Pang Sock Tao diumum calon PH pada PRK Kuala Kubu Baharu

Pang Sock Tao adalah Setiausaha akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

10:19 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pang Sock Tao, Setiausaha akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming diumum sebagai calon Pakatan Harapan (PH) dari DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Nama Sock Tao, 31, diumumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke di pusat khidmat wakil rakyat di Taman Gamelan, Kuala Kubu Baharu malam ini.

Sock Tao, yang lebih mesra dipanggil Pang berkata, pengalaman berkhidmat di dua kementerian memberi inspirasi kepadanya untuk membawa perubahan di kawasan terbabit.

“Saya sudah menceburi politik selama enam tahun dan pengalaman berkhidmat di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar di bawah menteri sebelum ini, Yeo Bee Yin akan memberi inspirasi untuk membawa perubahan dan pembangunan positif di kawasan terbabit,” katanya.

Pang yang berasal dari Ampang, Selangor, pernah bertugas sebagai penolong penerbit untuk Ubah TV, saluran video milik DAP.

Jelasnya, adalah menjadi harapan beliau untuk meningkatkan pembangunan ekopelancongan, kemudahan awam dan infrastruktur di Kuala Kubu Baharu.

“Selain merancakkan ekonomi setempat ia dapat menambah pendapatan rakyat, mengekalkan kesejahteraan serta kelestarian alam,” katanya yang mempunyai ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal & Elektronik (Kepujian) dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Pang turut memberi penghargaan kepada bekas Adun, mendiang Lee Kee Hiong yang banyak memberi tunjuk ajar kepada pemimpin muda DAP.

“Mendiang wajib menjadi contoh kepada semua orang termasuk saya. Jika diberi peluang saya ingin meneruskan legasinyq di kawasan ini dan memberi perkhidmatan terbaik kepada warga Kuala Kubu Baharu,” katanya.

Sementara itu, Loke yang juga Menteri Pengangkutan dalam ucapannya berkata, pemilihan calon terbabit adalah bagi menonjolkan anak muda yang berpengalaman dan berkaliber bagi mewakili Kerajaan Perpaduan.

“Antara syarat yang dinilai untuk memilih calon antaranya mesti seorang wanita, memandangkan penyandang sebelum ini seorang wanita selain kelayakan akademik serta mempunyai pengalaman dalam politik dan parti.

“Kita nak calon yang dipilih boleh jaga keharmonian Kerajaan Perpaduan,boleh jaga semua kaum, kita nak wakil rakyat yang boleh jaga Melayu, Cina, India serta Orang Asli,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat barah.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei sebagai hari pengundian dan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon.

PRK KKB adalah PRK ketujuh selepas PRU-15, dengan PRK sebelum ini adalah di Parlimen Kuala Terengganu (Ogos), Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram (September), DUN Pelangai (Oktober), DUN Jepak (November) dan Parlimen Kemaman (Disember).

Seramai 40,226 pengundi layak mengundi pada PRK Kuala Kubu Baharu ini.

Daripada jumlah itu, seramai 39,362 orang adalah pengundi biasa, 238 orang tentera dan pasangan, 625 orang polis serta seorang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

KKB ialah kerusi campuran dengan pecahan pengundi Melayu sebanyak 46%, Cina (30%) dan India (18%) serta lain-lain (6%). – 24 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

US officials to visit Malaysia over alleged funds to Iran’s drone programme, says report

Washington honing in on claimed flow of money through Southeast Asia

Related