Kes tembak KLIA: Suspek berdepan 7 pertuduhan, mengaku tidak bersalah

Hafizul Harawi mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan berkenaan dan memohon dibicarakan

11:04 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suspek kes tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 April lalu, Hafizul Harawi dihadapkan di Mahkamah Kota Bharu, Kelantan atas tujuh pertuduhan pagi ini.

Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan berkenaan dan memohon dibicarakan.

Lelaki berusia 38 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki senjata api jenis pistol Glock 19 Austria, Made in Turkey yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.

Pertuduhan kedua menyatakan, lelaki itu didakwa memiliki 33 butir amunisi PMC 380 AUTO tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] boleh dihukum di bawah Seksyen 8 Akta sama yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang boleh dipenjara hingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga keping kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan per 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Dalam pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Honda Civic warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dihukum di bawah akta sama, dengan kesalahan itu boleh didenda tidak kurang RM5,000 sehingga RM20,000 atau penjara satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua duanya sekali.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dilakukan dalam sebuah kereta Jenis Honda Civic di pekarangan sebuah pusat perubatan swasta di Kota Bharu pada jam 2 petang, 15 April 2024.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap semua pertuduhan, selain memohon tertuduh menjalani perintah tahanan reman di penjara Sungai Buloh.

Bagaimanapun, tertuduh merayu mahkamah membenarkan dirinya diikat jamin dan mohon untuk menghubungi ahli keluarga bagi lantikan peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, malah dia mempunyai kes lain di Selangor.

Namun, bagi tiga pertuduhan iaitu memiliki kad pengenalan individu lain serta nombor pendaftaran palsu, tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan masing-masing dikenakan RM10,000.

Dia ditahan reman di Penjara Sungai Buloh dan mahkamah menetapkan 23 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, Hafizul tiba di Mahkamah Kota Bharu mengenakan pakaian lokap pada kira-kira jam 8.45 pagi, dengan dikawal ketat beberapa anggota polis.

Semalam, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, Hafizul Harawi akan dibawa ke Mahkamah Sepang, Selangor sebaik selepas prosiding di Mahkamah Kota Bharu untuk pertuduhan lain.

Scoop sebelum ini melaporkan, seorang pengawal peribadi parah selepas terkena tembakan dilepaskan Hafizul.

Berdasarkan siasatan, suspek sebenarnya ingin menembak isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di KLIA, sebelum peluru dilepaskannya itu tersasar dan terkena pengawal peribadi terbabit.

Suspek melepaskan tembakan sebanyak dua kali sebelum satu daripada peluru itu terkena seorang pengawal peribadi.

Justeru, Zaki berkata, bertindak atas maklumat, suspek ditahan sepasukan polis dari Cawangan (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada 15 April lalu, jam 2 petang di hadapan pekarangan sebuah pusat perubatan swasta di Kota Bharu, selain pistol dan peluru dimiliknya dirampas.

Dia kemudian dilapor ditahan reman seminggu bermula 16 April hingga 22 April lalu, sebelum ia disambung lima hari. – 24 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Related