Isu peruntukan Jakim, Kementerian Perpaduan Negara: Menteri jawab fungsi kedua-duanya berbeza

Misi Kementerian Perpaduan Negara adalah untuk meningkatkan usaha baharu perpaduan untuk membina tapak integrasi bagi pengukuhan semangat muhibah dalam kalangan rakyat

3:33 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah berbeza dengan Kementerian Perpaduan Negara.

Demikian ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar ketika menjawab mengenai kenyataan dibuat bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail yang secara tidak langsung menyentuh tentang peruntukan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam termasuk Jakim.

Menurut beliau, misi Kementerian Perpaduan Negara adalah untuk meningkatkan usaha baharu perpaduan untuk membina tapak integrasi bagi pengukuhan semangat muhibah dalam kalangan rakyat.

“Misi Jakim pula adalah untuk memperkukuh tadbir urus hal ehwal Islam melalui pendekatan rahmah ke arah kesejahteraan ummah. Kita sentiasa meraikan pendapat tersebut (kenyataan seorang tokoh) serta berpandangan komentar yang dikemukakan itu adalah bersifat cadangan semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na’im berkata, secara keseluruhannya, untuk tujuan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam, sebanyak RM1.9 bilion diperuntukkan pada tahun ini.

Katanya, peruntukan tersebut adalah melibatkan kesemua agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) termasuk Jakim, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan lain-lain.

Tambah beliau, ia adalah komitmen jitu Kerajaan Madani untuk memperkukuh kedudukan agama Islam yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Secara amnya, Jakim telah diperuntukkan sejumlah RM730 juta kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), guru takmir dan imam yang dilantik di seluruh Malaysia yang berusaha bersungguh-sungguh menggerakkan usaha pembangunan insan.

“Bagi pengoperasian semasa Jakim pula, sebanyak RM249 juta diperuntukan di bawah perbelanjaan mengurus dan RM50 juta di bawah perbelanjaan pembangunan. Sejumlah RM150 juta disediakan kepada Jakim untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan Islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz,” katanya.

Beliau memberitahu, pada masa sama, Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak RM20,000 kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah Jakim.

Pemberian itu katanya, diharap adalah untuk memperkukuh peranan Sekolah Agama Rakyat dalam melahirkan generasi al-falah yang menjadi aset penting kepada pembangunan negara pada masa akan datang.


“Selain itu, sejumlah RM50 juta juga diperuntukkan untuk sumbangan khas kepada lebih 70,000 orang terdiri daripada guru takmir, guru KAFA, imam, bilal, siak, noja dan marbut yang bersungguh-sungguh menggerakkan usaha pembangunan insan.


“Bagi lain-lain agensi di bawah Sektor Kemajuan Islam dan Pengurusan Kehakiman dan Perundangan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pula sebanyak RM374 juta diperuntukkan bagi tujuan memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman syariah.

“Usaha ini dilaksana dengan memperkasa Akademi Kehakiman Syariah Malaysia dalam melatih hakim-hakim mahkamah atasan dengan lebih terancang dan berkesan. Peruntukan tersebut diperuntukkan secara bersama dengan pemerkasaan Akademi Kehakiman Malaysia,” katanya.

Dalam hal itu katanya, peruntukan yang telah diberikan kepada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah bermatlamatkan untuk membangun Malaysia Madani yang menjulang tinggi nilai agama, kesederhanaan serta saling bertoleransi yang akhirnya memberikan manfaat kepada negara.

Terdahulu Tawfik menekankan mengenai peruntukan besar yang sepatutnya diberikan kepada Kementerian Perpaduan Negara berbanding Jakim. – 30 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

LA County Coroner’s Office defers Friends star Matthew Perry’s cause of death

Authorities said they are awaiting toxicology results and further investigation with law enforcement, which could take weeks to complete, reported TMZ.

Related