Muda, PSM tak bertanding PRK Kuala Kubu Baharu

Gabungan parti itu akan turut serta melakukan kempen, berperanan memberi ‘semak dan imbang’ kepada pengundi sebelum mereka mengundi

4:17 PM MYT

 

KELANA JAYA – Gabungan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) membuat keputusan tidak bertanding Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu (PRK KKB) pada 11 Mei ini.

Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, sebaliknya gabungan parti itu akan turut serta melakukan kempen, berperanan memberi ‘semak dan imbang’ kepada pengundi sebelum mereka mengundi.

“Selepas beberapa siri perbincangan bersama, Muda-PSM memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei nanti.

“Keputusan diambil bagi membolehkan pengundi di KKB melaksanakan hak mengundi mereka dan mengemukakan referendum yang kuat terhadap prestasi Kerajaan Madani.

“Selain itu membolehkan pengundi membuat keputusan (memilih) di antara parti pemerintah (penyandang) dan parti pembangkang utama,” katanya dalam sidang media di pejabat Parti Muda di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan.

Menurut Amira, Muda-PSM akan menghantar dua wakil sepanjang kempen berlangsung iaitu Timbalan Pengerusi Muda Selangor, Dr Siva Prakash dan Ketua Parlimen Sungai Besar Muda Selangor, Irfan Rendrawan bagi tujuan mendekati penduduk di KKB.

“Walaupun tidak menghantar calon bertanding, kami menggesa parti dan calon bertanding untuk memerangi politik perkauman yang menggugat keharmonian rakyat.

“Kita mahu jadi suara rakyat dengan mengetengahkan isu-isu rakyat supaya kempen ini tidak jadi kempen berasaskan kepada sentimen perkauman sebab kita lihat perkara ini sudah terjadi beberapa kali dalam PRK lain sebelum ini.

“Kita tidak menuding ia adalah Kerajaan Perpaduan atau Perikatan Nasional namun begitu kita serahkan kepada rakyat untuk memilih antara dua parti besar ini, mana satu yang memperjuang suara dan hak mereka,” katanya.

Amira menjelaskan kempen Muda-PSM mendekati penduduk di KKB tidak melanggar undang-undang peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan menyifatkan langkah yang diambil mereka suatu keperluan sebagai parti politik aktivis.

“Kalau ikut undang-undang SPR sebagai parti yang tidak bertanding kita tidak boleh kibarkan bendera di KKB.

“Namun begitu parti masih lagi boleh bergerak semasa musim pilihan raya,” katanya yang turut menafikan mereka tidak menghantar wakil kerana takut kalah dalam PRK KKB.

Berikutan keputusan tersebut, hanya dua calon akan bertanding setakat ini iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao dan Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut dalam merebut kerusi yang disandang oleh DAP selama tiga penggal.

PRK KKB yang dijadualkan pada 11 Mei ini diadakan berikutan kematian Lee Kee Hiong (PH/DAP) pada 21 Mac lalu. – 26 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

Related