PTG Selangor akan siasat isu tanah ibu pelakon Amar Baharin miliki dua geran

Pelakon itu turut melahirkan penghargaan di atas keprihatinan Menteri Besar Selangor, susulan isu terbabit

10:15 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – “Ada pegawai dari pejabat tanah telefon dan maklumkan mereka akan siasat perkara ini,” ujar pelakon, Amar Baharin berhubung perkembangan kes tanah milik ibunya, Norhayati Abd Aziz, 62, diduduki individu lain.

Ketika dihubungi Scoop, Amar memaklumkan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor menghubunginya pada hari sama dia membuat pendedahan mengenai perkara berkenaan.

“Perkara ini sebenarnya sudah berlarutan sejak berbelas tahun lalu dan sampai sekarang masih belum selesai, jadi saya terpaksa dedahkannya di media sosial.

“Bila kita ikut jalan betul, tidak diendahkan jadi saya mainkan peranan (dengan dedahkan di media sosial) agar perkara seperti ini tidak berlaku kepada orang lain,” katanya.

Menceritakan kronologi kes itu, Amar, 39, berkata sejak 2010, ibu dan arwah bapanya mengemukakan aduan kepada PTG Selangor mengenai kes terbabit, namun usaha itu sia-sia kerana hingga kini masih tiada jalan penyelesaian.

“Benda ini dah berlarutan sejak berbelas tahun lagi, masa arwah ayah saya masih ada. Bila mak saya tahu tanah miliknya didirikan rumah dan diduduki orang lain, dia buat aduan di PTG Selangor namun jawapan kami terima setiap kali membuat susulan sangat mengecewakan.

“Masa 2014, kami ada simpan dokumen mengatakan PTG Selangor akan gantikan dengan tanah baharu, tapi setiap kali kami telefon mereka cakap ‘Selangor dah tiada tanah’ (untuk diberi ganti rugi),” katanya.

Ujarnya, jawapan diberikan itu mencetuskan persoalan apa sebenarnya berlaku, memandangkan pemilik rumah terbabit mengatakan, dia ada geran dan bayar cukai tanah.

“Kenapa satu tanah sampai boleh ada dua geran, macam mana perkara ini boleh berlaku.

“Ini persoalan berbangkit yang menyebabkan kekeliruan, mustahil tanah sekecil itu ambil masa sampai 10 tahun untuk diselesaikan,” katanya.

Menurut Amar, dia masih belum memikirkan tindakan akan diambil sekiranya benar isu pemilikan tanah itu mempunyai unsur rasuah seperti didakwa netizen.

“Tanah itu sebenarnya pemberian daripada arwah datuk kepada mak saya. Kalau ada unsur rasuah (berkaitan kes ini), saya tiada apa-apa tindakan (untuk diambil) sebab buat masa ini, saya cuma nak selesaikan hak milik tanah mak saya.

“Bila mereka semak dalam sistem, tanah itu masih atas nama mak saya,” katanya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menghantar mesej langsung (DM) kepada Amar meminta perincian mengenai geran tanahnya sejurus selepas membaca hantaran pelakon tersebut. – Gambar Scoop, 27 April, 2024

Mengulas lanjut, suami kepada pelakon Amyra Rosli itu melahirkan penghargaan di atas keprihatinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari susulan isu terbabit.

“Saya sangat hargai tindakan beliau komen di posting (hantaran) saya. Dari situ, beliau nampak bertanggungjawab dengan permasalahan melibatkan rakyat Selangor.

“Beliau bukan DM, sebaliknya komen pada posting, itu yang buat saya berterima kasih di atas keprihatinan Menteri Besar terhadap perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Amar menuntut penjelasan PTG Selangor berhubung kes tanah milik ibunya di Semenyih yang gerannya dikesan dikeluarkan kepada orang lain secara tidak sah.

Ammar dalam perkongsian mengenai kes itu menerusi akaun X dan Instagram mendedahkan, kejadian terbabit disedari keluarganya ketika arwah ayahnya masih hidup.

Keluarganya menyedari perkara itu apabila meninjau kawasan tanah berkenaan untuk diusahakan, namun terkejut apabila mendapati sebuah rumah dibina di situ.

“Macam mana sebidang tanah boleh ada dua geran berbeza? Mak aku pun pergilah jumpa tuan tanah itu dan bertanya. Diringkaskan cerita, tuan tanah kata itu tanah dia.

“Siap tunjuk geran (geran tampal) dan mak aku pun tunjuk geran asal yang mak aku pegang berpuluh tahun. Siap bayar cukai tanah,” katanya menerusi hantaran terbabit. – 27 April, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Closure of Bandar Sri Damansara post office worries local community – Ravindran Raman Kutty

BANDAR Sri Damansara is a unique township that is equipped with almost every amenity, including a dynamic post office. We, through the resident’s association, managed to secure this post office in the late 1990s, and our residents have been enjoying the services to date. 

Related