Bersatu tanding di Nenggiri? Belum ada perbincangan setakat ini: PAS

Pemilihan calon akan ditentukan PN Pusat, dan setakat ini belum ada sebarang perbincangan atau mesyuarat diadakan

11:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Belum ada sebarang perbincangan mahupun mesyuarat diadakan peringkat pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) bagi menentukan calon parti mana mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos ini.

Bercakap kepada Scoop, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbincangan lanjut akan diadakan terlebih dahulu berikutan terdapat permintaan PAS kawasan Gua Musang untuk bertanding.

“PAS akan mengadakan perbincangan dengan Bersatu melalui PN.

“Kita menerima permintaan dari kawasan Gua Musang untuk bertanding satu dari dua kerusi sekiranya Parlimen Gua Musang turut diadakan PRK nanti, bahkan seandainya kesemua lapan kerusi ( enam Parlimen dan dua Dun) diadakan serentak.

“Sebagai sabuah gabungan, semua keputusan akan dibincang dalam mesyuarat PN. Apa yang penting ialah kemenangan PN di semua PRK nanti,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan pemilihan calon mewakili mana-mana rakan parti komponen dalam gabungan itu perlu diputuskan PN peringkat Pusat.

“Pemilihan calon akan ditentukan PN Pusat, dan setakat ini belum ada sebarang perbincangan atau mesyuarat diadakan (bagi menentukan calon),” katanya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan pemilihan calon mewakili mana-mana rakan parti komponen dalam gabungan itu perlu diputuskan PN peringkat Pusat. – Gambar Facebook, 30 Jun, 2024

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS Kelantan akur dengan kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Nibong Tebal semalam, bahawa Bersatu akan menghantar calon PN bagi bertanding pada PRK DUN Nenggiri.

Muhyiddin berkata, keputusan itu dibuat sebelum ini memandangkan Nenggiri adalah kerusi milik parti berkenaan.

“Kita dah mula menggerakkan jentera bagi peringkat awal dan kerja-kerja lain akan menyusul termasuk mengenal pasti calon paling sesuai yang akan kita letakkan daripada Bersatu,” katanya

Mohd Amar sebelum ini berkata, PAS bersedia untuk bertanding di PRK sekiranya ada kekosongan membabitkan kerusi Bersatu.

Terdahulu beliau yang juga Speaker DUN Kelantan mengesahkan kerusi DUN Nenggiri kosong berkuat kuasa pada 19 Jun selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lepas.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan, manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing pada 3 dan 13 Ogos akan datang.

Azizi bertanding di bawah tiket PAS mewakili gabungan PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu. – 30 Jun, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related