Titah Adendum: Elak polemik berpanjangan, Umno Terengganu tuntut kerajaan laksana

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, pelaksanaan titah itu bagi memastikan ia tidak menjadi polemik berpanjangan

6:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan terus dituntut melaksanakan Titah Adendum dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, berhubung kebenaran melaksanakan baki hukuman Datuk Seri Najib Razak menerusi tahanan rumah (house arrest), mengikut proses perundangan negara.

Terbaharu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, pelaksanaan titah itu bagi memastikan ia tidak menjadi polemik berpanjangan.

“Umno Terengganu memohon supaya pihak berkuasa melaksanakan Titah Adendum berhubung dengan pengampunan (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib, sesuai dengan proses perundangan negara agar perkara ini tidak menjadi polemik berpanjangan.

“Umno Terengganu juga menggesa semua pihak bertenang dan menerima proses yang dibenarkan di bawah kuasa Perlembagaan Agong, seperti mana pengampunan pernah diberikan kepada individu lain sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan.

Pada masa sama, Rozi berkata, Umno Terengganu menzahirkan penghargaan kepada Presiden parti merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di atas kejujuran menandatangani Afidavit Tambahan No 3, bagi menyokong petisyen Najib berhubung dengan kewujudan Titah Adendum berkenaan.

“UMNO Terengganu percaya tindakan Ahmad Zahid membuktikan beliau sentiasa konsisten berusaha dalam pembelaan terhadap Najib yang juga seorang bekas pemimpin negara,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Titah Adendum itu merujuk kepada Najib menjalani tempoh baki hukuman pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika pertemuan di rumah Presiden Umno berkenaan di Country Heights, 30 Januari tahun lalu.

Ahmad Zahid berkata, beliau melihat dan membaca Titah Adendum itu dan jelas dengan isi kandungannya.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa untuk tempoh masa mencukupi saya melihat dan membaca Titah Adendum, malah saya melihat dengan jelas semua kandungannya serta bahawa ia adalah sebahagian daripada proses pengampunan pemohon (Najib) yang menjadi tambahan kepada titah utama, kedua-duanya bertarikh 29 Januari 2024.

“Justeru, saya dengan ini mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong (ketika itu).

“Saya juga percaya, selain saya dan Tengku Zafrul, anggota kerajaan lain sudah melihat Titah Adendum itu. Secara khusus, saya sedar bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga sudah melihat salinan Titah Adendum dan boleh mengesahkan perkara sama,” katanya. – 18 April, 20204

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Related