Nahas helikopter: Lambaian akhir kru TLDM undang sedih

Lambaian itu menjadi detik pertemuan akhir mereka selepas sebuah helikopter HOM (M503-3) terhempas akibat bertembung dengan sebuah helikopter Fennec (M502-6)

3:35 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Siapa sangka lambaian lima kru Skuadron 503 kepada rakan setugas mereka yang berlepas menaiki dua helikopter dari Kota Kinabalu ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak bagi menyertai Lintas Hormat di KD Pelandok sempena perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 menjadi pengakhiran menyedihkan.

Lambaian itu menjadi detik pertemuan akhir antara mereka selepas sebuah daripada helikopter HOM (M503-3) terbabit terhempas, selepas bertembung dengan sebuah helikopter Fennec (M502-6) dalam kejadian di Lumut pagi ini.

Foto lambaian itu dikongsikan menerusi Facebook pasukan berkenaan pada tanggal 19 April lalu, dengan status menyentuh hati.

“Lambaian penuh makna daripada sebahagian kru yang tinggal, selepas ini mereka mungkin boleh balik awal selalu? Entah, min masih mampu bersangka baik,” katanya.

Melalui keterangan dikongsikan di foto itu juga, dimaklumkan mengenai misi kru dua pesawat berkenaan, dengan turut meminta supaya didoakan urusan mereka dipermudahkan.

“Pada hari ini Skuadron 503 menghantar dua pesawat HOM AW139 bersama sembilan kru udara dan 11 juruteknik pesawat ke Lumut, Perak untuk menyertai Lintas Hormat di KD Pelandok sempena perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pada 27 April 2024, selain demonstrasi udara di Hari Terbuka Armada pada 3 hingga 5 Mei 2024 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

“Marilah sama-sama mendoakan agar urusan penerbangan dan perjalanan mereka dipermudahkan serta selamat sampai ke destinasi,” katanya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata rakan pasukan dan warga maya meluahkan kesedihan atas insiden menimpa kru TLDM terbabit.

“Rakan seperjuangan sudah balik/pulang awal ke pangkuan Ilahi, salam takziah wira negara, terima kasih atas jasa bakti menjaga perairan negara,” kata Mila Qirin.

“Siapa sangka pemergian mereka satu Malaysia tahu dan mendoakan, bukan semua orang dapat,” tulis Bakry A Fadaq.

“Allahu, jadi lambaian terakhir, alfatihah buat wira-wira negara,” ujar Dieyna Trigonahoney.

“Semoga redha dan diberi kekuatan untuk semua waris yang terlibat. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga dan warga Navy (TLDM) amnya,” kata Shahril Sahedan.

“Salam takziah. Bertepatan dengan apa admin tulis. Lambaian terakhir,” menurut seorang individu.

Terdahulu, 10 kru TLDM maut selepas dua helikopter, iaitu HOM (M503-3) dan Fennec (M502-6) bertembung serta terhempas ketika sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan HUT TLDM ke-90 di Lumut, Perak pagi ini.

Berdasarkan maklumat diterima, kedua-dua helikopter itu, dilaporkan berlepas dari Padang Sitiwan pada jam 9.30 pagi tadi.

HOM terhempas di tangga Stadium TLDM, manakala Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Seramai tujuh kru TLDM yang berada dalam helikopter HOM itu, dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi dan PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun.

Tiga lagi yang berada dalam helikopter sama, masih belum dikenal pasti pihak berkuasa.

Manakala tiga kru yang berada dalam Fennec, dikenal pasti sebagai Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan Sivasutan Thanjappan dan PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi. – 23 April, 2024

Topics

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Ice creams seized for being labelled ‘no palm oil’

Enforcement officers from the domestic trade ministry seized RM897.60 worth of ice cream with the offending label

Related