Rampasan 4 Bugatti Veyron antara 50 kenderaan mewah disiasat SPRM, ada kaitan 1MDB

SPRM telah memulakan siasatan berhubung isu itu sejak 2020 dengan permohonan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) ke Switzerland untuk mendapat maklumat terkini tentang aset beku berkaitan kes 1MDB

4:53 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Rampasan empat kereta Bugatti Veyron oleh pihak berkuasa Jerman di Munich yang didakwa ada kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), baru-baru ini, merupakan sebahagian daripada 50 kenderaan mewah yang terlibat dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2020.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam kenyataannya berkaitan dengan laporan berita rampasan terbaharu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Jerman yang bertanggungjawab dalam siasatan jenayah kolar putih.

Menurut beliau, SPRM telah memulakan siasatan berhubung isu itu sejak 2020 dengan permohonan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) ke Switzerland untuk mendapat maklumat terkini tentang aset beku berkaitan kes 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. – Gambar Riduan Rizal Ahmad/Scoop, 28 April, 2024

Katanya, ia telah dilaksanakan pada November 2020.

“Ini diikuti dengan mesyuarat dengan Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) berkaitan 50 kereta mewah yang terlibat dalam siasatan 1MDB pada 2021.

“Selanjutnya pada Mac 2022, satu mesyuarat dengan OAG telah diadakan di Switzerland untuk membincangkan kemajuan permohonan MLA dan mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Sehubungan itu katanya, SPRM juga telah meminta maklumat daripada pihak berkuasa Jerman mengenai dana bon 1MDB yang digunakan untuk membeli kereta mewah di Jerman pada 26 Oktober 2022.

“Dalam perkembangan terbaharu ini, SPRM telah menghantar permohonan untuk maklumat terkini daripada pihak Jerman,” katanya.

Semalam Scoop memetik laporan media Bild mengenai rampasan empat kereta Bugatti Veyron yang belum diketahui siapa pemilik kereta mewah edisi khas itu.

Empat kereta mewah itu merupakan edisi khas dikenali Rembrandt, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini.

Menurut laporan kereta mewah berkenaan dirampas dan disita Bahagian Siasatan Jenayah yang bertanggungjawab dalam siasatan jenayah kolar putih.

Setiap kenderaan itu bernilai AS$3 juta (kira-kira RM14.30 juta) dan kebiasaannya tidak dijual secara umum.

Bild menyebut, kenderaan itu dirampas bagi siasatan berkaitan skandal 1MDB.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Pada 28 Julai 2020, Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.

Pada Februari lalu, Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029. – 28 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

LA County Coroner’s Office defers Friends star Matthew Perry’s cause of death

Authorities said they are awaiting toxicology results and further investigation with law enforcement, which could take weeks to complete, reported TMZ.

Related