

Bukan ‘menidakkan’ kepentingan kehadiran pelancong di negara ini, ia bagi membolehkan kutipan cukai yang diperoleh daripada industri pelancongan dapat dibelanjakan kembali hasilnya untuk kemajuan industri tersebut.

Ia disokong pakar ekonomi, Geoffrey Williams yang melihat cukai pelancongan semasa bukan sahaja tidak mencukupi tetapi juga tidak adil dan tidak efektif dalam meningkatkan industri pelancongan negara.

Bercakap kepada Scoop, beliau menegaskan bahawa cukai pelancongan yang dikutip ketika ini tidak membawa hasil yang signifikan dari segi pendapatan iaitu hanya sekitar RM700 juta.

“Lebih memburukkan lagi, wang yang dikutip ini masuk ke dalam pendapatan umum dan tidak disalurkan secara efektif untuk memperbaiki sektor pelancongan.

“Secara keseluruhannya, cukai pelancongan semasa bukan sahaja tidak mencukupi tetapi juga tidak adil dan tidak efektif dalam meningkatkan industri pelancongan Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pakar ekonomi, Geoffrey Williams melihat cukai pelancongan semasa bukan sahaja tidak mencukupi, malah tidak adil dan tidak efektif dalam meningkatkan industri pelancongan negara. – Gambar Bernama, 2 Julai, 2024

Beliau mengulas mengenai tindakan kerajaan Indonesia memperkenal cukai pelancongan di Bali dan mungkin menaikkan kadarnya yang dikatakan bagi mencegah pelancong yang berkelakuan biadab.

Menurut laporan media, usaha itu merupakan langkah terbaru berikutan peningkatan pelancong yang bersikap tidak senonoh sehingga mengganggu penduduk tempatan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Sri Ganesh Michiel berkata, sistem percukaian dalam bidang pelancongan perlu diperbaiki melibatkan industri perhotelan.

Namun katanya, kutipan cukai pelancongan sebanyak RM10 bagi setiap bilik setiap malam mungkin memadai tetapi ia sepatutnya dikutip di pintu masuk dan keluar negara bagi menghapuskan ketirisan.

Beliau berkata, ketirisan hasil akan hilang lebih dari 50% sekiranya cukai pelancongan dikutip di lapangan terbang.

“Kita mahukan promosi dan polisi berjalan seiring, jangan biarkan pelancong yang datang menginap di tempat yang tidak berlesen. Trend sekarang pelancong luar ramai yang duduk di penginapan sewaan jangka pendek (STRA) yang tidak dikenakan cukai pelancongan.

“Ini menyebabkan ketirisan hasil yang besar kerana pelancong tidak menginap di hotel yang berdaftar,” katanya.

Beliau menyifatkan pengutipan cukai melalui industri perhotelan hanya membebankan pengusaha hotel.

“Sekiranya cukai ini dinaikkan, ia boleh membunuh industri perhotelan kerana pelancong mungkin tidak akan mahu menginap di hotel,” katanya.

Bagi Presiden MyBHA, Sri Ganesh Michiel sistem percukaian dalam bidang pelancongan perlu diperbaiki melibatkan industri perhotelan, namun kutipan cukai pelancongan sebanyak RM10 bagi setiap bilik setiap malam mungkin memadai. – Gambar Facebook Sri Ganesh Michiel, 2 Julai, 2024

Untuk itu katanya, kerajaan perlu mengkaji dan menggunakan polisi yang lebih ketat supaya promosi pelancongan berjalan seiringan.

“Jika dua orang pelancong luar masuk ke Malaysia, mereka boleh berkongsi satu bilik hotel dan hanya membayar untuk seorang sahaja kerana seorang lagi tidak perlu membayar. 

“Kalau kutipan cukai dilakukan di lapangan terbang, setiap pelancong perlu membayar mengikut jumlah bilangan orang.  Promosi pelancongan yang dilakukan perlu pastikan pelancong menginap di tempat yang berdaftar dan sah,” katanya.

Katanya, sistem semasa membolehkan pelancong asing mengelak daripada membayar cukai dengan menggunakan nama warga tempatan.

“Mereka tempah melalui dalam talian menggunakan nama orang tempatan. Penentuan sama ada seseorang itu warga tempatan atau warga asing adalah melalui pengisytiharan mereka sendiri.

“Jika mereka tidak diisytiharkan bahawa mereka adalah warga asing, tiada caj akan dikenakan ke atas mereka. Namun, sekarang pelancong banyak menggunakan homestay tidak berdaftar. Kalau polisi tidak ketat, Tahun Melawat Malaysia tidak akan berjaya,” katanya.

Dalam pada masa yang sama, Sri Ganesh juga menggesa kerajaan memastikan kutipan cukai yang diperoleh daripada industri pelancongan dibelanjakan kembali hasil untuk kemajuan industri tersebut.

“Sekarang, kita tidak tahu bagaimana wang itu dibelanjakan, kutipan cukai pelancongan sudah bertahun-tahun, tetapi pemain industri dan pihak berkepentingan tidak tahu apa yang dibelanjakan dengan wang itu.

“Kita perlu memastikan wang itu kembali kepada pemain industri. Apa sahaja cukai yang dikutip dari industri pelancongan sepatutnya digunakan kembali untuk industri pelancongan,” katanya. – 2 Julai, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related