Operasi cegah maksiat harus dilakukan secara berkumpulan, elak fitnah dan salah faham

Wan Salim berkata, tindakan itu hanya boleh dilakukan selepas aduan diterima daripada sumber dipercayai

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tindakan penguatkuasaan operasi cegah maksiat harus dilakukan secara berkumpulan bagi mengelak fitnah dan salah faham masyarakat.

Bercakap kepada Scoop, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, tindakan itu juga hanya boleh dilakukan setelah menerima aduan daripada pihak yang boleh dipercayai.

“Bertindak secara individu dalam kes khalwat (berdua-duaan) khususnya dibimbangi boleh menimbulkan keraguan masyarakat awam mengenai niat atau tujuan sebenar di sebalik tindakan tersebut.

“Perlu diingat bahawa pegawai penguatkuasa juga adalah manusia biasa yang tidak terhindar daripada kelemahan termasuk dalam menghadapi godaan nafsu.

“Jadi adalah lebih selamat jika tindakan mencegah maksiat dilakukan secara kolektif atau berpasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbuatan seorang sukarelawan penguat kuasa syariah Terengganu yang didakwa mencabul kehormatan seorang gadis ketika rondaan cegah maksiat di pantai Teluk Mak Nik di Kemaman pada jam 7 malam, Khamis lalu.

Sebelum ini, Scoop melaporkan, sukarelawan terbabit yang berusia 53 tahun ditahan Jumaat lalu dan didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman semalam.

Tertuduh, Shahar Rudin Abd Rashid, 53, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencabul kehormatan gadis tersebut dan mohon dibicarakan.

Berdasarkan pertuduhan, Shahrul Rudin didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa, 25, dengan memeluk pinggang bagi maksud mencabul kehormatannya di Pantai Teluk Mak Nik.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, operasi cegah maksiat sepatutnya dilaksanakan pegawai penguat kuasa profesional yang dilantik, bukannya sukarelawan yang tidak ditauliahkan oleh kerajaan.

Malah katanya, tugas membasmi kemungkaran mestilah dilaksanakan mengikut peraturan dan disiplin tertentu, bukan dibuat secara semberono, kerana cara sedemikian tidak akan menghasilkan natijah yang positif sebagaimana diharapkan.

“Perlu difahami bahawa hukuman ke atas pasangan khalwat sepertimana yang dilaksanakan mengikut undang-undang syariah di negeri-negeri merupakan hukum ta’zir yang diserahkan kepada budi bicara mahkamah.

“Di Malaysia, hukum hudud tidak dikuatkuasakan termasuk dalam kes zina. Justeru, tidak dikehendaki pengakuan empat orang saksi seperti disyaratkan ke atas kes zina,” katanya.

Datuk Nooh Gadut berkata, individu yang dilantik sebagai pegawai penguat kuasa syariah perlu melalui tapisan ketat, dan mereka perlu bertindak mengikut SOP ditetapkan. – Gambar Bernama, 23 April, 2024

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Nooh Gadut berkata, kebiasaannya individu yang dilantik sebagai pegawai penguat kuasa syariah perlu melalui tapisan yang ketat dan memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Katanya, selain perlu bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, pegawai terbabit juga harus patuh kepada hukum syarak.

“Perkara macam ini (membabitkan aib) kita bimbang dalam mahkamah. Manusia tetap manusia. Itu sebab tanggungjawab pegawai penguat kuasa ini besar.

“Bukan saja perlu patuh SOP, akhlaknya harus bagus… ikhlas dan jujur kerana Allah. Berintegriti dan amanah, telus, bijaksana berpandu kepada ilmu dan SOP supaya tak timbul perkara tak sewajarnya,” katanya.

Tegasnya, tindakan cegah maksiat boleh dilakukan pegawai penguat kuasa syariah yang bertauliah tetapi perlu ada saksi semasa kejadian tersebut.

“Biasanya pegawai itu tidak datang berseorangan, dia kena bawa saksi. Berapa orang saksi itu terpulang kepada kes.

“Lebih-lebih lagi jika melibatkan kes persetubuhan haram. Dalam mahkamah akan disoal saksi-saksi itu. Jadi mesti ada saksi sebab kalau dia seorang susah nak sabitkan kesalahan,” katanya. – 23 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

‘Kucing cari Sivasutan dalam bilik hari ini,’ kata bapa mangsa nahas helikopter Lumut

‘‘Dia sangat sayangkan kucing, malah hari ini kucing naik tangga cari dia dalam bilik,’’ kata M. Thanjappan, 61 ketika menceritakan mengenai anaknya, mendiang T Sivasutan yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, semalam.

Related