AS, Jerman, Itali juga bekal senjata kepada Israel, perlu sekat syarikat mereka?

Ada pemimpin tertentu yang mengambil kesempatan dalam isu BlackRock tanpa melihat gambaran dan kesan lebih besar dari sudut ekonomi

6:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Adakah kerajaan perlu menghentikan segala urusan dengan syarikat dari Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Itali yang menjadi antara tiga negara utama pembekal senjata terbesar kepada Israel?

Persoalan berkenaan dilontarkan oleh Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Madya Azmi Hassan terhadap hipokrasi pemimpin tertentu yang mengambil kesempatan dalam isu BlackRock tanpa melihat gambaran dan kesan lebih besar dari sudut ekonomi.

“BlackRock ada saham dalam syarikat Lockhead Martin yang dikatakan salah satu pembekal utama senjata kepada Israel.

“Tapi masalahnya BlackRock tidak ada kaitan secara terus dengan apa yang berlaku di Gaza, cuma mereka mempunyai saham.

“Kalau itu justifikasi digunakan untuk menghentikan urusan dengan BlackRock, banyak lagi syarikat lain perlu (perlu dihentikan urusan) terutama syarikat yang berpangkalan di AS kerana negara itu adalah pembekal utama senjata kepada Israel.

“Sama juga kita kena berhentikan (urusan) dengan mana-mana syarikat Jerman, yang menjadi negara kedua pembekal senjata kepada Israel dan juga kita (kena) berhentikan mana-mana syarikat milik Itali yang menjadi negara ketiga terbesar membekal senjata kepada Israel,” katanya kepada Scoop hari ini.

Isu BlackRock hangat diperkatakan susulan desakan beberapa pihak supaya kerajaan menghentikan usaha penjualan 30% saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada BlackRock Inc melalui Global Infrastructure Partners (GIP).

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara tiada upaya membatalkan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel tetapi beroperasi di negara lain.

Anwar turut meminta supaya isu BlackRock tidak dijadikan sebagai wayang politik oleh pihak tertentu bagi menghasut rakyat.

Dalam pada itu, Azmi berkata, kenyataan Perdana Menteri bahawa ekonomi negara akan terjejas jika tindakan itu diambil menunjukkan sikap berhati-hati kerajaan dalam menangani isu berkenaan.

“Kerajaan mungkin tidak mahu jika perkara itu dilakukan ia memberi isyarat negatif kepada pelabur terutama dari AS dan AS juga rakan dagang kedua terbesar Malaysia.

“..dan kerana itu kita kena berhati-hati, sebab itu saya melihat kenapa Perdana Menteri mahu semua pihak berhati-hati dalam isu BlackRock itu,” katanya.

Sementara itu pakar ekonomi, Profesor Emeritus Barjoyai Bardai berkata, kenyataan Perdana Menteri itu ada tepatnya kerana dunia mengetahui AS dan Israel antara kuasa ekonomi dunia yang menguasai banyak industri dan perusahaan.

“Hasil produk dieksport ke seluruh dunia tidak terkecuali Malaysia.

“Kalau kata kita nak hidup tanpa ada kaitan langsung dengan Israel mahu pun AS yang menjadi penyokong kuat, mungkin sesuatu yang agak susah.

“Kena usaha semuanya sendiri, tapi kita akan kembali jadi negara asas, kena korbankan ketamadunan kita,” katanya.

Namun dari sudut lain, beliau berkata, urusan penjualan saham berkenaan boleh sahaja ditangguhkan kerajaan kerana ia bukan satu perkara mendesak dan mungkin itu boleh diterima rakyat.

“Lagi pun urusan penjualan saham itu bukan satu perkara terlalu penting yang perlu disegerakan atau perlu diputuskan hari ini juga sebab MAHB pun tidak (terdesak) memerlukan dana, ini pun hanya sebahagian proses pengembangan.

“..dan bukan sebab kerajaan kesesakan duit kecuali kerajaan mempunyai matlamat menjual 30% itu dan hasilnya diperlukan untuk mengurus ekonomi negara, itu lain isulah.

“Hari ini itu bukan isunya, isunya untuk memajukan pengurusan lapangan terbang di Malaysia,” katanya. – 22 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Rape allegations at centre of preacher Zamri Vinoth’s defamation trial

Witness for defence claims in her testimony that preacher had raped her at his Rahang home in 2018

Related