Perubahan iklim: Pekerja Malaysia antara 70% tenaga buruh berisiko alami sakit kronik

Bahaya itu seperti strok haba, sinaran ultraviolet (UV) berlebihan, pencemaran udara serta penyakit bawaan vektor dan agrokimia

1:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mendedahkan bahawa perubahan iklim yang semakin ketara akan menyebabkan pekerja Malaysia turut berada dalam kalangan kira-kira 70% tenaga buruh di seluruh dunia, terdedah pelbagai bahaya cuaca panas.

Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Manivanan Gowin berkata, bahaya itu seperti strok haba, sinaran ultraviolet (UV) berlebihan, pencemaran udara serta penyakit bawaan vektor dan agrokimia.

Katanya, ILO turut menjangkakan sehingga 860,000 kematian berkaitan pekerjaan akan berlaku dalam kalangan mereka yang bekerja di luar pejabat setiap tahun.

“Kematian itu diakibatkan masalah kesihatan yang dijangka meningkat disebabkan perubahan iklim termasuk penyakit kanser, kardiovaskular, masalah pernafasan, kegagalan buah pinggang dan masalah berkaitan kesihatan mental.

“Laporan ILO turut menunjukkan bahawa perubahan iklim sudah memberi kesan serius kepada 2.4 bilion pekerja yang terdedah kepada cuaca panas.

“Mereka ini mewakili lebih 70% daripada keseluruhan 3.4 bilion pekerja di seluruh dunia,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, menerusi laporan bertajuk ‘Memastikan Keselamatan dan Kesihatan Ketika Bekerja Dalam Perubahan Iklim’ ILO, ia turut menggariskan beberapa impak besar akibat perubahan iklim terhadap pekerja.

“Impak ini adalah 1.6 bilion pekerja terdedah kepada sinar UV, mengakibatkan 18,960 kematian akibat kanser kulit bukan melanoma setiap tahun. Seramai 1.6 billion pekerja terdedah kepada pencemaran udara di tempat kerja, menyebabkan hingga 860,000 kematian dalam kalangan pekerja luar pejabat setiap tahun.

“Lebih 870 juta pekerja dalam bidang pertanian akan terdedah kepada racun perosak dengan lebih 300,000 kematian dijangkakan setiap tahun, (manakala) 15,000 kematian berkaitan pekerjaan setiap tahun akibat pendedahan terhadap penyakit bawaan vektor dan parasit,” katanya.

Manivanan berkata, semua pihak perlu berganding bahu bagi membantu menangani risiko dihadapi pekerja akibat perubahan iklim yang semakin ketara di seluruh dunia.

“Sempena sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Sedunia 2024, Niosh sekali lagi menyeru semua pihak bersama-sama menjalankan tanggungjawab untuk meningkatkan tahap keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di seluruh negara.

“Ia selaras dengan hasrat Kerajaan Madani dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangani dan menurunkan kadar kemalangan, kematian dan penyakit di tempat kerja di bawah Pelan Induk KKP 2021-2025,” katanya. – 28 April, 2024

Topics

Hangat

Stormy afternoon leads to another fallen tree in KL, this time on Jalan Pinang

Road is temporarily closed with circulating photos showing the tree smashing into a vehicle as it was raining heavily

‘Tak pakai otak ke’ netizen selar sekumpulan individu memasak di stesen minyak

Tindakan sekumpulan belia yang memasak menggunakan dapur gas mini di sebuah stesen minyak dipercayai di Genting Highlands mengundang kemarahan ramai.

Lagi pokok tumbang, kali ini di Jalan Pinang, turut hempap kenderaan

Menerusi gambar yang dimuat naik di media sosial, sebatang pokok besar tumbang lalu menghempap sebuah kenderaan

Related