‘Saya tetap akan hadir Sidang DUN Selangor minggu depan’: Adun Selat Klang

Abdul Rashid berkata, dalam perbincangan dengan Speaker negeri, Lau Weng San hari ini, beliau dimaklumkan bahawa kedudukan kerusinya tidak akan dipindahkan

2:07 PM MYT

 

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menegaskan beliau tetap akan hadir pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor bermula 4 Julai ini, biarpun Bersatu sudah menghantar notis kekosongan luar jangka kerusi itu kepada Speaker.

Abdul Rashid berkata, dalam perbincangan dengan Speaker negeri, Lau Weng San hari ini, beliau dimaklumkan bahawa kedudukan kerusinya tidak akan dipindahkan.

“Dalam perbincangan tersebut, Weng San meneliti keterangan, fakta, bukti yang ada, Speaker ambil keputusan beliau masih lagi belum membuat apa-apa keputusan dan masih memerlukan info dan fakta.

“Speaker akan menulis surat kepada saya untuk tujuan tersebut dalam masa terdekat, apabila saya menerima surat itu, saya akan jawab.

“Selepas itu Speaker akan membuat keputusan muktamad sama ada perlu atau tidak kerusi DUN Selat Klang ini dikosongkan kerana tugasnya, memberikan satu keputusan muktamad dan tidak boleh dipersoalkan,” katanya pada sidang media di Wisma Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Difahamkan, Abdul Rashid mengadakan pertemuan hampir sejam bersama Weng San hari ini.

Pada 21 Jun lalu, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan notis bertulis berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang kepada Weng San, berdasarkan Perkara LXVA Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Azmin yang juga Adun Hulu Kelang berkata, pada pertemuan bersama Weng San, beliau memaklumkan Abdul Rashid tidak lagi menjadi ahli Bersatu.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, buat masa ini beliau akan meneruskan tugasnya sebagai Adun dan masih menganggap dirinya ahli Bersatu.

“Ini kerana notis yang diberikan kepada saya tidak berkesan kerana notis di bawah fasal 10.4 dan 10.5 Perlembagaan Bersatu hanya berkuatkuasa 1 April 2024.

“Pada saya dari segi undang-undang, Bersatu tidak boleh menggunakan pindaan tersebut untuk mengambil tindakan terhadap saya kerana ia tidak boleh digunapakai, memandangkan tindakan saya menyokong kerajaan negeri atau Menteri Besar adalah sebelum pindaan dibuat,” katanya.

Menurut Abdul Rashid, Speaker turut memaklumkan keputusan mengenai perkara berkenaan akan dibuat dalam sidang DUN nanti.

“Ya, beliau akan membuat setelah menerima fakta dan info diperlukan, beliau maklum akan buat keputusan dalam dewan dan sama ada beliau akan membuat keputusan dalam tempoh 21 hari atau tak itu terpulang kepada kebijaksanaannya,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Speaker juga memaklumkan kesnya tidak sama seperti keputusan dibuat Speaker DUN Kelantan yang mengosongkan kerusi DUN Nenggiri bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

“Mengikut Speaker, kes saya ini tidak sama dengan Kelantan sebab Speaker DUN Kelantan buat keputusan terlalu cepat tanpa beri peluang kepada Adun tersebut untuk berjumpa dan berbincang, jadi keputusan dibuat secara tergesa-gesa tanpa beri peluang kepada Adun terbabit,” katanya.

Beliau juga menegaskan berdasarkan keadaan politik semasa, tiada keperluan untuk PRK diadakan di Selat Klang.

“Kalau ditanya sekarang sebenarnya tak perlu PRK kerana selepas saya memberi penjelasan kepada penduduk dan pengundi, mereka faham tentang keadaan saya dan ada yang menyokong, malah PRK juga libatkan perbelanjaan besar,” katanya. – 26 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related