Dipecat Bersatu: Enam Ahli Parlimen hantar surat kepada Speaker perjelas situasi sebenar

Mereka menganggap tindakan dikenakan kepimpinan Bersatu menamatkan keahlian mereka sebagai tidak sah dan berbentuk penganiayaan

2:23 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Di sebalik spekulasi berhubung pengguguran keahlian mereka sebagai anggota Bersatu, enam Ali Parlimen itu sudah mengemukakan surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bagi menjelaskan situasi sebenar.

Memaklumkan perkara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi berkata, mereka menganggap tindakan dikenakan kepimpinan Bersatu yang menamatkan keahlian mereka sebagai tidak sah dan berbentuk ‘penganiayaan’.

Katanya, setiap daripada mereka mengemukakan surat itu dengan menggunakan inti yang sama, memandangkan berdepan keadaan serupa.

“Kami (masing-masing) menulis surat minta penjelasan Setiausaha Agung (Datuk Seri Hamzah Zainudin) mengenai tindakan dikenakan kepada kami, tetapi dia tidak menjawab surat kami,” katanya.

Zulkafperi berkata, mengikut kandungan tertera dalam suratnya kepada Speaker, beliau mempersoalkan beberapa perkara terhadap Bersatu berhubung keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk mengambil tindakan terhadap dirinya.

“Dalam surat kepada Bersatu, saya bertanya kepada Hamzah bilakah mesyuarat tersebut dilakukan, siapa hadir, siapa mempengerusikannya dan saya mohon minit mesyuarat tersebut.

“Perkara kedua saya persoalkan adalah disebabkan tempoh MPT Bersatu adalah dari 2020 hingga 2023, jadi adakah tempoh MPT sudah tamat pada 2023 (ketika menyuarat diadakan), jika tamat bila ia tamat atau adakah ia dilanjutkan, jika ya hingga bila dilanjutkan, jika tidak dilanjutkan adakah ia boleh bermesyuarat dan mengeluarkan arahan kepada kami dalam tempoh tersebut.

“Saya juga mohon pengesahan mengenai ada dua ahli di dalam MPT itu yang pada pandangan saya adalah ahli tidak sah, maka badan mesyuarat itu dan anggota majlis itu tidak sah, justeru segala mesyuarat dilakukan itu adalah tidak sah,” katanya pada sidang media yang turut disiarkan secara langsung di Facebook dan TikTok.

Menurutnya, mengikut Perlembagaan Bersatu ketika awal penubuhannya, ahli biasa parti itu mesti warganegara Melayu serta peribumi Sabah dan Sarawak.

“Tetapi sebenarnya ada enam orang dalam Bersatu bukan Melayu atau Peribumi, jadi dia tidak layak dan tidak sah duduk sebagai ahli biasa Bersatu, justeru dalam surat, saya bertanya mengenai status kedudukan ahli tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Zulkafperi berkata, beliau meminta penjelasan berhubung pindaan kepada Perlembagaan Bersatu yang dibuat tanpa pengetahuan enam Ahli Parlimen terbabit.

“Saya dan lima rakan itu memang tidak tahu adanya perubahan ataupun pindaan kepada istilah ahli biasa di dalam Perlembagaan Bersatu. Pindaan ini mengatakan ahli biasa adalah warganegara Malaysia peribumi atau warganegara Malaysia beragama Islam yang berumur 18 tahun ke atas yang bermakna dengan pindaan itu, sesiapa yang lahir bukan muslim dan kemudian masuk Islam, terus boleh jadi ahli biasa Bersatu.

“Maksudnya Bersatu tidak dikekalkan sebagai khusus untuk orang Melayu atau peribumi, jadi pindaan ini tidak diminta persetujuan daripada ahli.

“Saya bertanya mengenai beberapa perkara ini termasuk keabsahan MPT dan jika dijawab parti, barulah saya boleh menjawab arahan diberikan majlis,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulkafperi berkata, beliau sudah memberikan tiga kali surat kepada Hamzah bagi mendapatkan penjelasan berhubung arahan dikeluarkan parti, supaya enam Ahli Parlimen berkenaan ‘taat kepada parti’ atau digugurkan keahlian.

Ditanya adakah Hamzah memberikan jawapan kepada suratnya, beliau mengatakan Ahli Parlimen Larut itu tidak menjawab soalan diminta, sebaliknya hanya memberikan respon untuk mengingatkan keenam-enam mereka perlu mengakui, menerima dan mengesahkan pematuhan semua arahan dalam tempoh ditetapkan atau sekiranya gagal, ia boleh menyebabkan terhenti keahlian.

Selepas itu, katanya, tidak ada jawapan daripada Hamzah dan surat terakhir diterima keenam-enam Ahli Parlimen berkenaan adalah pemakluman Bersatu sudah menamatkan keahlian mereka.

“Jadi dari sini kita nampak keadilan tidak diberikan dan sekarang Speaker kata dalam 21 hari (keputusan mengenai status sebagai Ahli Parlimen), justeru kita sama-sama tunggu.

“Tujuan kita di sini (sidang media) adalah untuk menjelaskan keadaan sebenar sebab memang kita tengok dalam media sosial macam-macam diperkatakan, jadi kita mahu jelaskan apa yang berlaku dan semuanya terserah kepada keputusan Speaker,” katanya.

Terdahulu, tujuh wakil rakyat Bersatu menyatakan sokongan kepada pentadbiran kerajaan Anwar, iaitu masing masih enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), sehingga membawa kemelut dengan kepimpinan parti.

Selain Zulkafperi, lima Ahli Parlimen itu adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), manakala Adun berkenaan adalah Adun Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. – 30 Jun, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Related