Datuk, nenek Zayn Rayyan ditahan polis

Sumber memberitahu, kedua-duanya ditahan bagi membantu siasatan

5:22 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Datuk dan nenek kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya petang ini.

Sumber memberitahu Scoop, kedua-duanya ditahan bagi membantu siasatan.

Walau bagaimanapun sumber tidak memberikan keterangan lanjut mengenai tindakan tersebut.

“Ya (ditahan). Untuk bantu siasatan, itu sahaja saya boleh katakan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, peguam mewakili ibu dan bapa Zayn Rayyan, Fahmi Abd Moin ketika dihubungi Scoop mengesahkan mengenai perkara tersebut.

Terdahulu Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan turut mengesahkan mengenai penahanan datuk dan nenek Zayn Rayyan.

Menurut beliau, pasangan yang juga ibu dan bapa kepada Zaim Ikhwan Zahari itu ditahan jam 2.30 petang tadi di Subang Bestari.

“Penahanan mereka bagi membantu siasatan kes Zayn. Kita akan memohon perintah tahanan reman terhadap kedua-duanya di Mahkamah Petaling Jaya esok pagi,” katanya kepada Scoop.

Sementara itu difahamkan mereka ditahan anggota D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Dalam pada itu sumber lain memberitahu Scoop, kedua-duanya ditahan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka selepas hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pagi ini.

Pagi ini, Ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf tidak membuat sebarang pengakuan bersalah dalam prosiding tertutup dalam kamar di Mahkamah Majistret.

Peguam mewakili Ismanira, Mahmud Jumaat berkata, pihak polis hari ini membawa Ismanira, 29, bagi mendapatkan pengakuan bersalah di hadapan majistret mengikut Seksyen 26 (1) Akta Keterangan 1950.

Seksyen berkenaan menyatakan tiada pengakuan salah yang dibuat oleh mana-mana orang semasa berada dalam jagaan seseorang pegawai polis boleh dibuktikan bagi menentang orang itu melainkan jika pengakuan salah itu dibuat di hadapan seorang Hakim Mahkamah Sesyen atau Majistret.

“Ini adalah proses yang diambil polis sekiranya ada pengakuan salah, namun dalam kes ini tiada pengakuan salah, sebaliknya anak guamnya hanya memberi keterangan.

“Isma hari ini menekankan bahawa dia tidak ingin membuat sebarang pengakuan bersalah, sebaliknya memberi keterangan berlainan daripada apa yang didakwa di luar sana, kononnya dia sudah membuat pengakuan salah dan terbabit dalam pembunuhan,” katanya.

Mahmud berkata, hanya Ismanira yang dibawa ke mahkamah hari ini bagi prosiding berkenaan dan esok merupakan penentu sama ada pasangan itu atau salah seorang daripada mereka akan didakwa.

Pada 31 Mei lalu, polis menahan pasangan suami isteri yang juga ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari serta Ismanira Abdul Manaf dan mereka ditahan reman selama enam hari sejak 1 Jun lalu.

Namun pada 7 Jun, polis telah mendapatkan perintah melanjutkan reman sehingga esok.

Isnin lalu, Ismanira dibawa ke lokasi kejadian pembunuhan di Apartment Idaman di Damansara Damai, untuk melakonkan semula kejadian yang membawa kepada kehilangan dan penemuan mayat kanak-kanak berkenaan tahun lalu.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di anak sungai kira-kira 200 meter dari rumah keluarganya pada 6 Disember tahun lalu. – 12 Jun, 2024

Topics

Hangat

Shahril Mokhtar quits FAM, citing reasons only he and Hamidin know

FAM executive committee member said decision is unconnected to Selangor Sultan’s decree today against the footballing body

[UPDATED] UiTM remains Bumiputera-exclusive, UM offers cardiothoracic surgery course: Zambry

MoHE solves shortage of postgraduates in cardiothoracic field by calling universities to emulate UM’s initiatives, only UiTM offers course currently

No-show husband, no legal rep: how difficult is divorce for Muslim women?

Allow judges to issue arrest warrants for men refusing to attend trial, improve accessibility to lawyers, suggest shariah experts

Related