Kadar murid Tahun Lima di Malaysia boleh membaca bukan 58 peratus, tetapi 88: Pakar

Band 4, 5, dan 6 adalah kumpulan murid yang boleh membaca dan jika dijumlahkan, kadar sebenar murid di negara ini yang boleh membaca adalah 88 peratus, bukan 58 peratus

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pendedahan Bank Dunia bahawa hanya 58 peratus murid di negara ini mahir membaca walaupun sudah berada di Tahun Lima, terus diperdebatkan dan mencetuskan persoalan adakah sistem pendidikan rendah di Malaysia gagal.

Laporan itu juga bukan sahaja menyaksikan pihak tertentu menuding jari menyalahkan Kementerian Pendidikan (KPM), malah ada antaranya, terutama ahli politik pembangkang terus menghentam kerajaan dengan mendakwa ia gagal menguruskan sektor berkenaan.

Menjawab isu terbabit, pensyarah kanan Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad berkata, semua pihak seharusnya berlaku adil dan jujur dengan meneliti kandungan maklumat di dalam laporan itu sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Benarkah hanya 58 peratus murid Tahun Lima sekolah rendah di negara ini boleh membaca? Riuh satu Malaysia. Ramai menuding jari menyalahkan KPM.

Pensyarah kanan Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad berkata, semua pihak seharusnya berlaku adil dan jujur dengan meneliti kandungan maklumat di dalam laporan itu sebelum mengeluarkan kenyataan – Gambar laman web UKM, 2 Mei, 2024

“Apabila membaca laporan itu dengan lengkap menerusi https://shrtm.nu/xp0, jawapannya adalah tidak kerana bukan hanya 58 peratus boleh membaca.

“Angka 58 peratus adalah murid yang boleh membaca pada skala Band 6, iaitu tahap kemahiran membaca paling tinggi,” katanya.

Beliau berkata, jika merujuk kepada Band 4, 5 dan 6, ia adalah kumpulan murid yang boleh membaca, cuma tahap kemahiran membaca sahaja yang berbeza.

Justeru, katanya, apabila dijumlahkan kadar sebenar murid di negara ini yang boleh membaca adalah pada kadar 88 peratus, bukan hanya 58 peratus.

Bagaimanapun, Anuar berkata, walaupun 88 peratus adalah angka yang baik, terdapat 12 peratus murid tidak mempunyai keupayaan membaca asas.

“Itupun di Band 2 dan Band 3. Tidak ada murid negara ini dilaporkan berada di Band 1, (namun) angka 12 peratus ini masih satu jumlah yang besar dan perlu perhatian segera untuk pemulihan,” katanya.

Semalam, laporan baharu Bank Dunia bertajuk ‘Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills’ menggambarkan sistem pendidikan Malaysia tidak menepati sasaran ditetapkan, sekali gus mencetuskan kebimbangan ramai.

Laporan berkenaan mengatakan, walaupun perbelanjaan besar diperuntukkan kerajaan untuk pendidikan, iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negar Kasar (KDNK), pembelajaran pelajar masih ketinggalan berbanding jangkaan.

Anuar mengingatkan, walaupun 88 peratus adalah angka yang baik, terdapat 12 peratus murid tidak mempunyai keupayaan membaca asas dan perlu perhatian segera untuk pemulihan – Alif Omar/Scoop, 2 Mei, 2024

Ujarnya, hanya 58 peratus pelajar di Malaysia didapati mahir membaca menjelang akhir Tahun Lima, iaitu jauh lebih teruk daripada rakan serantau, Vietnam walaupun negara berkenaan memiliki sumber lebih rendah tetapi menunjukkan hasil lebih kukuh.

Lebih membimbangkan, laporan itu menunjukkan ketidakcekapan sistem pendidikan Malaysia apabila pelajar di negara ini, menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah tetapi pembelajaran bersamaan dengan hanya 8.9 tahun, manakala di Vietnam, golongan itu mencapai 10.7 tahun pembelajaran dalam jangka masa sama.

Mengulas isu terbabit kepada Scoop, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, situasi itu berlaku kerana Malaysia tidak memiliki data lengkap seperti dikeluarkan pihak terbabit.

Katanya, data itu sepatutnya disediakan dari semasa ke semasa untuk memaklumkan kepada masyarakat, termasuk ibu bapa dan penjaga mengenai pencapaian terkini meliputi kemahiran 3M murid, iaitu membaca, menulis dan mengira.

“Ada pihak yang mengeluh terdapat pelajar tidak boleh mengikuti ataupun gagal menguasai 3M, (tetapi) soalnya benarkah kerana peratusan kita tak tahu.

“KPM sendiri saya rasa tak ada data, kalau ada data, ada baiknya kita (Malaysia) maklumkan data kita dan kita buat pemantauan kita sendiri, rasanya kita tidak ada data berterusan bagi menilai secara objektif dalam kalangan profesional yang bebas dan sesuai melakukan pemantauan ini,” katanya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan mempersoalkan kewujudan data terkini dan lengkap tentang kemahiran 3M para pelajar dalam negara – Gambar Bernama, 2 Mei, 2024

Mohamad Ali berkata, sekiranya penguasaan 3M segelintir murid di Malaysia masih lemah, ia harus diterima secara terbuka dengan mengambil tindakan proaktif serta berterusan untuk mengatasinya.

“Kita puji usaha kerajaan melaksanakan kempen membaca akhbar, tetapi ini adalah langkah ‘ad hoc’ dan apa yang saya rasa perlu diteliti adalah, apa serta sejauh mana komitmen sudah dilaksanakan untuk martabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu, ini jadi tanda tanya.

“Malah, kita perlu menyediakan infrastruktur di sekolah kebangsaan kerajaan ini pada standard kelas pertama untuk memperkasakan pembelajaran.

“Ada juga keluhan daripada ibu bapa dan penjaga mengenai akses dan perolehan kepada pendidikan jarak jauh atau secara zoom, ini barangkali antara sebab kita tak mencapai apa kita sasarkan,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan kesukaran segelintir murid mencapai standard membaca yang bagus adalah disebabkan sistem dan mutu prasekolah kurang berkualiti, terutama di kawasan luar bandar serta pedalaman, Mohamad Ali tidak menafikannya.

“Prasekolah kita ini, masalahnya ada pelbagai jenis prasekolah diasaskan banyak pihak, seperti parti politik, belia, badan bukan kerajaan (NGO) tertentu.

“Sepatutnya untuk mengawasi kualiti dan kurikulum prasekolah, ada baiknya hanya mewujudkan prasekolah dikendalikan KPM, diletakkan di dalam sekolah kebangsaan.

“Perlu ada prasekolah yang silibus dikemaskini berterusan dengan standard sekolah rendah, kita nak kesinambungan pra sekolah dengan sekolah rendah, selain kemudahan bagus,” katanya. – 2 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related