Azmin serah notis kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang

Pada pertemuan dengan Speaker DUN Selangor, Lau Weng San, beliau memaklumkan Datuk Abdul Rashid Asari tidak lagi menjadi ahli Bersatu

4:32 PM MYT

 

SHAH ALAM – Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menyerahkan notis bertulis berhubung kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang.

Notis itu diserahkan Azmin kepada Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berdasarkan Perkara LXVA Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang berkata, pada pertemuan bersama Weng San, beliau memaklumkan Datuk Abdul Rashid Asari tidak lagi menjadi ahli Bersatu.

“Saya memaklumkan status Abdul Rashid terhenti menjadi Adun Selat Klang dan kerusi Selat Klang hendaklah dikosongkan.

“Speaker juga dimaklumkan bahawa satu notis pemakluman sudah disampaikan kepada Abdul Rashid pada 12 Jun 2024.

“Notis pemaklumkan itu menyatakan bahawa keahlian Abdul Rashid dalam Bersatu terhenti serta-merta, seperti termaktub di bawah Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan untuk menyerahkan notis itu kepada Speaker.

Turut hadir, Adun Sungai Ramal, Shafie Ngah.

Menurut Azmin, pada pertemuan itu, beliau menarik perhatian Speaker mengenai Akta Pertubuhan 1966 yang menegaskan bahawa keputusan sesuatu parti politik mengenai pentafsiran perlembagaan, kaedah atau peraturannya atau apa-apa perkara yang berhubungan dengan hal ehwal parti itu, adalah muktamad dan konklusif.

“Saya memohon Speaker membuat pemastian bahawa sudah berlakunya kekosongan luar jangka untuk kerusi Selat Klang.

“Seterusnya, menurut Perkara LXVA (3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Speaker hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sewajarnya dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan notis bertulis yang saya serahkan secara tangan kepada Speaker hari ini, supaya proses pilihan raya dapat diatur bagi mengisi kekosongan kerusi Selat Klang,” katanya.

Azmin berbincang sesuatu dengan Adun Sungai Ramal, Shafie Ngah ketika hadir di Wisma Dewan Negeri Selangor di Shah Alam untuk menyerahkan notis kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang. – Azim Rahman/Scoop, 21 Jun, 2024

Justeru, Azmin berkata, beliau mendesak Speaker berpegang kepada dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan; Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan undang-undang negara dalam menjalankan tugas dan fungsi beliau di bawah Perkara LXVA (3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Sayugia diingatkan Speaker perlu mematuhi dan menunaikan sumpah jawatan beliau untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Negeri Selangor (Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959),” katanya.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu, iaitu Abdul Rashid digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Mereka menerima surat arahan itu selepas menyatakan sokongan secara terbuka kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Enam Ahli Parlimen itu adalah Ahli Parlimen Gua Musang yang juga Adun Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Kelmarin, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuat kuasa serta-merta.

Mohd Amar berkata, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Adun dan Bersatu pada 13 Jun lalu, mengenai status Mohd Azizi yang terhenti keahlian dalam parti. – 21 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

US embassy refutes claims of new sanctions on Malaysian companies  

Washington has not listed Putrajaya as ‘state sponsor of terror’, it clarifies

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Related