Pindaan Akta Perubatan tidak akan selesaikan isu Parallel Pathway, KKM sepatutnya… : Dr Dayang Anita

Ia akan menyebabkan tiada pemantauan badan bebas ke atas program dijalankan

4:29 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Isu Program Latihan Ijazah Kepakaran atau Parallel Pathway tidak hanya akan selesai dengan pindaan Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

Pakar Perundingan Kanan Pembedahan Pediatrik, Dr Dayang Anita Abdul Aziz berkata, tindakan memudahkan laluan kemasukan doktor bagi program tersebut ke dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) akan menyebabkan tiada pemantauan badan bebas ke atas program dijalankan.

“Kita hanya akan bergantung kepada individu-individu dalam Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk membuat keputusan pengiktirafan tanpa ada proses jaminan kualiti yang telus dan tidak terikat dengan undang-undang.

“Perbuatan ini amat bahaya kepada kualiti pakar yang dikeluarkan dan kesannya adalah kepada rakyat. Kita wajib memastikan pakar-pakar ini benar-benar terlatih dan selamat.

“Jadi kita tidak boleh tergesa-gesa meminda undang-undang yang terbukti berkesan. Kita mempunyai kewajipan untuk memastikan semua pakar dalam NSR melalui program latihan bertauliah yang betul dan mencapai piawaian ditetapkan,” katanya kepada Scoop.

Sebaliknya, beliau berkata, KKM perlu mencari jalan untuk membolehkan doktor bagi program tersebut memasuki NSR secara sah iaitu dengan memindahkan graduan (lulus) ke program bertauliah di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Malah katanya, KKM juga perlu memastikan kumpulan tersebut melalui penilaian tahun akhir oleh Jawatankuasa (JK) Bersama Kepakaran Disiplin berkenaan.

“JK Bersama Kepakaran ini diwakili oleh pakar-pakar dari setiap universiti dan KKM. Setelah mereka lulus peperiksaan dan penilaian, mereka boleh memenuhi syarat lain untuk memasuki NSR.

“Setiap bidang kepakaran mempunyai JK Bersama Kepakaran Kebangsaan. Ahli-ahlinya adalah dari setiap universiti yang menjalankan program kepakaran dan pakar-pakar bidang dari KKM juga.

“Sebagai contoh, bagi Pembedahan Pediatrik, ahli-ahlinya adalah dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ketua-ketua Pembedahan Pediatrik dari KKM,” katanya.

Justeru, katanya, KKM harus menggunakan pendekatan sama untuk kesemua pelatih dalam program Parallel Pathway jika mereka serius untuk menambah bilangan pakar di negara ini.

“Pelatih tersebut telah diberikan biasiswa (Hadiah Latihan Persekutuan HLP) untuk melakukan latihan kepakaran. Mereka mesti melalui program bertauliah supaya kelayakan yang mereka miliki diiktiraf kelayakannya untuk memasuki NSR.

“Bukannya meminda akta supaya memudahkan program berjenama luar negara ini diterima sebagai program bertauliah tanpa proses jaminan kualiti dan memasukkan dengan mudah para doktor dari program ini ke dalam NSR,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, keengganan KKM menerima saranan tersebut perlu dipersoal kerana pada asasnya mereka mahu kelayakan luar negara terutama dari United Kingdom (UK) dan Australia diiktiraf tanpa proses jaminan kualiti.

Katanya, ini kerana jika benar doktor-doktor tersebut yang membawa kelayakan dari UK dan Australia berkualiti, mereka sepatutnya tidak ragu-ragu menduduki peperiksaan akhir pakar dari program tempatan.

“KKM harus menilai semula program Parallel Pathway dengan mewajibkan ia untuk ditauliahkan melalui kerjasama dengan IPTS berdaftar untuk menjalankan program, bukannya persatuan.

“Malah, katanya, cara terbaik ialah dengan menyokong program latihan kepakaran tempatan yang tertakluk kepada proses jaminan kualiti ketat untuk melahirkan pakar bertaraf tinggi.

“Tenaga kepakaran KKM elok digunakan sebagai tenaga pengajar klinikal, bukannya terbeban menjalankan program kepakaran lebih-lebih lagi jika tidak mahu melakukan proses jaminan kualiti,” katanya.

Pada masa sama, Dr Dayang Anita turut mempersoalkan mengapa KKM dan KPT tidak bertindak atas cadangan untuk membolehkan ‘graduan’ Kardiothorasik Parallel Pathway diserap ke dalam program tempatan.

“Kini, beberapa doktor ini memilih untuk meninggalkan negara ini. Mereka berbuat demikian atas kerelaan mereka sendiri. Mereka sebenarnya doktor yang masih bertugas sebagai registrar Cardiothoracic di Malaysia, bukannya menganggur.

“Tanggapan orang ramai adalah mereka diterima sebagai pakar di UK, kononnya satu kerugian untuk negara. Daripada mempercayai cerita ini, elok menyemak dengan Majlis Perubatan Am (GMC) status sebenar mereka di sana.

“Sejujurnya, pemergian mereka ini satu langkah baik untuk pergi ke UK dan melengkapkan laluan portfolio di sana sebelum mereka dikitiraf sebagai pakar oleh GMC. Apabila mereka kembali, MMC boleh mengiktiraf kelayakan mereka dan kemasukan ke NSR tidak akan menjadi isu selagi memenuhi segala keperluan seperti dikenakan ke atas pakar graduan tempatan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KKM sepatutnya memfokuskan kepada peningkatan dasar dan prasarana kesihatan selain isu membabitkan pegawai perubatan, bukannya melahirkan program kepakaran berjenama kelayakan luar negara yang tidak mengikut proses jaminan kualiti.

“10 tahun lalu, Program Kepakaran Pembedahan Pediatrik UKM menerima pengambilan pertamanya pada 2014, tahun sama KKM memulakan program Parallel Pathway. UKM telah mematuhi semua proses jaminan kualiti dan kelayakan diiktiraf untuk memasuki NSR.

“Kita menghasilkan graduan setiap tahun semenjak 2019. KKM sepatutnya melakukan perkara sama, mengikut proses jaminan kualiti, berdasarkan akta, jika serius hendak menambah jumlah pakar yang berkualiti dan selamat untuk rakyat,” katanya.

Terdahulu, Kabinet memutuskan isu Parallel Pathway akan diselesaikan menerusi pindaan undang-undang di Parlimen.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan akan dibentangkan di Parlimen seawalnya pada persidangan akan datang.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjelaskan isu pokok yang timbul berkaitan dengan kemelut Parallel Pathway dalam bidang pembedahan kardiotorasik ialah isu pengiktirafan latihan kepakaran ‘Parallel Pathway’ yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.

Kedua, katanya adalah isu pendaftaran pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran ‘ParallelPathway’ dalam NSR di bawah MMC. – 14 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

LA County Coroner’s Office defers Friends star Matthew Perry’s cause of death

Authorities said they are awaiting toxicology results and further investigation with law enforcement, which could take weeks to complete, reported TMZ.

Related