PJD Link akan tangani kesesakan trafik berterusan di PJ, kata Afif

Kata ADUN Taman Medan itu, lebih 50% penduduk Petaling Jaya menyokong projek tersebut

12:26 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin membidas keputusan kerajaan membatalkan projek lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link).

Dalam video TikToknya baru-baru ini, Afif berkata, tiada alternatif ditawarkan kepada penduduk Taman Medan untuk menangani kesesakan trafik di kawasan terbabit.

Beliau mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung sudah membaca laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA), penilaian kesan trafik (TIA), dan penilaian impak sosial (SIA) yang dibentangkan oleh pemaju projek.

“Saya tidak fikir Chean Chung sudah membaca mana-mana laporan EIA, TIA, SIA. Laporan tersebut diluluskan oleh kerajaan Persekutuan November lalu, dan kesesakan lalu lintas di Taman Medan dan Petaling Jaya adalah isu serius.

“Malangnya, kerajaan tidak menyediakan sebarang alternatif. Tiada pengangkutan awam atau pelebaran jalan ditawarkan dan kami terpaksa menghadapi kesesakan ini setiap hari.

“PJD Link dicadangkan untuk menyelesaikan masalah ini. Mana alternatifnya Yang Berhormat (YB)? Jika Chean Chung membaca SIA yang disediakan, lebih 68% penduduk di Taman Medan menyokong projek ini, itu bukan segelintir.

“Lebih-lebih lagi, lebih 50% penduduk di Petaling Jaya menyokong projek ini. Saya tidak menafikan ada pihak yang menentang, tetapi kita perlu melihat satu projek pembangunan secara holistik. Projek ini sebenarnya akan membawa lebih banyak manfaat kepada penduduk Taman Medan,” katanya.

Afif juga menegaskan pembinaan lebuh raya PJD Link akan membuka peluang perniagaan, kesalinghubungan Taman Medan dan mengurangkan kesesakan dengan menghapuskan jalan pintas melalui Jalan Sri Manja, Jalan Templar dan Jalan Gasing untuk penduduk dari Puchong menuju ke Kuala Lumpur atau Damansara.

Sementara itu, Afif berkata, terdapat khabar angin bahawa jumlah pampasan yang perlu dibayar kerajaan kepada pemaju boleh melebihi RM100 juta memandangkan projek itu sudah pun diluluskan lebih awal.

“Memandangkan projek itu membawa banyak manfaat, itulah sebabnya 68% penduduk menyokong inisiatif ini. Adalah tidak tepat untuk Chean Chung mengatakan bahawa saya ingin memiskinkan orang Taman Medan kerana projek ini dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.

“Ini adalah projek konsesi. Ya betul, kita perlu bayar tol, tapi kita ada pilihan. Sama ada guna jalan Taman Medan atau guna tol melalui PJD Link, dan tiada siapa yang paksa kita.

“Malangnya, dengan pembatalan PJD Link, saya mendengar khabar angin bahawa kerajaan perlu memberi pampasan kepada pemaju.

“Projek itu tidak dibina dan ia dibatalkan, dan Chean Chung gembira projek itu dibatalkan. Tetapi kos yang perlu ditanggung kerajaan hari ini adalah hampir RM100 juta jika pemaju menuntutnya daripada kerajaan Persekutuan.

“RM100 juta ini siapa yang akan bayar Chean Chung? Duit kita pembayar cukai, dan duit rakyat akan digunakan untuk membayar pampasan kepada pemaju kerana pembatalan projek. Akhirnya rakyat tidak mendapat apa-apa faedah dan hutang kerajaan meningkat untuk membayar kepada pemaju,” tambah Afif.

Tahun lalu, PJD Link Sdn Bhd menandatangani perjanjian dengan MCC Overseas (M) Sdn Bhd untuk pembiayaan projek berjumlah RM 922 juta.

PJD Link direka bentuk sebagai sistem penyuraian lalu lintas, untuk menghubungkan dengan tujuh lebuh raya utama dan 11 persimpangan, bagi meningkatkan kesalinghubungan antara perbandaran dan mengurangkan kesesakan.

Pembatalan PJD Link diumumkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, pada 17 April lalu, dengan alasan pemaju projek gagal memenuhi enam daripada 11 syarat ditetapkan. – 21 April, 2024

Topics

Hangat

Tragedi Sg Balak: Tekad bapa selamatkan dua anak tak kesampaian, malah turut terkorban

Isteri mangsa yang berada di tepi sungai menarik suaminya ke darat dan memberi bantuan CPR tapi mangsa tidak memberi respons, dia juga menarik dua anaknya selepas mereka timbul, namun kedua-duanya sudah tidak bernyawa.

Unmasking the quiet Israeli diner who tipped well

Alleged Israeli hitman Shalom Avitan spent days dining at KL's Luce Osteria before his arrest on March 27

Shalom Avitan, pelanggan yang pendiam tapi beri tips yang banyak

“Dia akan menghabiskan masa selama beberapa jam di restoran kami, makan bersendirian dan asyik berbual di telefon tanpa kami fahami perbualannya."

Related