PM, isteri bertemu keluarga Nadir, ‘anak-anaknya teruja lihat telur, tembikai’

Terdahulu, Nadir dalam catatannya berkata, Perdana Menteri adalah individu penting yang memainkan peranan utama dalam misi membawa keluar keluarganya dari Gaza

9:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertemu dengan aktivis kemanusiaan, Muhammad Nadir Al-Nuri dan keluarganya yang berjaya dibawa keluar dari Gaza di Kompleks Seri Perdana, hari ini.

Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan itu, Nadir berkongsi kisah meruntun perasaan mengenai anak-anaknya yang teruja melihat telur dan tembikai sebaik tiba di Malaysia.

“Ini kerana sudah berbulan lamanya mereka tidak dapat menikmati makanan asas itu akibat situasi perang yang terus memburuk di sana.

“Alhamdulillah, gembira melihat isteri dan anak-anaknya kini berada dalam keadaan baik selepas melalui penderitaan yang panjang di Semenanjung Gaza,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Nadir dalam catatannya berkata, Anwar adalah individu penting, yang memainkan peranan utama dalam misi membawa keluar keluarganya dari Gaza, saat wilayah Palestin itu diserang tentera Israel.

Perkara itu dikongsikannya dalam catatan ‘183 Hari Yang Panjang’ menerusi hantaran di akaun Facebook serta Instragram beliau, malam kelmarin.

Beliau menyifatkan misi membawa keluarganya dari Gaza itu sebagai ‘misi gila’, kerana bukan mudah untuk membawa keluar keluarganya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus di Gaza, selain ketegangan di sempadan yang berlanjutan.

“Namun secara senyap pemimpin negara (Anwar) menghubungi pihak sana. Ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain,” katanya.

Nadir juga berkata, proses misi berkenaan berjalan cepat, teratur dan lancar, walaupun dipenuhi dengan 1,001 cabaran tersirat.

Sementara itu, dalam hantaran tersebut, Anwar turut mendoakan Nadir dan keluarganya dapat meneruskan kehidupan dengan tenang selepas ini.

“InsyaAllah, saya akan terus membantu sedaya upaya dalam memudahkan urusan menyalurkan bantuan kemanusiaan dari Malaysia kepada rakyat Palestin,” katanya. – 17 April, 2024

Topics

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

AstraZeneca acknowledges rare Covid-19 vaccine side effects amid legal battle 

However, company emphasises regulators worldwide agree benefits outweigh risks of extremely rare potential risks

Perlis MB Shukri Ramli detained after MACC quizzing on son’s graft probe

PAS leader held at agency’s headquarters in Putrajaya this morning

Related