Tuduhan cabul: Tempoh lantikan penguat kuasa syariah sukarela masih sah, ditamatkan jika bersalah

Pegawai terbabit bertugas dan dilantik sebagai penguatkuasa sukarela bermula 2016

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pelantikan seorang penguat kuasa syariah (sukarela) Terengganu yang didakwa atas tuduhan mencabul kehormatan wanita semasa rondaan cegah maksiat, Khamis lalu akan ditamatkan jika dia didapati bersalah.

Bercakap kepada Scoop, Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tempoh lantikan pegawai terbabit masih sah sehingga 31 Disember 2026.

“Dia dilantik sebagai Pegawai Penguatkuasa Syariah (Sukarela) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dengan tarikh lantikan terkini 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026.

“Dia bertugas dan dilantik sebagai penguat kuasa sukarela bermula 2016,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, pegawai terbabit bakal berdepan tindakan digantung tugas dan ditarik kad kuasanya.

“Untuk tindakan awal JHEAT akan mengambil tindakan mengikut peraturan yang sedia ada iaitu menggantung tugas dan menarik balik kad kuasa daripada tertuduh.

“Sekiranya didapati bersalah proses menamatkan pelantikan akan dibuat dengan dipanjangkan ke Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM),” katanya.

Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, JHEAT memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam kes berkenaan.

“Pejabat Agama Daerah Kemaman menerima maklumat daripada Ketua Balai Polis Chukai berkaitan laporan polis oleh mangsa.

“JHEAT dimaklumkan suspek sudah dihadapkan ke Mahkamah Majestrit Kemaman hari ini,” katanya.

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, buat masa ini, pegawai terbabit bakal berdepan tindakan digantung tugas dan ditarik kad kuasanya.- Gambar FB Khalil Abdul Ghani, 23 April, 2024

Terdahulu Scoop melaporkan, sukarelawan terbabit yang berusia 53 tahun itu ditahan Jumaat lalu dan didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman semalam.

Tertuduh, Shahar Rudin Abd Rashid, 53, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencabul kehormatan gadis tersebut dan mohon dibicarakan.

Berdasarkan pertuduhan, Shahrul Rudin didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa, 25, dengan memeluk pinggang bagi maksud mencabul kehormatannya di Pantai Teluk Mak Nik.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan dengan hukuman penjara 10 tahun maksima atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Ahnaf Zaimi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan di mana tertuduh tidak boleh mendekati dan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Majistret menetapkan 20 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, mengikut laporan media pada 2018, kerajaan Terengganu berhasrat menambah sukarelawan penguat kuasa syariah bagi mengatasi masalah kekurangan penguat kuasa sedia ada di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu ketika itu, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, bilangan penguat kuasa syariah di negeri itu kira-kira 100 orang, berbanding jumlah penduduk di Terengganu iaitu 1.7 juta orang.

Menurutnya, sukarelawan yang terpilih akan diberikan kursus supaya jelas bidang kuasa dan had yang boleh mereka lakukan selain mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada. – 23 April, 2024

Topics

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Ice creams seized for being labelled ‘no palm oil’

Enforcement officers from the domestic trade ministry seized RM897.60 worth of ice cream with the offending label

Related