Pelantikan Siti Nurhaliza sebagai pakar di UMCCed ikut prosedur betul: Bekas pengarah

Pencapaian dan pengalaman Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam bidang seni serta keusahawanan faktor utama penyanyi tersohor negara itu dilantik sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya

8:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pelantikan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed) dilakukan mengikut prosedur yang betul melalui perbincangan dan cadangan dalam mesyuarat pengurusan tertinggi pusat terbabit.

Bekas Pengarah UMCCed, Profesor Madya Shahrul Mizan Ismail berkata, pemilihan Siti juga dibuat merangkumi pelbagai aspek kesesuaian semasa.

Malah katanya, secara asasnya pencapaian atau kelayakan pelantikan pakar dinilai berdasarkan tempoh pengalaman individu terbabit dalam bidang diceburi.

“Asas pertimbangan pertama diambil kira dari sudut pengalaman lama Siti dalam dua bidang iaitu seni dan juga keusahawanan, selain mengambil kira semua pencapaian beliau,” katanya yang pernah terlibat dalam proses pemilihan pakar di UMCCed sebelum ini.

Jelasnya lagi, pelantikan tersebut turut mengambil kira faktor usia Siti yang dilihat sesuai untuk berkongsi ilmunya dengan generasi muda.

Selain pencapaian hebat dan pengalaman luas, karakter serta personaliti Siti Nurhaliza turut diteliti dan diambil kira dalam pemilihan tersebut. – Gambar UMCCed, 25 Jun, 2024

“Di UM, ramai yang menyertai program Diploma menerusi lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Jadi kita tidak ambil seseorang yang terlalu berumur dan terlalu muda untuk pelantikan pakar itu sendiri,” katanya.

Menurut Shahrul lagi, karakter personaliti Siti turut diteliti dan diambil kira dalam pemilihan tersebut.

“Asas pertimbangan ketiga, kita lihat dari segi adab beliau, personaliti yang sesuai, sopan santun dan cara beliau menjaga diri.

“Kita pilih wanita kerana majoriti kelompok komuniti mahasiswa universiti di UMCCed dan di kebanyakan universiti adalah wanita.

“Bukan sahaja pakar sebagai rujukan bidang tersebut, malah kita perlukan seseorang yang boleh menjadi contoh terbaik untuk golongan pelajar,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelantikan individu dalam kalangan industri dilihat lebih praktikal untuk membangunkan modul pembelajaran yang lebih berkesan.

“Menerusi pengalaman dan kemahiran beliau, kami percaya penggiat industri mampu menghasilkan modul yang betul-betul praktikal berasaskan amali berbanding golongan akademik.

“Beliau juga bakal membantu dalam memberikan sesi bengkel dan kursus pendek kepada orang awam dan juga pelajar universiti berkaitan kedua-dua bidang kepakarannya,” katanya.

Jelasnya, Siti juga dilihat sebagai faktor tarikan untuk mendorong golongan pelajar dari pelbagai usia untuk meneruskan pengajian selaras dengan amalan UMCCed.

“Kebanyakan orang kini berminat untuk menjadi pempengaruh dan TikTokers, jadi kita mahu menarik golongan ini supaya sambung belajar dan teruskan pendidikan mereka,” katanya.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila ramai mempersoalkan kewajaran Siti diangkat sebagai pakar di UMCced untuk tempoh dua tahun selepas institusi itu berkongsi berita gembira itu menerusi media sosial.

Shahrul bagaimanapun secara peribadi berpendapat pelantikan Siti tidak sepatutnya menjadi perdebatan netizen.

Katanya, perdebatan itu timbul mungkin disebabkan orang ramai tidak memahami bidang pendidikan tinggi di negara ini menerima pakai pengamalan sebagai satu bentuk kelayakan.

“Pengalaman merupakan satu perkara yang kita boleh ambil sebagai asas pertimbangan untuk seseorang itu dikatakan mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.

“Jadi, bagi saya tidak ada sebarang pertikaian dan ianya timbul disebabkan masyarakat kurang faham dan tidak biasa berkenaan perkara begini,” katanya.

Ujarnya lagi, perkataan ‘pakar’ bukan merujuk kepada seseorang yang mempunyai kelayakan akademik semata-mata, malah merangkumi mana-mana individu yang mempunyai pengalaman dan pencapaian sepatutnya dalam sesuatu bidang.

“Takrifan kepakaran itu perlu cuba diperbaiki agar selari dengan masyarakat moden.

“Kalau nak bergerak dengan lebih jauh kita nak lebih ramai golongan yang mahu melanjutkan pengajian, oleh itu perlu kita fleksibelkan cara kita melihat sesebuah kepakaran,” katanya. – 25 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Empty promises: victims hit back at MYAirline founder over fraudulent schemes

Bankrupted investors either received one payout or none at all from what they believed to be legitimate businesses

Court orders ex-cop to pay RM820,000 to two Mongolian women for non-consensual intercourse

He had stopped both women at a roadblock during MCO before taking them to a hotel to commit the act

Related