‘Padu’ jadi inspirasi Cikgu Joohari dekati pengundi Sungai Bakap

Calon Kerajaan Perpaduan pada PRK Sg Bakap itu juga mahu menerapkan kempen politik secara berakhlak dan cuba menghulurkan perdamaian

2:25 PM MYT

 

NIBONG TEBAL – Calon Pakatan Harapan (PH) mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin akan mengetengahkan pendekatan ‘Padu’ bagi mendekati pengundi sepanjang gerak kerja kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang bermula hari ini.

Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara berusia 60 tahun itu yang lebih mesra disapa Cikgu Joohari berkata, pendekatan aspirasi daripada akronim Padu tersebut dilihat bersesuaian dengan pelaksanaan kempen di kawasan berkenaan.

“Padu diambil daripada perkataan perpaduan. Jadi saya nak tekankan P ialah prasarana kerana ia sering kali menjadi masalah masyarakat di sini termasuk isu bekalan air, banjir dan juga (kerosakan) jalan raya.

“Huruf A adalah menerusi penekanan akhlak, akademik dan anak muda, manakala D berkisarkan tentang damai, maka kita akan cuba memastikan sekurang-kurangnya untuk peringkat ini kita akan laksanakan kempen politik secara berakhlak dan cuba hulurkan perdamaian,” katanya ketika ditemui selepas selesai penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini hari ini.

Bekas guru dan pemegang ijazah kedoktoran dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata sekiranya diangkat sebagai wakil rakyat kelak, beliau akan memastikan semua pengundi di kawasan itu dilayan secara adil, sesuai dengan huruf U yang bermaksud Untuk Semua.

Joohari berkata, beliau mahu Pakatan Harapan menjadi parti yang dipilih rakyat daripada pelbagai kaum, dan memberi perkhidmatan secara adil kepada semua. – Gambar Facebook PKR, 22 Jun, 2024

“Bila kita dipilih rakyat daripada pelbagai kaum dan parti, maka kita akan beri perkhidmatan kepada semua tidak kiralah yang mengundi atau tak kerana sebagai wakil rakyat kita perlu pastikan rakyat dilayan secara adil,” katanya.

Justeru, Joohari berkata, beliau akan bekerja kuat untuk memenangi kawasan itu sekali gus merealisasikan hasrat PH merampas kembali kerusi DUN Sungai Bakap yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008 sebelum ia terlepas ke tangan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas.

Terdahulu, Pegawai Pengurus PRK DUN Sungai Bakap, Khairulnizam Hashim mengumumkan PRK berkenaan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari dan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Sementara itu, Abidin, 56, ketika ditemui berjanji akan menyambung legasi penyandang kerusi berkenaan Allahyarham Nor Zamri Latiff yang dikenali sebagai individu mudah didekati masyarakat untuk pelbagai urusan, seterusnya berazam meneruskan kelaziman yang ada demi kesejahteraan penduduk setempat.

Calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail (tengah) berjanji akan menyambung legasi penyandang kerusi berkenaan Allahyarham Nor Zamri Latiff yang dikenali sebagai individu mudah didekati masyarakat. – Gambar Facebook PN, 22 Jun, 2024

“Melalui pelbagai program kemasyarakatan yang diatur sepanjang tempoh berkempen, saya juga bertekad untuk menyantuni seramai mungkin pengundi, yang setakat ini kita lihat memberikan sokongan baik,” katanya yang pernah bekerja sebagai pembantu Nor Zamri.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 6 Julai, manakala pengundian awal pada 2 Julai. – 22 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Rape allegations at centre of preacher Zamri Vinoth’s defamation trial

Witness for defence claims in her testimony that preacher had raped her at his Rahang home in 2018

Related