Kasino Forest City: Kerajaan belum muktamad tindakan ke atas media antarabangsa

Terdahulu, sebuah portal melaporkan Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk menubuhkan kasino di Forest City

7:17 PM MYT

 

KUALA KUBU BAHARU – Kerajaan belum memuktamadkan sebarang bentuk tindakan yang akan diambil terhadap laporan media antarabangsa yang mendakwa rundingan sedang dijalankan oleh beberapa taikun untuk menubuhkan kasino di Forest City.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini beliau belum mendapat maklumat terperinci terutama melalui Jemaah Menteri.

“Saya belum dapatkan maklumat terperinci dan kita akan ada mesyuarat Kabinet, esok. Mungkin selepas itu, tetapi setakat ini saya belum terima maklumat terkini mengenainya.

“Saya juga difahamkan ada beberapa laporan polis sudah dibuat dan saya belum lihat perinciannya, jadi mungkin kena tunggu mesyuarat Jemaah Menteri terlebih dahulu,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di sini hari ini.

Sebelum ini sebuah portal melaporkan Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk menubuhkan kasino di Forest City – projek bernilai AS$100 bilion (RM480 bilion) di Johor yang didakwa sedang berdepan kemungkinan menjadi gajah putih.

Portal perniagaan itu memetik sumber yang menyebut Perdana Menteri berjumpa dengan pengasas Berjaya Corp Vincent Tan dan Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting dalam satu mesyuarat makan tengah hari minggu lalu untuk membincangkan perkara berkenaan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada lesen kasino akan diluluskan kerajaan di Forest City.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan laporan Bloomberg yang memetik sumber mengenai pertimbangan untuk lesen itu sebagai tidak betul.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama beberapa pihak berkaitan diminta segera menyelesaikan isu berkaitan liputan internet berkelajuan tinggi, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau berkata, ini berikutan terdapat aduan dan rungutan daripada orang ramai yang kurang berpuas hati dengan liputan internet disediakan pihak penyedia perkhidmatan berkenaan.

“Kita sudah membuka kaunter MCMC untuk menerima aduan daripada orang ramai kerana ada aduan mengenai masalah berkaitan liputan internet berkelajuan tinggi.

“Mereka mengadu perkhidmatan (internet) disediakan penyedia perkhidmatan tidak berada pada tahap diharapkan.

“Justeru, saya meminta MCMC bekerjasama dengan pihak berkaitan, termasuk Komuniti Madani di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu untuk mendapatkan maklumat dan maklum balas daripada orang ramai di lebih banyak kawasan,” katanya.

Sementara itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menasihatkan semua pihak supaya bersederhana dan tidak terbawa-bawa dengan emosi ketika berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Beliau berkata, perundangan sedia ada tidak membenarkan keadaan sedemikian, terutama yang menyentuh isu berkenaan bangsa, agama dan institusi diraja (3R).

“MCMC akan mengambil tindakan berlandaskan undang-undang, bukannya berpandukan selera sendiri atau nafsu politik kerana mereka adalah badan berkanun dan memiliki akta tersendiri dan bertanggungjawab kepada Parlimen.

“Tiada sikap pilih kasih, sesiapa melanggar undang-undang, misalnya menyalah guna rangkaian, boleh diambil tindakan,” katanya. – 29 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related