Pembatalan PJD Link: Tolong beri cadangan alternatif atasi kesesakan, ‘majoriti penduduk sokong pembinaan’

Afif berkata, ketiadaan cadangan itu menunjukkan Ahli Parlimen Petaling Jaya dan Ahli Parlimen Damansara gagal fahami kehendak serta keresahan rakyat

8:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Majoriti penduduk di Taman Medan, Petaling Jaya menyokong projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link), memandangkan mereka sudah berdepan masalah kesesakan terlampau lama di kawasan itu.

Bercakap kepada Scoop, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Dr Afif Bahardin berkata, sepatutnya kerajaan membangunkan projek untuk mengatasi masalah itu.

“Keputusan ini (meneruskan projek pembinaan) harus datang daripada kerajaan.

“Majoriti penduduk di Taman Medan menyokong (PJD Link) kerana kami sudah berhadapan dengan masalah kesesakan (jalan raya) ini terlampau lama,” katanya.

Justeru, Dr Afif menegaskan, keputusan Kerajaan Perpaduan membatalkan PJD Link harus disusuli dengan cadangan alternatif untuk menyelesaikan masalah kesesakan kawasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Dr Afif Bahardin. – Gambar fail Scoop, 18 April, 2024

Menurutnya, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo mesti memberikan cadangan itu untuk mengatasi kemelut terbabit.

Dr Afif berkata, tidak cukup untuk kedua-dua pemimpin itu sekadar mengeluarkan kenyataan kerajaan ingin membina kemudahan pengangkutan awam, tetapi tiada cadangan konkrit bagi menjayakannya.

“Pada saya, kedua-dua Ahli Parlimen (Petaling Jaya dan Damansara) ini gagal untuk fahami kehendak dan keresahan rakyat di bawah. Sebagai pembuat keputusan, sila berpegang kepada fakta,” katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil mengumumkan, kerajaan membatalkan PJD Link.

Fahmi berkata, Kabinet bersetuju membatalkan projek itu selepas pemajunya gagal memenuhi enam daripada 11 syarat ditetapkan.

Fahmi Fadzil mengumumkan kerajaan membuat keputusan membatalkan pembinaan projek PJD Link selepas pemaju gagal memenuhi beberapa syarat ditetapkan. – Gambar Azim Rahman/Scoop, 18 April, 2024

Malah, Kementerian Kerja Raya (KKR) dijangka mengeluarkan kenyataan memperincikan keputusan di sebalik pembatalan projek itu.

“(Wakil daripada) PJD Link meminta masa tambahan untuk memenuhi beberapa syarat duluan, tetapi permintaan mereka ditolak kerajaan.

“Akibat kegagalan mereka memenuhi syarat terdahulu, projek itu tidak akan diteruskan,” kata Fahmi.

PJD Link adalah lebuh raya berkembar sepanjang 25.4 kilometer (km) membabitkan empat lorong yang pembinaannya dirancang sejak beberapa tahun lalu.

Laluan lebuh raya itu dirancang bermula selepas Plaza Tol Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Damansara dan berakhir di Persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil.

Selain NKVE dan SPRINT, PJD Link akan mempunyai sambungan utama dengan empat lebuh raya lain, iaitu Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) serta Lebuhraya Bukit Jalil.

Ilustrasi jajaran asal mengikut cadangan pemaju PJD Link. – Gambar PJD Link, 18 April, 2024

Projek itu bermatlamat menambah baik dan mengurangkan kesesakan lalu lintas, selain memenuhi pertumbuhan kenderaan dalam jangka panjang di kawasan Lembah Klang, termasuk di Taman Medan.

Namun, pelbagai kemelut melanda PJD Link, dengan segelintir komuniti, terutama penduduk di sekitar projek pembinaan itu termasuk Taman Medan menyokong penuh pembinaan berkenaan, manakala sebahagian membantah.

Bagi mereka yang menyokong, projek itu dikatakan akan menguntungkan pengguna kenderaan dalam jangka panjang kerana sudah ‘letih’ menghadapi kesesakan teruk dan memudahkan urusan mereka.

Golongan penentang pula menyatakan pelbagai alasan, antaranya ia dikhuatiri memberi impak terhadap sekolah berhampiran dari segi pelajar terganggu susulan bunyi bising projek, selain mereka mungkin terkesan dengan pencemaran akibat kerja pembangunannya, terutama kepada yang menghidap asma dan penyakit berkaitan pernafasan.

Dakwa mereka, ia juga mungkin membabitkan perobohan beberapa penempatan penduduk dan menganggap projek itu tidak relevan, memandangkan kawasan berkenaan mempunyai pengangkutan awam.

Terdahulu, melalui kenyataan beliau kepada Scoop pada Februari lalu, Dr Afif berkata, menerusi perbualannya bersama penduduk mengenai pembinaan PJD Link, sememangnya ada kelompok bersetuju dan sebahagiannya membantah projek itu.

Justeru, katanya, beliau menasihatkan kerajaan bahawa kemelut itu bukan sahaja boleh diselesaikan dengan melakukan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) secara menyeluruh yang dikelolakan Jabatan Alam Sekitar dan agensi kerajaan berkaitan, malah menjalankan kajian sikap lebih inklusif ke atas penduduk.

“Kalau saya bercakap kepada penduduk, terutamanya yang tinggal di Taman Medan, Kampung Dato’ Harun dan sebagainya, dengan sebahagian besar daripada mereka bekerja daripada Puchong, mereka memberitahu saya ada keperluan (dibina lebuh raya baharu) kerana masalah jalan yang sesak.

“Tetapi saya juga mendengar mengenai mereka di sebelah sini (membantah), iaitu di Bukit Gasing, kawasan Petaling Jaya yang mana menyatakan mereka tak setuju untuk ada lagi satu highway (lebuh raya).

“Kena buat kajian sikap yang menyeluruh mengenai perkara ini, daripada situ nanti baru kita boleh tahu siapa perlukan, siapa tak perlukan dan adakah ini solusinya,” katanya.

Menurut Dr Afif, kajian sikap secara telus berkenaan diperlukan mana-mana projek pembinaan mega, supaya data diperoleh itu digunakan untuk berhujah dan melaksanakan apa juga yang ingin dilakukan, termasuk membabitkan PJD Link.

“Kajian sikap itu memberikan maklum balas sebenar, malah kenapa penduduk bantah, contohnya adakah kerana pokok akan dipotong, adakah takut laluan itu jalan atas rumah dia, kita kena tahulah.

“Jadi kalau kita ada benda (kajian sikap) tu documented (secara dokumentasi) adalah lebih baik daripada bermain dengan polemik dan sentimen semata-mata,” katanya. – 18 April, 2024

Topics

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Dr Mahathir plotted against DAP during first Pakatan govt, Noh Omar claims

Former Umno man also questioned his former party's 'gratitude' to PH component, it's longtime rival.

Bar Council’s challenge of Pardons Board decision to reduce Najib’s sentence is ‘unprecedented’: Hamid Sultan

Retired judge says he has never heard of an attempt to impair a prisoner's constitutional rights, or an injunction to restrict their rights

Related