Lelaki reda impian ayah mahu meninggal dunia di Tanah Suci termakbul 

Fazrihin Bawi dari Kampung Pusa, Betong, Sarawak tidak menyangka ajakan bersungguh-sungguh mahu dia ikut bersama menunaikan haji tahun ini menjadi permintaan terakhir bapanya

11:44 AM MYT

 

MAKKAH – Seorang jemaah Malaysia di sini tidak menyangka ajakan bersungguh-sungguh mahu dia ikut bersama menunaikan haji menjadi permintaan terakhir bapanya.

Fazrihin Bawi, 27, dari Kampung Pusa, Betong, Sarawak berkata, sebaik sahaja menerima tawaran daripada Lembaga Tabung Haji (TH), bapanya Bawi Solek, 79, beria-ria meminta menemankan ke Tanah Suci bersama ibu Seput Ujang, 71, namun dia menolak.

Allahyarham Bawi meninggal dunia selepas rebah ketika dalam perjalanan untuk melakukan ibadah melontar di Jamratul Aqaba.

“Ayah paksa saya banyak kali untuk teman dia, tetapi saya menolaknya kerana sepatutnya kakak saya yang pergi bersama mereka. Hal itu menyebabkan dia marah dan walaupun saya telah memberikan penjelasan bahawa saya tidak boleh pergi disebabkan kerja, namun arwah enggan menerima.

“Bagaimanapun seminggu sebelum ayah menunaikan haji, saya terima panggilan daripada TH yang memaklumkan bahawa mereka memerlukan peneman lelaki untuk kedua orang tua saya menyebabkan saya akur. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan untuk pergi haji termasuk berkaitan visa, pasport dan pemeriksaan kesihatan,” kata anggota tentera itu kepada petugas media di sini semalam.

Fazrihin berkata, bapanya orang yang paling gembira sebaik sahaja mengetahui bahawa dia yang juga anak bongsu daripada lapan beradik akan turut sama mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Sementara itu, menceritakan kembali detik terakhir bersama arwah, beliau berkata, selepas solat Asar Ahad lepas (10 Zulhijah), dia bertanya bapa sama ada cukup sihat untuk berjalan ke kompleks Jamrah yang terletak kira-kira 3.5 kilometer dari khemah di Mina bagi melaksanakan ibadah melontar.

Gambar kenangan terakhir Allahyarham Bawi bersama ahli keluarga sebelum berangkat menunaikan haji tahun ini. Allahyarham salah seorang daripada enam jemaah haji yang meninggal dunia selepas melakukan ibadah wukuf di Arafah. – Gambar Bernama, 21 Jun, 2024

“Ayah menyatakan kesanggupan dan kami pergi bersama seorang lagi sepupu dan rakan ayah. Semasa di terowong pertama, ayah masih boleh berjalan lagi dengan beberapa kali berhenti untuk melepaskan penat sambil minum air. Namun ketika sampai terowong kedua saya lihat ayah mulai dalam keadaan pelik.

“Saya menyuruhnya berhenti seketika untuk memberinya minum air kerana keadaan dalam terowong ketika itu sangat panas, namun dia enggan kerana katanya belum dahaga.
Tidak lama selepas kami meneruskan perjalanan ayah mulai terhuyung-hayang dan menggigil sebelum diserang sesak nafas,” katanya.

Melihat keadaan itu, dia cuba mencari kerusi roda namun gagal ditemukan, dan melihat keadaan bapanya yang semakin lemah, tanpa berfikir panjang dia segera menggendong orang tuanya itu dan berlari mencari bantuan perubatan.

Fazrihin memberitahu, dia terpaksa beberapa kali berhenti sebelum berlari semula dengan tangan ayahnya berpaut pada leher, namun pautan tersebut kian longlai sebelum warga emas itu rebah sambil memeluknya.

“Selepas rebah, saya pangku ayah di riba saya dan nampak dia mengalami sesak nafas, tidak lama kemudian seorang anggota polis Arab Saudi datang memberi bantuan diikuti seorang petugas perubatan Indonesia yang menawarkan diri untuk mencari kerusi roda untuk menolak ayah ke khemah perubatan berhampiran.

“Bagaimanapun tidak lama selepas itu saya dapati nadi ayah telah berhenti, menyebabkan sekali lagi saya mengangkat ayah dan berlari ke khemah perubatan Indonesia tidak jauh dari tempat berkenaan. Mereka membantu melakukan CPR dan Alhamdulillah ayah kembali sedar, namun lemah,” katanya sambil menambah bapanya dibawa ke sebuah hospital Arab Saudi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Keesokan paginya dia dimaklumkan oleh Pengurus Maktab 79, Al’Amin Jaminon bahawa bapanya telah menghembuskan nafas terakhir namun menyangkakan berita itu gurauan.

Sebaik sahaja tiba di hospital untuk urusan pengecaman jenazah, barulah dia menyedari hakikat sebenar bahawa bapanya benar-benar telah tiada, namun menurut Fazrihin, hatinya yang sedih terubat apabila melihat raut wajah arwah tersenyum.

“Saya reda sebab ayah pernah maklumkan bahawa dia ingin meninggal di Makkah dan untuk kali terakhir saya bantu uruskan jenazahnya daripada proses mandi, kapan dengan kain ihram, sembahyang dan sambutnya di liang lahad. Saya doakan semoga roh ayah dilepaskan dari azab kubur dan di syurga tempatnya,” katanya. – 21 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Rape allegations at centre of preacher Zamri Vinoth’s defamation trial

Witness for defence claims in her testimony that preacher had raped her at his Rahang home in 2018

Related