PRK DUN Nenggiri: Umur calon, parti bukan faktor utama dinilai pengundi, sebaliknya…

Ada dua pengaruh sebagai penentu kemenangan, iaitu parti dan ketokohan calon yang diletakkan, bukan faktor usia: Penganalisis politik

8:04 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Umur, parti dan latar belakang akademik bukan menjadi faktor utama diinginkan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dalam pemilihan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu.

Sebaliknya, penduduk di situ mendambakan individu yang mampu memberi perkhidmatan dan memenuhi keperluan masyarakat setempat sebaik mungkin, selain memiliki personaliti mesra, dekat dengan akar umbi serta boleh memperjuangkan nasib mereka.

Bercakap kepada Scoop, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Mazlan Ali berkata, penerimaan penduduk setempat kepada calon diletakkan parti di Nenggiri juga, berlandaskan kepada jasa dan populariti individu terbabit dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Muda atau tua bukan penentu kerana kalau muda sangat dan tak ada pemimpin berwibawa macam mana nak letak calon muda kan, kalau ada yang berumur dan bagus, kena letak berumur.

“Saya beri contoh macam Ku Li (Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah), umur dah 80 lebih tapi masih jadi calon (pada Pilihan Raya Umum Ke-15), maksudnya politik di Pantai Timur ini, pengundi tak tengok sangat usia muda, dia lebih kepada parti dan ketokohan individu diletakkan.

“Ada dua pengaruh sebagai penentu kemenangan, iaitu satu parti dan satu lagi ketokohan calon diletakkan itu, macam Ku Li dia relevan, orang masih hormat dia dan dia kalah pun kerana gelombang politik ketika itu,” katanya.

Penganalisis politik UTM, Profesor Madya Mazlan Ali berkata, penerimaan penduduk setempat kepada calon diletakkan berlandaskan kepada jasa dan populariti individu, muda atau tua usianya bukanlah penentu. – Gambar Bernama, 1 Julai, 2024

Mazlan memaklumkan, sekiranya parti meletakkan calon muda tetapi tidak dikenali dan tiada kepimpinan dimahukan penduduk, ia tidak membawa makna.

Justeru, beliau berkata, dalam menentukan calon, parti dinasihatkan mengkaji pelbagai aspek, terutama demografi Nenggiri bagi mengenalpasti adakah individu dipilih sesuai bertanding di PRK berkenaan.

Menurutnya, berbeza di kawasan bandar, pengundinya mungkin tidak begitu kisah sekiranya calon diletakkan dan dipilih adalah muda.

“Orang bandar ini dia boleh terus mengusulkan isu atau keperluan ke pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi penduduk luar bandar memang akan memaklumkan semua kepada wakil rakyat.

“Masalah parit ke, air ke orang bandar ke PBT, kalau penduduk Pantai Timur ini segala-galanya dia mahukan wakil rakyat bantu, nak menikah pun dia cari wakil rakyat.

“Jadi dia lebih kepada melihat personaliti calon bertanding, dia nak yang boleh memenuhi apa penduduk kawasan sekitar memerlukan, dikenali dan faham apa kehendak masyarakat di situ,” katanya.

Ditanya siapa atau bagaimana nilai calon mungkin dilihatnya sesuai diletakkan parti di PRK DUN Nenggiri, Mazlan berpendapat, individu terbabit mesti memiliki personaliti dan ciri-ciri Tengku Razaleigh atau bekas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagi penganalisis sosiopolitik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti, Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi, jika Barisan Nasional mahu bertanding, calon dipilih mestilah dari Umno dan diterima penduduk setempat. – Gambar Facebook, 1 Julai, 2024

Sementara itu, memberikan komen senada, penganalisis sosiopolitik dari Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, parti mesti meletakkan calon yang mampu ‘mencuri’ hati pengundi, sekali gus memenangi kerusi DUN berkenaan.

Katanya, calon dipilih itu bukan sahaja harus popular dalam kalangan masyarakat setempat, malah mempunyai hubungan baik dengan parti diwakili untuk memastikan peruntukkan terjamin.

“DUN Nenggiri terletak di Kelantan, iaitu di negeri pembangkang, justeru sudah pasti wakil rakyatnya memerlukan sokongan dana daripada parti dan kerajaan Pusat untuk menyantuni penduduk,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang sedia meletakkan calonnya di DUN Nenggiri apabila PRK itu diadakan, Awang Azman berkata, ia tidak menjadi masalah.

“Saya kira calon terbaik BN adalah daripada Umno kerana calon itu mesti seorang calon yang dapat diterima penduduk setempat, sudah parti yang boleh memenuhi keperluan semasa,” katanya.

Pada masa sama, Awang Azman berkata, beliau yakin parti akan melakukan kajian terperinci, termasuk dari segi umur calon sesuai bertanding di kawasan berkenaan.

“Membuat kajian ini adalah cara terpenting untuk menentukan calon dapat diterima semua pihak di kawasan Nenggiri itu, tanpa mengira individu terbabit muda, pertengahan atau tua kerana apa yang penting dapat diterima dan boleh membantu pengundi melihat dalam isu tempatan,” katanya.

Kerusi DUN Nenggiri yang disandang Mohd Azizi Abu Naim (gambar) kosong selepas beliau dilucutkan keahlian daripada Bersatu kerana sokongan yang diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Gambar Facebook, 1 Julai, 2024

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi urusan PRK DUN Nenggiri pada 28 Jun ini.

PRK DUN Nenggiri diperkatakan selepas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika sidang media di Kota Bharu pada 19 Jun lalu, mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka di kerusi itu.

Mohd Amar berkata, pengumuman itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis di bawah fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun dan Bersatu pada 12 Jun, berhubung pemimpin terbabit hilang keahlian Bersatu, sekali gus menyebabkan berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

Pengumuman itu juga merungkai perkembangan isu kerusi DUN berkenaan selepas Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, menyatakan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan pengumuman Mohd Amar, PAS dan Bersatu akan duduk semeja untuk berbincang bagi menentukan parti mana akan bertanding di kerusi DUN Nenggiri yang diumumkan kosong.

Ahmad Zahid pada program di Putrajaya turut dilaporkan berkata BN sedia meletakkan calonnya untuk bertanding di DUN berkenaan. – 1 Julai, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] BAC files for judicial review after 17 law grads barred from CLP exam

This as qualifying board has deemed them ineligible to sit for certificate as they had not spent at least a year of their degree in UK, as mandated by their course

Suntik bunyian elektronik dalam single baharu, Tam tidak mahu Spider jadi macam Maroon 5

Demi memastikan terus kekal relevan berada di dalam industri, kumpulan Spider akur harus mengikuti arus perubahan muzik masa kini dengan menerapkan bunyian elektronik di dalam dua single terbaharu mereka yang bakal berada di pasaran pada Julai nanti.

Related