Renjis, bilas kenderaan dengan air ruqyah bukan khurafat tapi diharuskan dalam syarak

Penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan itu susulan video tular seorang ulama merenjis air ke kereta yang tular baru-baru ini

9:20 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perbuatan merenjis atau membilas kenderaan dengan air yang dibaca dengan zikir dan ruqyah seperti dalam video tular baru-baru ini, bukanlah perbuatan khurafat tetapi sesuatu yang dibenarkan dan diharuskan dalam syarak.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, ia merupakan satu cara untuk melakukan ruqyah seperti yang disebutkan golongan ulama.

“Setiap umat Islam dituntut untuk berikhtiar bagi menjadi diri, keluarga dan hartanya daripada sebarang perkara yang tidak diinginkan seperti kecurian, kemalangan dan daripada penyakit seperti penyakit ‘ain dan seumpamanya.

“Berkaitan penyakit al-‘ain secara khusus, Nabi SAW pernah menyebut bahawa penyakit ini sesuatu yang benar dan apabila seseorang diminta untuk mandi bagi menyembuhkan penyakit itu, maka hendaklah dia mandi,” katanya dalam satu petikan.

Penjelasan itu dibuat susulan video yang tular memaparkan tindakan seorang ulama dari Pattani, Thailand merenjis air ke kereta hingga ada yang menganggapnya sebagai khurafat dan tidak dilakukan Nabi Muhammad SAW serta sahabatnya.

Malah katanya, penyakit al-‘ain itu benar dan sebahagian ulama juga menyebutkan ia boleh menimpa haiwan dan benda tidak bernyawa (al-jamādāt) seperti pokok, batu, kereta dan seumpamanya.

“(Justeru) Terdapat pelbagai cara untuk melindungi diri daripada penyakit ‘ain ini seperti membaca ruqyah dan doa.

“Salah satu bentuk usaha dan ikhtiar juga adalah dengan memandikan atau membilas dengan air berdasarkan sabda Nabi SAW, ‘jika diminta kepada kamu untuk mandi (bagi penyembuhan, maka hendaklah kamu mandi’.

“Hal ini juga diharuskan dengan cara merenjis-renjis air kepada perkara yang tidak bernyawa seperti rumah dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, sesuatu perkara yang tidak dilakukan Rasulullah SAW dan sahabatnya tidak semestinya perkara itu diharamkan oleh syarak.

“Hujah Nabi SAW dan para sahabat tidak pernah melakukannya tidak boleh diterima kerana tidak semestinya perkara yang ditinggalkan oleh mereka itu terus menjadi haram.

“Bahkan, terdapat banyak perbuatan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat, namun masih dalam hukumnya yang asal iaitu sunat dan harus,” katanya.

Tambahnya, sesetengah individu sengaja menimbulkan kekeliruan dengan menjadikannya sebagai hujah bahawa, jika sesuatu itu baik sudah tentu Nabi SAW dan para sahabat terlebih dahulu akan melakukannya, sedangkan perkara itu tidak benar.

“Terdapat banyak perkara yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan perkara itu tidak menjadi haram atas pelbagai sebab.

“Contohnya, Nabi SAW pernah meninggal perbuatan memakan haiwan dhab walaupun dipelawa oleh para sahabat kerana ia bukan adat baginda SAW,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Nabi SAW tidak mengharamkan para sahabat daripada memakan haiwan itu.

“Justeru itu, tidak semestinya sesuatu yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW merupakan satu perkara yang haram.

“Ini tidak boleh dijadikan hujah untuk mengharamkan sesuatu perbuatan yang tiada dalil daripada syarak yang menunjukkan kepada pengharaman tersebut,” katanya.

Justeru, katanya, perbuatan merenjis atau membilas kenderaan yang dibacakan dengan zikir dan doa ruqyah harus dilakukan dengan tujuan menjaga sesuatu barang atau kenderaan daripada penyakit al-‘ain dan musibah,” katanya. – 2 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related