PAC syor 5 langkah penambahbaikan jana keuntungan Felcra, kurang bebanan hutang

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Felcra perlu lebih bertanggungjawab serta tegas dalam mengawal selia anak-anak syarikatnya, supaya menjana keuntungan dan mencapai matlamat penubuhan

11:39 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan lima perkara untuk dilaksanakan kerajaan sebagai langkah penambahbaikan untuk terus menjana pendapatan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), sekali gus mengurangkan bebanan hutang operasi perniagaannya.

Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, syor itu adalah Felcra perlu melihat kembali struktur dan operasi kumpulan syarikat berkenaan, berdasarkan matlamat asal penubuhan serta obligasi sosialnya demi menjaga kepentingan peserta dan pembangunan masyarakat luar bandar.

Katanya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Felcra perlu lebih bertanggungjawab serta tegas dalam mengawal selia anak-anak syarikatnya, supaya menjana keuntungan dan mencapai matlamat penubuhan.

“Felcra hendaklah membina keupayaan sebelum menceburi apa-apa bidang yang selain daripada perniagaan teras.

“KKDW perlu memastikan Felcra dan Felcra Properties merangka strategi menyeluruh, termasuk jualan dan juga peluang perniagaan, bagi projek Semarak20 berjaya supaya pembayaran semula hutang kepada kerajaan dapat dilakukan serta memperkukuhkan kedudukan kewangan syarikat.

“KKDW dan FELCRA perlu melaporkan perkembangan terkini status pembayaran hutang kepada kerajaan dan pelaksanaan strategi ke atas projek Semarak20 kepada PAC, setiap tiga bulan sebagai satu mekanisme pemantauan,” katanya menerusi kenyataan.

Mas Ermieyati berkata, PAC memberikan tempoh dua bulan kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), Kementerian Kewangan (MOF), KKDW dan Felcra Berhad.

Selepas tempoh itu, ujarnya,PAC akan memanggil semula pihak berkenaan untuk Prosiding Tindakan Susulan.

Katanya, ia bagi membolehkan jawatankuasa terbabit mengetahui tindakan sudah diambil MOF dan Felcra terhadap lima syor dikemukakan PAC.

“Dalam perkara ini, PAC dimaklumkan bahawa hutang Felcra Berhad dan anak-anak syarikatnya yang berjumlah RM1.532 bilion distrukturkan dan dijadualkan semula kerajaan, bagi tempoh 35 tahun melalui kelulusan Jemaah Menteri pada 11 Ogos 2021.

“Pihak Felcra Berhad turut memaklumkan pinjaman distrukturkan semula itu, kini dibayar mengikut jadual ditetapkan, di samping memberi ruang kepada syarikat berkenaan menjalankan pengoperasian syarikat,” katanya.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, namun, melalui prosiding yang dijalankan, PAC mendapati faktor penyumbang terbesar bagi situasi keberhutangan itu adalah kerugian pengoperasian anak-anak syarikat FELCRA Berhad.

“Perkara itu jelas dapat dilihat melalui hutang syarikat usaha sama estet, berjumlah RM309.8 juta dan Felcra Properties kepada Felcra Berhad yang berjumlah RM842.7 juta, di mana kerajaan memberikan pinjaman berjumlah RM544 juta kepada Felcra untuk pembangunan sebuah projek komersil di Jalan Semarak, Kuala Lumpur dikenali sebagai Semarak20.

“Berikutan itu, PAC sudah menjalankan prosiding dengan begitu teliti terhadap penyaluran pinjaman kerajaan ini kepada Felcra kerana berpandangan syarikat berkaitan kerajaan ini, tidak mempunyai kepakaran dalam pembangunan komersil sebesar projek Semarak20,” katanya.

Pada masa sama, Mas Ermieyati berkata, tiga lagi rumusan PAC adalah Felcra meletakkan objektif penubuhan asal dan mandat untuk mencipta serta menjana pendapatan peserta Felcra, dalam memenuhi mandat sosial dan ekonomi yang dipertanggungjawabkan, tetapi ia masih belum dapat dicapai sepenuhnya.

“Kedua, baki pinjaman Felcra dengan kerajaan Persekutuan pada 31 Disember 2021 berjumlah RM3.674 bilion. Kerajaan melalui Dewan Rakyat bersetuju menukar sebahagian hutang Felcra sebanyak RM969.27 juta, iaitu hutang peserta Felcra kepada ekuiti kerajaan Pusat.

“Manakala ketiga, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2, Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan, (2019-2021) Felcra menerusi syarikat-syarikat subsidiari, menceburi pelbagai bidang perniagaan namun tidak membantu menjana pendapatan, malah mendatangkan bebanan hutang lebih bagi menanggung operasi perniagaan,” katanya.

Terdahulu, PAC hari ini membentangkan Laporan PAC berhubung FELCRA Berhad di bawah MKD, MOF dan KKDW di Dewan Rakyat.

PAC memilih isu ini, selepas ia dilaporkan dalam LKAN 2021 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen pada 16 Februari 2023, memandangkan Felcra adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang sinonim dengan usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar, terutama golongan pekebun kecil.

Laporan itu terbahagi kepada dua jilid, iaitu Jilid 1 merangkumi laporan setebal 100 muka surat berserta dokumen pembentangan dan Jilid 2 adalah hansard bagi prodising sudah diadakan.

Malah, laporan itu dibentangkan selepas PAC mengadakan sembilan prosiding bermula 27 Jun 2023 hingga 29 Februari 2024, dengan memanggil 15 saksi terdiri daripada Jabatan Audit Negara, MOF, KKDW, Felcra Berhad dan syarikat WZR Group, iaitu kontraktor Menara Semarak 20.

Turut menjadi saksi dalam isu ini adalah mantan Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Bung Mokhtar Radin dan Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Penyediaan laporan ini mengambil masa dua hari dan jumlah masa diperuntukkan PAC untuk menyelesaikan prosiding serta menyiapkan laporan ini, bermula daripada prosiding pertama hingga laporan ini dapat dibentangkan adalah kira-kira 50 jam.

Menurut Mas Ermieyati, melalui prosiding diadakan, penemuan PAC adalah terhadap lapan perkara, iaitu petunjuk prestasi utama (KPI), program penyatuan dan pemulihan (P&P), sumbangan hal ehwal peserta (HEP), dividen kepada kerajaan dan peserta, perladangan (pembajaan dan tenaga kerja ladang), perkilangan, syarikat subsidiari dan usaha sama serta tadbir urus korporat.

“Orang ramai boleh membaca setiap keterangan dan penemuan laporan ini dengan melayari laman sesawang PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac,” katanya. – 26 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Around 600 worshippers assembled in Batu Caves to perform religious song

They gathered in response to the recent case of the Moroccan influencer reciting Quranic verses at the temple

Related