Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Muslim wajib mentaati pemerintah dan memberi nasihat dengan cara baik, bahasa lembut dan penuh hikmah, malah tidak dibenarkan mencerca, mencemuh serta mencaci

3:37 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Menurut khutbah Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Kedah (JHEAIK), perkara itu adalah satu bahagian daripada syariat dan tuntutan Allah SWT ke atas hambanya.

Justeru, katanya, kesetiaan itu mesti dilaksanakan dengan penuh kepatuhan, konsisten dan berterusan.

“Kesetiaan ini bukan hanya perlu disematkan dalam sanubari semata-mata, bahkan perlu dizahirkan dalam bentuk tindakan anggota luaran kita.

“Sebagaimana seorang muslim, kita berkewajipan mentaati pemerintah dan memberi nasihat dengan cara baik, bahasa lembut dan penuh hikmah.

“Islam tidak sekali-kali membenarkan untuk menegur pemimpin atau pemerintah dengan pendekatan tidak sopan dan beradab, malah tidak membenarkan cercaan, cemuhan serta cacian menggunakan perkataan kasar mahupun kesat,” menurut khutbah bertajuk ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’ itu.

Katanya, segala arahan dan perintah Allah SWT adalah atas kemaslahatan manusia yang dituntut agar kita melaksanakannya dalam menzahirkan penghambaan kita kepada Pencipta.

“Ada perintah berkaitan dengan diri sendiri, ada berkaitan dengan keluarga, jiran tetangga, fakir miskin, harta benda, ekonomi, politik, kenegaraan dan di antara perintah-perintah ini ialah perintah untuk taat setia kepada pemimpin ataupun pemerintah.

“Raja dan rakyat tidak boleh dipisahkan, raja dianggap sebagai payung kedaulatan negara,” katanya.

Khutbah itu menyatakan, bagi umat Islam, raja adalah ketua mereka dan kedudukan raja sebagai ketua agama, tidak boleh dipandang enteng bukan sahaja kerana ia tradisi yang sudah menjadi amalan turun-temurun, bahkan adalah hak, kuasa serta tanggungjawab diiktiraf syarak dan Perlembagaan serta undang-undang Malaysia.

Ujarnya, pengiktirafan itu semestinya mempunyai hikmah tertentu di dalam negara, justeru tidak harus dianggap sia-sia.

Hak, kuasa dan tanggungjawab itu juga, katanya, mempunyai nafas serta hidup yang harus dijadikan rujukan dan diterima dalam mendepani segala isu.

“Institusi raja mempunyai peranan amat besar dan penting untuk kedaulatan Islam.

“Ia menjadi lambang dan simbol kepada perpaduan, kemerdekaan serta kemegahan agama Islam itu sendiri,” katanya.

Pada masa sama, khutbah itu berkata, Islam diberikan ruang cukup luas di Malaysia dan dijaga rapi institusi secara khusus, berbanding negara lain.

“Jika berlakunya sesuatu yang boleh menggugat keutuhan agama Islam dan mencabar kewibawaan serta ketuwanan Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, suara institusi diraja inilah yang akan mempertahankan serta menentukan keputusan muktamad.

“Justeru, mimbar menyeru semua umat Islam untuk memupuk sikap menjunjung tinggi Institusi Diraja dan mempamerkan perpaduan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja,” katanya. – 28 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Around 600 worshippers assembled in Batu Caves to perform religious song

They gathered in response to the recent case of the Moroccan influencer reciting Quranic verses at the temple

The silent punch heard around the country – Terence Fernandez

The assault of deaf e-hailing driver raises the question if we are a nation divided by class

Related