Suspek lepaskan tembakan di KLIA didakwa cuba bunuh isteri

Walau bagaimanapun, Hafizul Harawi mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di depan Hakim Azrol Abdullah

10:11 AM MYT

 

SEPANG – Suspek yang melepaskan tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Hafizul Harawi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan termasuk cubaan membunuh isterinya.

Hafizul, 38, turut didakwa menyebabkan kecederaan terhadap pengawal peribadi isterinya menggunakan senjata berbahaya dalam kejadian pada 14 April lalu.

Walau bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di depan Hakim Azrol Abdullah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Mengikut Seksyen 307, Hafizul dituduh atas kesalahan cubaan membunuh isterinya, Farah Md Isa yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, Hafizul didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata bahaya iaitu pistol, yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Hafizul diwakili peguam bela, Muhammad Naim Mahmud dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron.

Terdahulu Ku Hayati mencadangkan tertuduh tidak diberikan jaminan sambil memetik fakta bahawa tertuduh telah direman dan didakwa di Kota Bharu, Kelantan selain cuba melarikan diri ke luar negara.

Namun ia dibantah Muhammad Naim yang menambah bahawa anak guamnya mempunyai hak untuk diikat jamin.

Hakim Azrol kemudiannya menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan semula kes dan pada masa sama menolak permohonan untuk menjamin tertuduh kerana ia melibatkan kes serius.

Semalam, Hafizul didakwa atas tujuh pertuduhan di Kota Bharu, Kelantan.

Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan berkenaan dan memohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki senjata api jenis pistol Glock 19 Austria, Made in Turkey yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.

Pertuduhan kedua menyatakan, lelaki itu didakwa memiliki 33 butir amunisi PMC 380 AUTO tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] boleh dihukum di bawah Seksyen 8 Akta sama yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang boleh dipenjara hingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga keping kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan per 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Dalam pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Honda Civic warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dihukum di bawah akta sama, dengan kesalahan itu boleh didenda tidak kurang RM5,000 sehingga RM20,000 atau penjara satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua duanya sekali.

Scoop sebelum ini melaporkan, seorang pengawal peribadi parah selepas terkena tembakan dilepaskan Hafizul.

Berdasarkan siasatan, suspek sebenarnya ingin menembak isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di KLIA, sebelum peluru dilepaskannya itu tersasar dan terkena pengawal peribadi terbabit.

Suspek melepaskan tembakan sebanyak dua kali sebelum satu daripada peluru itu terkena seorang pengawal peribadi. – 25 April, 2024

Topics

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

US officials to visit Malaysia over alleged funds to Iran’s drone programme, says report

Washington honing in on claimed flow of money through Southeast Asia

Related