Arab Saudi wajibkan jemaah haji ada kad Nusuk sebelum tiba di Tanah Suci

Kad tersebut wajib dibawa ketika jemaah berada di Makkah dan Madinah serta untuk pergerakan mereka antara Mina, Arafah dan Muzdalifah

9:15 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Haji dan Umrah menggesa jemaah yang datang dari dalam mahupun luar Arab Saudi untuk mendapatkan kad Nusuk yang baru dilancarkan bagi kegunaan musim haji tahun ini sebelum tiba di Tanah Suci.

Portal berita Saudi Gazette melaporkan semua jemaah diwajibkan untuk membawa kad tersebut ketika perjalanan dan pergerakan sepanjang tempoh haji bermula dari ketibaan sehingga pulang ke negara masing-masing.

Kementerian itu menegaskan kad tersebut wajib dibawa ketika jemaah berada di Makkah dan Madinah serta untuk pergerakan mereka antara Mina, Arafah dan Muzdalifah.

Kad itu juga mengandungi butiran mengenai pengendali haji masing-masing dan cara berkomunikasi dengannya, selain mengetahui jadual kumpulan jemaah dan alamat kediaman.

Kementerian itu menyatakan jemaah haji juga boleh menerima makluman khas, selain penilaian perkhidmatan yang disediakan dan menyalurkan aduan mereka melalui kad digital.

Terdahulu, Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Al-Rabiah memperkenalkan kad jemaah haji Nusuk dengan menyampaikan salinannya kepada Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Yaqut Cholil Qoumas di Jakarta pada Selasa lalu semasa lawatan rasminya ke Indonesia.

Pelancaran kad itu adalah siri terbaru dalam pembaharuan diperkenalkan kerajaan Arab Saudi sebagai sebahagian usaha berterusan menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada jemaah haji.

Kad tersebut bertujuan meningkatkan kecekapan prosedur operasi musim haji bagi memudahkan ibadah haji serta mengurangkan kadar individu mengerjakan haji secara haram.

Ia direka bentuk supaya mudah dibaca secara automatik dan memudahkan pekerja haji mengenal pasti serta mengesahkan identiti setiap jemaah.

Kad itu juga berupaya menghalang individu yang tidak dibenarkan memasuki Tanah Suci, sekali gus dapat melindungi keselamatan jemaah.

Menurut kementerian itu lagi, kad tersebut dikeluarkan dalam format digital dan fizikal.

Salinan cetakan kad itu akan dihantar kepada jemaah haji atau pengendali haji masing-masing.

Salinan digital itu boleh didapati melalui akaun jemaah haji di aplikasi Nusuk dan Tawakkalna.

Kementerian itu juga memaklumkan jemaah haji mesti mengimbas kod QR pada kad yang dicetak dan kemudian mengikut arahan diberikan bagi mendapatkan versi digital kad itu.

Pelbagai kemudahan disediakan oleh kad itu kepada jemaah haji dan paling penting ia berfungsi untuk membuktikan identiti jemaah haji di hadapan pihak berkuasa dengan memaparkan maklumat penting seperti data peribadi, alamat serta rekod kesihatan jemaah, yang dipautkan kepada aplikasi telefon pintar.

Pada Mac lalu, kementerian itu melancarkan edisi kedua “Inisiatif Jusoor” yang bertujuan untuk meningkatkan komunikasi dengan pelbagai negara di seluruh dunia, serta mengkaji usaha kerajaan dalam melayani tetamu Allah dan memudahkan prosedur bagi ketibaan mereka sana. – 3 Mei, 2024

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related