Ungkapan ‘first love’ disebut Ustaz Don terhadap Rasulullah SAW, Ummu Hani’ kurang sesuai

Ustaz Don bagaimanapun tidak melakukan perkara bertentangan syarat tauliah seperti melanggar prinsip utama Ahli Sunnah wal Jamaah, memberi pandangan bertentangan dengan fatwa setempat dan menyentuh isu sensitif seperti 3R

11:19 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ungkapan ‘first love’ atau cinta pertama yang disebut pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid atau Ustaz Don merujuk kepada Rasulullah SAW dan Ummu Hani’ dirasakan kurang sesuai dan memberi gambaran tidak menyenangkan kepada mereka yang mendengarnya.

Demikian ditegaskan Majlis Akademik Islami dalam kenyataan bersama 23 ahli akademik Islam berkaitan kisah pinangan Nabi Muhammad SAW yang disebut Ustaz Don baru-baru ini.

Menurut kenyataan tersebut, untuk itu para pendakwah perlu bersikap lebih berhati-hati dalam tutur kata serta memilih istilah yang tepat dan sesuai supaya apa yang dilafaz tidak mudah disalah erti.

Walau bagaimanapun katanya, Ustaz Don tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syarat tauliah seperti melanggar prinsip utama dalam Ahli Sunnah wal Jamaah, memberi pandangan yang bertentangan dengan fatwa setempat dan menyentuh isu sensitif seperti 3R (agama, kaum dan raja).

“Pun begitu, jika ia sekadar ketidaktepatan pemilihan perkataan yang tidak membawa kepada kerosakan iman, maka tidak perlu sehingga membawa kepada cercaan, cacian, makian, hinaan serta tuduhan-tuduhan liar seperti penglipur lara dan sebagainya. Apatah lagi sehingga digam daripada meneruskan khidmat menyampaikan ilmu dan maklumat kepada masyarakat.

“Tanpa menafikan andaian wujudnya kesilapan isu cabang ‘ijtihadi’ dalam penyampaian kalangan pendakwah agamawan, ia amat tidak wajar dieksploitasi atau diambil kesempatan oleh kalangan mereka yang berkepentingan untuk melakukan ‘character assassination’ (pembunuhan watak) dan melumpuhkan karier dakwah pendakwah agamawan tertentu,” katanya.

Tambah kenyataan itu, isu berkenaan sewajarnya ditangani melalui mekanisme konstruktif secara lebih berhemah dalam kalangan agamawan dan pihak berautoriti agama, bukan melalui platform media sosial yang mendedahkan kritikan terbuka oleh masyarakat awam sehingga ke tahap mencaci tanpa adab.

Katanya, kisah mengenai pinangan Nabi Muhammad SAW kepada Ummu Hani’ yang diriwayatkan oleh Muhammad Al-Sa’ib disebut dalam beberapa kitab-kitab sejarah.

Malah para ulama juga berpendapat harus mengambil pendapat yang lemah selagi ia bukan berkaitan dengan perkara hukum dan akidah sebagaimana yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi serta Imam al-Baihaqi dan Ibnu ‘Abd al-Barr, Imam al-Baqa’iy dan lainnya.

“Periwayatan kisah dan sirah nabi dari sumber yang diragui atau lemah bukanlah perkara baharu dan menjadi isu perlu diperbesarkan. Bahkan Syaikh Dr. Saeed al-Kamali dari Maghribi menegaskan periwayatan sirah Nabi SAW tidaklah seketat hadis daripada kitab-kitab Sunan kerana ia lebih kepada motivasi, gambaran sejarah dan tidak digunakan untuk penetapan hukum halal dan haram.

“Oleh itu tidak menjadi kesalahan untuk meriwayatkan hadis yang lemah sekalipun dalam konteks sirah ini, lebih-lebih lagi Ustaz Don hanya menceritakan apa yang termaktub dalam kitab rujukan beliau.

“Pendekatan penilaian sesuatu sumber dalam periwayatan sirah dan kisah adalah sesuatu yang perlu dibezakan dengan menilai sumber bagi sesuatu perkara yang berkaitan dengan akidah dan hukum,” kata kenyataan itu.

Pendakwah bebas terkenal itu turut mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, wakil Kementerian Dalam Negeri dan Ustaz Fawwaz Fadhil selepas ‘direhatkan’ daripada program Salam Baitullah. – Gambar FB Ustaz Don Daniyal, 11 Jun, 2024

Tambahnya, kisah itu juga tidak merendahkan kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang nabi dan utusan Allah yang mulia, apatah lagi ia juga berlaku sebelum kenabian baginda.

“Melihat kepada masa peminangan pertama itu berlaku, tidak terlampau jauh, sekiranya dianggapkan itu adalah wanita pertama yang menarik hati Rasulullah SAW untuk diambil menjadi isteri,” katanya.

Baru-baru ini Scoop melaporkan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertindak ‘merehatkan’ Ustaz Don daripada program Salam Baitullah selepas dikritik susulan dakwaannya berkaitan kehidupan Nabi Muhammad SAW.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman menerusi ciapan di laman X. – 11 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Shahril Mokhtar quits FAM, citing reasons only he and Hamidin know

FAM executive committee member said decision is unconnected to Selangor Sultan’s decree today against the footballing body

[UPDATED] UiTM remains Bumiputera-exclusive, UM offers cardiothoracic surgery course: Zambry

MoHE solves shortage of postgraduates in cardiothoracic field by calling universities to emulate UM’s initiatives, only UiTM offers course currently

Related