Banjir: Ratusan keluarga ditempatkan di PPS Negeri Sembilan, Melaka, Selangor

Beberapa stesen sungai turut merekodkan bacaan pada paras berjaga-jaga dan bahaya setakat 7 pagi tadi di Negeri Sembilan, iaitu di Sungai Linggi serta Sungai Triang

11:23 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Situasi banjir yang semakin memburuk di Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor, menyaksikan semakin ramai mangsa terus dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di situ, sehingga jam 8 pagi ini.

Menerusi Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), seramai 40 mangsa dipindahkan ke Balai Raya Kampung Permatang susulan banjir di Teluk Kemang.

Katanya, JBPM Negeri Sembilan menerima panggilan kecemasan pada jam 2.02 pagi mengenai kejadian banjir di Pusat Pengajian Anak Yatim dan Warga Emas Darul Widad, Kampung Permatang Pasir, Teluk Kemang.

“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Kemang menghantar pasukan bomba seramai 12 orang anggota diketuai Komander Operasi Kanan PPgB, Azizee Alias yang bergegas ke tempat kejadian bersama satu unit kenderaan FRT, sebuah lori dan satu unit kenderaan Navara.

“Komander Operasi Kanan mengesahkan bahawa kejadian banjir ini melibatkan 40 orang mangsa.

“Mangsa kemudiannya dikeluarkan pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke tempat selamat, iaitu di Balai Raya Kampung Permatang. Keadaan semasa adalah terkawal,” katanya.

Bernama pula melaporkan, sebuah PPS dibuka di Balai Raya Permatang Pasir, Port Dickson awal pagi tadi susulan bencana itu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan memaklumkan, PPS itu dibuka pada jam 4.08 pagi dengan menempatkan 46 orang daripada dua keluarga.

“Beberapa stesen sungai turut merekodkan bacaan pada paras berjaga-jaga dan bahaya setakat 7 pagi tadi, iaitu di Sungai Linggi dan Sungai Triang, Jelebu,” katanya.

Angkatan Pertahanan Awam Melaka membantu memindahkan mangsa banjir di Durian Tunggal. – Gambar ihsan Angkatan Pertahanan Awam, 17 April, 2024

Manakala, sebuah PPS dibuka di Alor Gajah selepas hujan lebat sejak petang semalam bagi menempatkan 51 mangsa setakat jam 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, mangsa terlibat terdiri daripada 13 keluarga dari sembilan kampung di daerah berkenaan.

Mereka ditempatkan di Balai Raya Balik Balai dibuka pada jam 9 malam semalam.

“Kampung terlibat ialah Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Padang Keladi, Kampung Taboh Naning, Pelan Lubok China, Kampung Sungai Jernih, Taman Masjid Tanah Ria, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Durian Tunggal dan Kampung Brisu,” katanya.

Sementara itu, dua PPS dibuka di Selangor pagi ini susulan hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Sungai Buloh dan Subang, semalam.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak dan PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields menempatkan 374 mangsa daripada 88 keluarga.

Menurutnya, satu pos kawalan hadapan bomba turut dibuka di PPS SK Merbau Sempak.

“BBP Bukit Jelutong ditugaskan dalam operasi banjir membabitkan kawasan Jalan Jati di Kampung Melayu Subang, BBP Rawang serta BBP Sungai Buloh di Kampung Kubu Gajah.

“Manakala BBP Bestari Jaya di Kampung Sri Aman dan Taman Saujana Aman,” katanya. – 17 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

[WATCH] Just what the doctor ordered: prescriptions for a better Malaysia

In the face of attempts to sow discord among the various races in the country, cardiothoracic surgeon Datuk Dr Venugopal Balchand stands ready to staunchly defend national unity and harmony in a heartbeat.

Related