Guna teknologi AI atasi kesesakan trafik, tingkat kualiti jalan raya: Pakar

Ia termasuk pemantauan secara real-time (masa sebenar), pengurusan waktu lampu isyarat dan penyuraian lalu lintas secara cepat berdasarkan keadaan semasa

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengurangkan masalah kesesakan trafik dan meningkatkan kualiti jalan raya di negara ini yang kerap rosak.

Bercakap kepada Scoop, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Law Teik Hua berkata, banyak negara berjaya mengimplementasikan teknologi AI untuk mengoptimumkan pengurusan trafik.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Law Teik Hua. – Gambar Facebook, 29 Jun, 2024

Katanya, ini termasuklah pemantauan secara real-time (masa sebenar), pengurusan waktu lampu isyarat dan penyuraian lalu lintas secara cepat berdasarkan keadaan semasa.

“Negara-negara lain berhasil mengimplementasikan teknologi AI untuk mengoptimumkan pengurusan lalu lintas.

“Walaupun beberapa inisiatif sudah dilakukan seperti penggunaan sistem pengawasan trafik berdasarkan kamera dan penyesuaian waktu lampu isyarat, masih banyak potensi untuk memanfaatkan AI secara lebih luas,” katanya.

Menurutnya, ketika ini Malaysia masih menggunakan sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan bilik pengawasan trafik yang bergantung kepada pengawasan manusia secara manual untuk mengendalikan insiden trafik.

Ketika ini Malaysia masih menggunakan sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan bilik pengawasan trafik yang bergantung kepada pengawasan manusia secara manual untuk mengendalikan insiden trafik. – Gambar LLM, 29 Jun, 2024

“Cara pengawasan ini tidak efisien dan berterusan, selain kos operasinya yang tinggi.

“Pengawasan operasi lampu isyarat juga kurang sistematik dan masih bergantung kepada aduan awam untuk melakukan penyelenggaraan,” katanya.

Mengulas lanjut, Teik Hua berkata, berdasarkan kajian dari Pusat Penyelidikan Keselamatan di UPM, 30% kematian akibat kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh kelewatan dalam mendapatkan bantuan perubatan.

“Masalah serupa berlaku dalam pengesanan kemalangan melalui CCTV dan aduan awam.

“Ketiadaan pengumpulan maklumat kesesakan trafik secara berterusan melalui AI menghalang pembuat dasar untuk memahami dengan menyeluruh penyebab masalah itu dan menilai keberkesanan inisiatif kesesakan trafik yang dilaksanakan,” katanya.

Jelasnya lagi, dari segi kualiti jalan raya, teknologi AI diperlukan bagi menganalisis data trafik secara langsung dan maklumat cuaca untuk meramal dengan lebih tepat kualiti lapisan jalan.

“Ini membolehkan pihak berkuasa mengetahui bahagian jalan yang memerlukan pembaikan awal, mengurangkan masalah seperti lubang dan permukaan tidak sekata.

“Maklumat trafik yang dikemaskini secara langsung membantu dalam mengetahui bahagian jalan yang mengalami tekanan trafik tinggi dan kemerosotan cepat,” katanya.

Malah dengan teknologi tersebut, beliau berkata, pihak berkuasa boleh melakukan pemantauan berterusan terhadap keadaan jalan dan membuat tindakan pembaikan awal sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

“Ini boleh membantu mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang dan meningkatkan keselamatan penggunaan jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Teik Hua berkata, berdasarkan Sistem Pengesanan Insiden Jalan Raya Automatik (Arids) yang dibangunkannya, terdapat 10 jalan paling sesak dikenal pasti di sekitar ibu negara.

Katanya, jalan tersebut adalah Jalan Sungai Besi (352 minit sesak dalam sehari), Jalan Kuching (288 minit), Jalan Sultan Azlan Shah (234 minit), Jalan Klang Lama dan Jalan Kuchai Lama (224 minit) serta Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), kesesakan hingga 216 minit sehari.

Lebuhraya Salak (208 minit), Lebuhraya KL-Seremban dan Jalan Cheras (masing-masing 208 minit), Jalan Terawih (178 minit) dan Jalan Damansara (178 minit).

“Kesemua jalan-jalan ini dikategorikan sebagai ‘congestion black roads’ kerana secara konsisten menyebabkan kesesakan yang mengganggu pergerakan lancar, terutama pada waktu puncak.

“Ini termasuk laluan penting seperti Jalan Ampang dari KLCC menuju ke bandar Ampang, sepanjang Jalan Tun Razak dan Lebuhraya Persekutuan, terkenal dengan kesesakan yang berlarutan pada waktu puncak,” katanya.

Pada masa sama, Teik Hua berkata, jalan-jalan tersebut turut dikenalpasti menghadapi masalah dari segi penyelenggaraan meliputi jalan berlubang, permukaan jalan tidak sekata dan tidak berkualiti.

Katanya, pihak berkuasa juga berdepan cabaran dari segi pembiayaan untuk penyelenggaraan yang mencukupi.

“Had bajet yang terhad menyebabkan pembaikan jalan tidak dapat dilaksanakan secara berkala dan menyeluruh,” katanya. – 30 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

Related