Kos bahan binaan naik: Kerajaan jamin lihat cara lain bantu kontraktor terkesan

Selain kenaikan kos bahan binaan, peningkatan turut berlaku kepada sewaan perkakasan mesin seperti jentera berat, jentera eskavator, jengkaut serta penurap yang menimbulkan kegusaran kontraktor

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan akan melihat kaedah lain bagi membantu mengurangkan beban ditanggung kontraktor akibat kenaikan kos harga bahan binaan hingga 30% susulan pelarasan subsidi diesel awal bulan lalu.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff ketika dihubungi Scoop berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick semalam bagi menyuarakan beban dihadapi kontraktor ketika ini.

“Menteri bagaimanapun tidak beri maklum balas secara umum, tiada penyelesaian pun dicapai cuma beliau mengatakan memang tidak ada subsidi diberi untuk sektor binaan, namun akan melihat cara lain untuk membantu ahli persatuan dan kontraktor yang terjejas.

“Kita juga akan mengadakan mesyuarat bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini berkait isu berbangkit ini.

“Kalau ada sebarang cadangan atau keputusan tertentu hasil mesyuarat itu, kita akan maklum nanti,” katanya kepada Scoop.

Datuk Azman Yusoff berkata, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick bagi menyuarakan beban dihadapi kontraktor. – Gambar PKBM, 28 Jun, 2024

Beliau berkata, golongan kontraktor G1 hingga G7 antara kumpulan yang paling terkesan akibat situasi peningkatan harga barangan tersebut.

“Kos pembinaan pasti akan meningkat dan dikhuatiri beberapa projek juga bakal lewat siap sekali gus menyebabkan kontraktor mengalami kerugian besar.

“Selain itu, berlaku juga kenaikan sewaan perkakasan mesin seperti jentera berat, jentera eskavator, jengkaut dan penurap, bagi projek infrastruktur.

“Harga bahan mentah iaitu campuran siap konkrit dan bahan- bahan binaan untuk kerja bangunan dan jalan turut meningkat,” katanya.

Tukiman Radion mencadangkan kerajaan menyemak semula harga bahan binaan mengikut pasaran terkini kerana kontraktor kecil masih menggunakan kadar lama. – Gambar Facebook, 28 Jun, 2024

Sementara itu Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion mencadangkan kerajaan menyemak semula kadar harga bahan binaan mengikut pasaran terbaru selepas berlaku kenaikan harga.

Menurutnya, pada masa sekarang, harga bahan binaan bagi projek kerajaan adalah berdasarkan jadual kadar kerja yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kita mendapat maklumat daripada syarikat menjual bahan binaan, (harga) batu bata yang berasaskan pasir dan simen mengalami kenaikan daripada RM180 kepada RM210 sepalet dan batu konkrit pula dari RM95 kepada RM105 setan.

“Manakala, harga sewa lori tiga tan untuk mengangkut bahan binaan juga naik daripada RM450 kepada RM700.

“Dengan kenaikan ini, kontraktor kecil masih menggunakan kadar harga lama yang turut diguna pakai oleh jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta GLC (syarikat berkaitan kerajaan),” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya JKR boleh mengapungkan harga tawaran kontrak kerajaan sementara menunggu kadar harga bahan binaan disemak semula.

Bukan bahan binaan sahaja mengalami kenaikan kos, malah peningkatan turut berlaku terhadap kadar perkakasan mesin seperti jentera berat dan jengkaut yang dikhuatiri menyebabkan beberapa projek mengalami kelewatan. – Gambar Scoop, 28 Jun, 2024

“Kesannya, harga tawaran projek boleh disesuaikan mengikut harga bahan binaan semasa kerana ada kemungkinan harganya sentiasa berubah,” katanya.

Pada 9 Jun lepas, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik bermula 10 Jun.

Beliau berkata, penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang. – 28 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Zii Jia management, BAM should have kept mum on image rights, says sports analyst

Mohd Sadek Mustafa says such deals the norm among athletes

Related