Memenuhi keperluan semasa, KPM tempatkan 6,034 guru baharu sejak 15 April

Pelantikan guru baharu COS adalah cerminan komitmen berterusan Kerajaan Madani untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara

10:15 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sudah menempatkan 6,034 orang guru baharu Lantikan Secara Kontrak (COS) di sekolah di bawah kendaliannya di seluruh negara bermula 15 April lalu.

Menerusi kenyataan KPM, seramai 1,858 daripada keseluruhan jumlah guru baharu COS itu, ditempatkan di sekolah menengah, manakala 4,176 lagi di sekolah rendah.

“Penempatan guru baharu COS dibuat berdasarkan kepada tiga prinsip asas, iaitu kepentingan perkhidmatan, kekosongan perjawatan serta keperluan opsyen atau mata pelajaran semasa di sekolah,” kata kementerian dalam kenyataan di Facebook.

Ujarnya, KPM ingin menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) atas lantikan guru baharu COS bagi memenuhi keperluan semasa di sekolah.

“KPM dan SPP akan terus bekerjasama erat bagi memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi.

“Pelantikan guru baharu COS adalah cerminan komitmen berterusan Kerajaan Madani untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara,” katanya.

Terdahulu, pada 1 April lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya akan membuat pengumuman berhubung pengambilan guru baharu dalam masa terdekat.

Menurutnya, ia adalah usaha dan komitmen berterusan kementerian untuk menampung isu kekurangan guru dalam negara.

Fadhlina berkata, beliau tidak fikir ia masalah yang tidak boleh ditangani kerana daripada segi perancangan dan unjuran kementerian serta kemasukan guru dilatih KPM bagi mengisi setiap kekosongan, usaha menampung kekurangan guru sangat baik.

Katanya, namun KPM akan mengambil kira isu unjuran ini bersama SBP (sekolah berasrama penuh), supaya mendapat maklumat lebih tepat dan pengisian berkenaan berlaku dengan segera.

Pada Februari lalu, KPM memaklumkan, kementerian itu melantik 18,792 guru baharu sepanjang 2023, dalam usaha menangani kekurangan golongan pendidik di negara ini.

Katanya, 9,155 daripada jumlah tersebut ditempatkan di sekolah rendah, manakala 9,637 lagi di sekolah menengah. – 17 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related