Kursus kardiotorasik: UiTM kekal hak eksklusif Bumiputera, UM rancang tawar program Oktober ini

Zambry berkata sebaliknya kursus latihan kepakaran kardiotorasik akan ditawarkan di Universiti Malaya (UM) dijangka Oktober depan

12:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Selepas ‘perdebatan’ hangat susulan cadangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima pegawai perubatan bukan Bumiputera melanjutkan pengajian ‘parallel pathway’, kerajaan memuktamadkan institusi berkenaan tidak akan dibuka kepada golongan berkenaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, UiTM akan tetap dikekalkan khusus untuk mahasiswa Melayu, Orang Asli serta anak Sabah dan Sarawak, seperti berlandaskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk melindungi hak Bumiputera.

Katanya, dasar berhubung pengekalan UiTM untuk golongan berkenaan tidak diubah bagi mencapai sasaran ditetapkan.

“Laporan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 Kementerian Ekonomi menunjukkan, masih wujud jurang ekonomi membabitkan Bumiputera dari segi purata pegangan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan dan pengeluaran tenaga kerja mahir.

“Malah, kadar miskin mutlak dalam kalangan Bumiputera masih memerlukan usaha secara berterusan untuk diperbaiki.

“Dengan tertubuhnya UiTM, lebih ramai anak Bumiputera memperoleh peluang menyambung pengajian, selain dilatih untuk mengisi pelbagai jenis jawatan sebagai keperluan meningkatkan kualiti hidup dan mengubah nasib mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat, hari ini bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh Karpal Singh yang memintanya menyatakan sama ada kerajaan bercadang membenarkan bukan Bumiputera menuntut di UiTM dengan meminda Akta UiTM 1976 dan sekiranya tidak, apakah alasannya.

Zambry menegaskan, di sebalik isu kekurangan pakar dalam bidang kardiotorasik, pada asalnya kursus terbabit sebenarnya menggunakan Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) bersama Hospital Pulau Pinang, Hospital Serdang, Institut Jantung Negara (IJN) Pusat Jantung Sarawak sebagai pusat latihan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kemudian berlaku sedikit kekeliruan interpretasi, sekali gus memerlukan kerajaan mencari pendekatan terbaik bagi menyelesaikan masalah kursus, membabitkan empat tenaga pakar dalam melalui parallel pathway.

“Jadi di sini lah yang menimbulkan sedikit salah faham kursus itu yang dikatakan hanya terdapat di UiTM, tetapi di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi, kita cuba mencari pendekatan terbaik di mana kita nak selesaikan masalah ini.

“Lantaran itu satu perbincangan sudah diadakan kementerian dengan pihak Universiti Malaya (UM) melalui UMMC dan mereka di waktu itu, sedang merancang untuk memperkenalkan khusus berkenaan juga di UM.

“Jadi, Insya-Allah dalam tempoh terdekat, isu seperti ini akan kita selesaikan pada kadar segera,” katanya.

Menurut Zambry, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjangkakan pada Oktober depan, isu kursus berkaitan dengan kardiotorasik itu dapat diselesaikan.

“Maknanya ada laluan-laluan lain selain dari UiTM, ada juga di universiti lain yang akan menawarkannya.

“Jadi pada Oktober nanti, kita jangkakan UM menawarkan kursus ini bagi membolehkan mereka yang hendak mengikuti kursus pakar ini, dapat juga berada di sana dan kemudian diikuti dengan universiti lain,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) merayu agar UiTM mengutamakan kepentingan kesihatan awam dengan membuka sementara program pascasiswazah pembedahan kardiotorasik kepada tujuh pelajar bukan Bumiputera dalam kalangan pegawai perubatan bidang itu, bagi mengatasi kekurangan pakarnya.

Rayuan itu menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa pihak termasuk Pemuda Umno dan alumninya, selain Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM yang melancarkan kempen bantahan pembukaan universiti berkenaan kepada golongan bukan Bumiputera. – 26 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Nak jadi influencer kena ada ilmu, karier tidak kekal kerana populariti boleh lenyap ditelan zaman

Menurut Ryzal Ibrahim, pendidikan sangat penting kerana ia akan membentuk keperibadian seseorang tanpa mengira apa jua bidang pekerjaan yang diceburi

Related