Pengamal media lapor polis individu hina mangsa helikopter TLDM terhempas

Dia membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian malam tadi

4:48 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Di saat rakyat, terutama keluarga mangsa masih bersedih dengan insiden dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut semalam, ada individu bertindak cukup biadap apabila menulis komen melampaui batas dan menghina kru terkorban.

Justeru, seorang pengamal media, Kamal Abas, 51, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian terhadap individu terbabit yang mengeluarkan status itu di akaun X menggunakan nama Saifuddin Shafik.

“Ketika melihat perkembangan kes di media sosial, saya ternampak komen dia (Saifuddin Shafik) dengan perkataan ‘baru raptai dah mampos (mampus). Tak sempat nak perang’.

“Saya kemudian meneliti semula komen itu kerana menyangka saya tersalah faham tapi ternyata ia benar. Bagi saya komen dibuat individu ini benar-benar biadap.

“Kata-kata biadap itu sepatutnya tidak dikeluarkan ketika rakyat, khususnya kaum keluarga mangsa sedang dalam kesedihan kerana kehilangan ahli keluarga,” katanya kepada Scoop.

Kamal berkata, dia membuat laporan itu dua kali di balai polis sama selepas diminta pegawai penyiasat kes.

“Mula-mula saya buat pada waktu petang, kemudian saya buat sambungan report (laporan) awal pagi tadi, balik dari tugasan di Selama dalam jam 1 lebih pagi,” katanya.

Menurutnya, dia mengharapkan tindakan segera dan tegas diambil berhubung perkara itu.

“Kalau kata lah selepas ini ada kenyataan pemilik akaun tersebut membuat permohonan maaf atau sebagainya, sepatutnya tak boleh lah macam tu.

“Tindakan undang-undang perlu diambil supaya dapat mengekang mana-mana individu atau pelayar media sosial lain untuk tidak melakukan perkara sama,” katanya.

Terdahulu, 10 kru TLDM maut selepas dua helikopter, iaitu HOM (M503-3) dan Fennec (M502-6) bertembung serta terhempas ketika sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan HUT TLDM ke-90 di Lumut, Perak pagi semalam.

Berdasarkan maklumat diterima, kedua-dua helikopter itu, dilaporkan berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.30 pagi.

HOM terhempas di tangga Stadium TLDM, manakala Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM.

Seramai tujuh individu yang berada dalam helikopter HOM itu, dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli, iaitu Pegawai Memerintah Skuadron 503, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin (kru), Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi (kru) serta Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun (kru).

Tiga individu lain adalah Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy (penumpang), Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar (penumpang) dan Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia anak Rohna (penumpang).

Manakala, tiga kru di dalam Fennec dikenali Komander Muhamad Amir Mohamad (Pegawai Memerintah Skuadron 502), Leftenan Sivasutan Thanjappan dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi. – 24 April, 2024

Topics

Hangat

Tragedi Sg Balak: Tekad bapa selamatkan dua anak tak kesampaian, malah turut terkorban

Isteri mangsa yang berada di tepi sungai menarik suaminya ke darat dan memberi bantuan CPR tapi mangsa tidak memberi respons, dia juga menarik dua anaknya selepas mereka timbul, namun kedua-duanya sudah tidak bernyawa.

Unmasking the quiet Israeli diner who tipped well

Alleged Israeli hitman Shalom Avitan spent days dining at KL's Luce Osteria before his arrest on March 27

Tragic history: Sg Balak remains grim scene of past drownings

Popular spot for picnics, river swims claimed lives in 2021, 2022 due to swirling pools, strong currents

Related