Wan Saiful dedah foto, perbualan Whatsapp dengan ‘ejen’ tawar sokong PM

Beliau membuat pendedahan itu sebagai bukti, selepas ada pihak mempertikaikan dakwaannya sebelum ini

5:55 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan foto dan butiran perbualan Whatsapp dengan individu didakwa ‘ejen’ atau ‘orang tengah’ untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau membuat pendedahan itu pada sidang akhbar di Parlimen, selepas beliau tidak dibenarkan memberi penjelasan terhadap satu usul dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat.

Wan Saiful menegaskan, beliau juga membuat pendedahan itu sebagai bukti, selepas ada pihak mempertikaikan dakwaannya sebelum ini berhubung tawaran berkenaan.

“Ini adalah gambar satu daripada perjumpaan tersebut, jadi macam mana nak dikatakan (tawaran) tidak berlaku.

“Ada pula yang kata betul ke ada usaha untuk mempengaruhi kelakuan saya dalam Dewan (Rakyat), ada yang tanya,” katanya menerusi video sidang media itu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) keluar dari Dewan Rakyat sebagai membantah keputusan meluluskan usul dibawa Azalina untuk Wan Saiful Wan Jan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan untuk kenyataan sebelum ini terhadap kerajaan.

Wakil Rakyat pembangkang itu keluar ketika Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta undian suara.

Azalina mengusulkan supaya Wan Saiful dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan, berhubung kenyataan dikeluarkan pemimpin itu pada Februari dan Mac lalu.

Usul dikemuka itu bagi membuat penentuan sama ada kenyataan Wan Saiful pemimpin pada 28 Februari dan 21 Mac lalu berhubung kes mahkamahnya, mengelirukan serta merosakkan kepentingan pihak yang berbicara dalam kes berkenaan.

Malah, usul terbabit juga bagi mengambil apa-apa keterangan yang difikirkan perlu dan selepas itu, jawatankuasa berkenaan hendaklah membuat syor dalam satu penyata untuk pertimbangan Dewan Rakyat.

Pada Februari dan Mac, Wan Saiful turut memberitahu Dewan Rakyat mengenai dakwaan tawaran untuk menggugurkan pertuduhan rasuahnya sebagai pertukaran untuk menyokong kerajaan.

Wan Saiful berkata, sebenarnya beliau mahu mendedahkan bukti itu dalam siasatan Jawatankuasa Peraturan 80A Parlimen bahawa memang ada usaha (tawaran).

“Sebab ini contoh mesej bertulis yang dihantar kepada saya, draf statement (kenyataan draf) ada di situ, bawah kata ‘salam Datuk Wan Saiful Wan Jan, depa (mereka) minta statement Datuk Wan Saiful, lebih kurang macam ini (seperti tertera di kenyataan), kalau boleh pagi ini, pagi 18 Februari.

“Ini bukti bahawa kacau ganggu itu benar-benar berlaku untuk mengajak, memaksa dan membawa saya menyokong Anwar, tapi dia silap orang sikit lah,” katanya.

Jelasnya, mengikut plan dan cadangan asal beliau selepas berbincang dengan anggota parti, bukti foto serta perbualan Whatsapp itu adalah untuk ditunjukkan kepada Jawatankuasa Peraturan 80A, iaitu jawatankuasa khas dibentuk Parlimen untuk menyiasat aduan yang dibuat

“Saya bangun dalam Dewan Rakyat pada 28 Februari dan 21 Mac, dua-dua itu tujuannya adalah untuk membuat aduan kepada dewan mengenai apa yang berlaku, berhubung kacau ganggu.

“Intention (niat) saya aduan itu sepatutnya menjurus ke arah pembentukan jawatankuasa untuk menyiasat aduan saya, (tetapi) yang amat saya kesal adalah bahan aduan saya digunakan sebagai bukti untuk menyiasat saya pula,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Saiful menafikan dakwaan menerusi usul terbabit bahawa beliau menyentuh proses yang berlaku di dalam mahkamah dan ia adalah subjudis.

“Saya tak sebut langsung butiran kes, saya tak sebut langsung bukti-bukti berkaitan dengan kes, saya tak sebut pun pertuduhan yang saya hadapi di mahkamah.

“Apa saya sebut adalah apa yang berlaku dalam perbualan saya dengan mereka yang membuat tawaran dalam perjumpaan,” katanya. – 24 Jun, 2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related