PRK KKB: Strategi kempen minggu akhir, ini nasihat penganalisis politik…

Ketika kempen memasuki 'pecutan akhir', penganalisis politik kecewa kerana baik calon kerajaan mahu pun pembangkang masih melakukan serangan peribadi terhadap lawan

9:44 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kurang seminggu menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Sabtu ini, penganalisis politik meluahkan kekecewaan dengan corak kempen ditunjukkan parti bertanding yang dianggap masih tidak profesional.

Bercakap kepada Scoop, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Rusdi Omar berkata, kedua-dua parti dan calonnya, iaitu dari kerajaan dan pembangkang tetap melakukan serangan peribadi serta provokasi terhadap pihak lawan, berbanding memberi tumpuan terhadap permasalahan masyarakat setempat.

Katanya, pada saat akhir seperti ini, parti dan calon sepatutnya memberi fokus utama kepada isu rakyat dan bagaimana cara terbaik untuk mengatasinya.

“Maksudnya hal ehwal masyarakat itu harus paling diutamakan, bukan hal ehwal individu atau calon tertentu, sekarang ni bukan masa nak tunjukkan calon ini ada degree (ijazah) atau tak, calon ini bagus atau tak kerana paling penting, apa dia punya objektif untuk kepentingan rakyat.

“Kalau menang apa mereka boleh buat, tetapi sekarang ini parti dan calon kerajaan atau pembangkang pun sama, cakap benda serupa, menghentam, menyerang, guna pendekatan politik tidak profesional serta tidak berhemah.

“Politik sekarang berbeza dengan zaman dahulu apabila sebelum ini parti bertanding boleh menang begitu sahaja, tetapi kini parti dan calon bukan sahaja perlu elak memainkan isu 3R, iaitu agama, kaum serta raja, tetapi juga bijak mencari strategi yakinkan pengundi,” katanya ketika dihubungi.

Profesor Rusdi Omar berkata, fokus kempen sepatutnya terarah kepada isu rakyat dan cara terbaik untuk mengatasinya bukan bercakap soal perkara remeh seperti keputusan SPM atau ijazah. – Gambar Scoop, 6 Mei, 2024

Beliau berkata, bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), memerlukan calon berdepan dan berinteraksi dengan masyarakat, justeru sekiranya mereka memiliki kriteria sebagai pemimpin komuniti setempat dan diyakini mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik, ia sudah memadai untuk pengundi memilih mereka.

“Masyarakat sekarang adalah kelompok bijak menilai, bila kita bercakap benda negatif dan memburukkan atau mencari salah mana-mana pihak ketika berkempen, pengundi akan terfikir ‘apa individu ini boleh membantu rakyat jika menang sebab tidak jelas apa ingin dilakukan calon serta parti,” katanya.

Rusdi berkata, lebih membimbangkan, sikap negatif ditunjukkan calon itu tidak mustahil menyebabkan rakyat enggan keluar mengundi kerana tidak yakin dan kecewa.

“Sepatutnya calon pemimpin kerajaan kena highlight (tumpu) apa yang sudah kerajaan buat untuk mengatasi masalah ekonomi, sara hidup rakyat, bukan nak highlight apa calon itu ada, contohnya kelulusan akademik bagus.

“Sama juga calon pembangkang, dia tak boleh nak kata dalam setahun dia nak suruh semua kerajaan buat, mestilah memakan masa, beri masa sepatutnya kepada kerajaan sekarang ini untuk memperbaiki apa kurang baik,” katanya.

Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi percaya, berkempen dari rumah ke rumah antara strategi terbaik menuju ke hari-hari terakhir pilihan raya. – Gambar Facebook, 6 Mei, 2024

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik dari Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, strategi kempen terbaik dalam tempoh akhir menjelang hari pengundian adalah memerlukan calon turun padang bertemu pengundi dari rumah ke rumah.

Pendekatan menggunakan strategi secara bersua muka itu, katanya, adalah bagi menunjukkan kehadiran dan komitmen mereka untuk menawarkan janji serta manifesto secara lebih dekat kepada pengundi.

Namun, beliau juga tidak menolak kempen menggunakan media sosial juga menjadi pilihan terbaik dalam menarik hati pengundi kawasan itu yang menetap di luar tempat lain ketika ini.

“Sudah tentu media sosial pilihan terbaik jika calon tidak berkesempatan bergerak lebih jauh untuk bertemu pengundi, malah media sosial ini mampu mendekatkan pengundi yang jauh untuk berhubung,” katanya.

Pakatan Harapan mempertaruhkan calon muda dari DAP, Pang Sock Tao yang akan menentang tiga calon lain dalam PRK Kuala Kubu Baharu. – Halim Salleh/Scoop, 6 Mei, 2024

Ditanya mengenai tindakan segelintir parti yang enggan membantu kempen gabungan sendiri di PRK kawasan berkenaan dan memboikotnya, Awang Azman tidak menolak kemungkinan ia akan memberi kesan negatif terhadap parti sendiri.

Tegasnya, kesan mungkin boleh dilihat akibat ketidakpuasan hati itu adalah menurunkan peratusan keluar mengundi, mengurangkan peluang parti meraih kemenangan dan menjejaskan keputusan PRK.

Awang Azman berkata, dalam politik sememangnya terdapat banyak kerenah antara parti politik sama ada membabitkan gabungan sama atau dengan sekutu seperti boleh dilihat di PRK Kuala Kubu Baharu.

Sebagai ‘orang lama’ dalam politik di Hulu Selangor, Perikatan Nasional meletakkan harapan tinggi kepada Khairul Azhari Saut, 54, untuk menawan DUN Kuala Kubu Baharu. – Azim Rahman/Scoop, 6 Mei, 2024

“Namun, apabila mereka tak turun padang, bagi menjaga hati komponen, mereka juga boleh berkempen di media sosial, tak ada lah mereka dilihat terlalu keras dalam soal ini.

“Kita tahu sebagai komponen akhirnya mereka akan akur jugalah kepada parti, tapi dalam politik, (situasi) merajuk, tidak puas hati, memang sentiasa berlaku antara mereka,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu pada 27 April lalu, manakala hari pengundian 11 Mei ini.

PRK itu diadakan selepas kematian Ahli Dewan Undangan Neger (Adun) kawasan berkenaan, Lee Kee Hiong bulan lalu akibat kanser.

Kee Hiong yang juga dari DAP memegang kerusi Kuala Kubu Baharu sejak 2013, dengan menerima pujian atas perkhidmatannya sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Sock Tao dari Pakatan Harapan (PH); Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin dan Bebas, Nyau Ke Xin. – 6 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Dangdut star Baby Shima, lampoonist Zunar unite to expose religious hypocrisy in new single

In an unexpected collaboration, local dangdut star Baby Shima and political cartoonist Zunar have teamed up for a new music single titled Cari-Cari Salah (Finding Faults).

Where is Sabah AG Nor Asiah on 40% grant revenue issue, ask state advocates

Former assemblyman says AG should be at the forefront in advocating for Sabah's rights

Related