Akaun 3 KWSP, dikenali sebagai Akaun Fleksibel berkuat kuasa 11 Mei ini

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar

12:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Semua akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi ahli di bawah usia 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel berkuat kuasa 11 Mei ini.

Menurut KWSP, untuk itu baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Penstrukturan semula itu bertujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kitaran hidup ahli.

Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan berikut: 75% ke dalam Akaun Persaraan, 15% ke dalam Akaun Sejahtera dan 10% ke dalam Akaun Fleksibel.

Antara 11 Mei 2024 dan 31 Ogos 2024, ahli diberi pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelumnya Akaun 2) sebagai amaun permulaan kedalam Akaun Fleksibel.

Sekiranya ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, fokus utama inisiatif penstrukturan semula akaun KWSP adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan masa depan persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, penstrukturan semula akaun KWSP dibuat untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan masa depan persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang – Gambar KWSP, 25 April, 2024

KWSP memberitahu, Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan.

Sekiranya ahli membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun-akaun yang lain (jika berkenaan) adalah berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera ahli tersebut pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh ahli.

Kaedah pindahan adalah mengikut pecahan seperti di bawah:

Baki dalam Akaun Sejahtera adalah RM3,000 dan ke atas
Pindahan akan dibuat seperti berikut:

10 per 30 (10/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel;

Lima per 30 (5/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan; dan

14 per 30 (15/30) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.

Baki dalam Akaun Sejahtera adalah kurang dari RM3,000
Pindahan akan dibuat seperti berikut:

Akaun Sejahtera yang mempunyai baki RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.

Akaun Sejahtera yang mempunyai baki melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki selebihnya adalah kekal dalam Akaun Sejahtera.

Perbezaan dalam kaedah pengagihan ini adalah untuk membolehkan ahli yang mempunyai baki simpanan yang rendah untuk turut mempunyai jumlah permulaan yang bermakna dalam Akaun Fleksibel mereka.

Sementara itu, ahli boleh membuat pilihan untuk pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel sebanyak satu kali sahaja bermula daripada tarikh kuat kuasa sehingga 31 Ogos 2024, di mana selepas ini pilihan tersebut tidak boleh dibatalkan.

Jelas KWSP, ahli yang ingin memanfaatkan pilihan tersebut boleh mengemukakan permohonan melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau Self-Service Terminal yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zulqarnain menambah, inisiatif tersebut bukan sekadar tindak balas KWSP terhadap keperluan semasa, tetapi merupakan langkah proaktif untuk membantu ahli menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan demografi penduduk serta keperluan kitaran hayat ahli KWSP.

“Dengan penambahbaikan ini, KWSP berusaha untuk memastikan setiap ahli KWSP dapat menguruskan kewangan mereka dengan yakin dan berdaya tahan dalam persekitaran yang dinamik dan mencabar ini,” katanya.

Pengeluaran Akaun Fleksibel

Terdahulu KWSP memaklumkan, ahli boleh membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel pada bila-bila masa, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.

Permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat secara dalam talian melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara. Ahli yang masih belum mendaftar KWSP i-Akaun adalah digalakkan untuk melakukannya bagi membolehkan transaksi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel dapat dilaksanakan.

Akaun 55 dan Akaun Emas

Jelas KWSP, seperti amalan sediakala, kesemua simpanan dalam Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel ahli yang telah mencapai usia 55 tahun akan disatukan ke dalam Akaun 55. Caruman baharu yang diterima oleh ahli mulai usia 55 tahun akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas.

Ahli boleh mengakses sistem sepenuhnya pada 12 Mei 2024.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP, ahli boleh mengunjungi mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara atau merujuk kepada laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau melalui KWSP i-Akaun. – 25 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

Mufti slams calls for ‘overboard’ boycott of non-Muslim businesses after ‘Allah’-printed socks debacle

Calls for non-Muslim businesses to be boycotted in the aftermath of the fiasco surrounding convenience store chain KK Mart’s sale of socks printed with the word “Allah” is “overboard and against Islamic teachings”. 

Related