Titah Adendum: Puad Zarkashi desak kerajaan terus-terang, laksana segera

Beliau turut percaya titah dikeluarkan Al-Sultan Abdullah itu benar dan sememangnya wujud

6:13 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi mendesak kerajaan berterus-terang dengan kewujudan Titah Adendum (tambahan) dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 bagi membenarkan Datuk Seri Najib Razak, menjalani pelaksanaan baki hukuman menerusi tahanan rumah (house arrest) dan melaksanakannya segera.

Bercakap kepada Scoop, Puad menegaskan beliau percaya Titah Adendum dikeluarkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung kes bekas Perdana Menteri itu, benar dan sememangnya wujud.

Katanya, kerajaan tidak perlu bersikap defensif, termasuk kemungkinan pelbagai tanggapan buruk rakyat dilemparkan terhadap kepimpinan negara ini susulan isu berkenaan.

“Saya yakin benda itu (Titah Adendum) benar dan kerajaan kena laksanakan segera titah tersebut.

“Kenapa saya kata ia benar…kerana Zahid dalam kerajaan, beliau TPM (Timbalan Perdana Menteri), selaku TPM, beliau (sampai) sanggup buat afidavit dan Peguam Negara pun tiada buat penafian selepas dua bulan (berlalu sejak titah didakwa dikeluarkan), jadi saya anggap benda itu betul.

“Malah, Tengku Zafrul pun tidak menafikan, jadi pada saya daripada benda ini berpanjangan termasuk kerajaan akan dituduh macam-macam, termasuk ingkar perintah (mantan) Yang Dipertuan Agong, jalankan sahajalah (jalani hukuman house arrest kepada Najib),” katanya.

Setiausaha Veteran Umno Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub turut memberikan kenyataan senada, dengan mendesak kerajaan berterus-terang mengenai Titah Adendum itu dan segera melaksanakannya jika ia wujud.

Menurutnya, kerajaan perlu berbuat demikian bagi menjelaskan kepada rakyat jelata, selain mengelak sebarang kekeliruan dan buruk sangka dilemparkan, lebih-lebih lagi daripada penyokong Najib sendiri.

“Bila berlaku seperti ini (kekeliruan tentang kewujudan Titah Adendum), maka rakyat dalam keadaan keliru dan ia akan menimbulkan rasa curiga pada kerajaan sekarang.

“Sebab yang berkuasa dalam Lembaga Pengampunan itu, keanggotaannya antaranya adalah Menteri Dalam Negeri (Datuk Saifuddin Nasution Ismail) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Undang-Undang dan Reformasi Institusi (Datuk Azalina Othman Said), jadi bermakna ada dua menteri yang tahu cerita sebenar.

“Kita hendak kerajaan berterus-terang…bukan kepada Najib, tetapi kepada rakyat. Kalau ya, maka laksanakanlah…kenapa tidak dilaksanakan sedangkan ia adalah itah Agong pada ketika itu,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Titah Adendum itu merujuk kepada Najib menjalani tempoh baki hukuman pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika pertemuan di rumah Presiden Umno berkenaan di Country Heights, 30 Januari tahun lalu.

Ahmad Zahid berkata, beliau melihat dan membaca Titah Adendum itu dan jelas dengan isi kandungannya.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa untuk tempoh masa mencukupi saya melihat dan membaca Titah Adendum, malah saya melihat dengan jelas semua kandungannya serta bahawa ia adalah sebahagian daripada proses pengampunan pemohon (Najib) yang menjadi tambahan kepada titah utama, kedua-duanya bertarikh 29 Januari 2024.

“Justeru, saya dengan ini mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong (ketika itu).

“Saya juga percaya, selain saya dan Tengku Zafrul, anggota kerajaan lain sudah melihat Titah Adendum itu. Secara khusus, saya sedar bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga sudah melihat salinan Titah Adendum dan boleh mengesahkan perkara sama,” katanya.

Afidavit itu boleh dimuat turun orang awam menerusi laman web e-Kehakiman. – 18 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Related