Boikot melampau tidak patut digalakkan, cermin sifat taksub dan kedengkian: Mufti

Boikot perlu dilakukan sekadar diperlukan sahaja atau secara sederhana sahaja sebagai tanda protes

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perbuatan boikot secara melampau tidak patut digalakkan kerana ia mencerminkan sifat taksub dan kedengkian, sekali gus merosakkan agama serta akhlak umat Islam.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, tindakan boikot mana-mana restoran, syarikat atau premis perniagaan yang didapati melakukan penghinaan terhadap agama Islam atau membantu musuh umat Islam secara prinsipnya boleh dianggap wajar.

Bagaimanapun katanya, tindakan itu perlu dilakukan sekadar diperlukan sahaja atau secara sederhana sahaja sebagai tanda protes.

Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, rakyat di negara ini perlu menggunakan kewarasan dan kebijaksanaan dalam mengurus kepelbagaian supaya tidak menambahkan lagi ketegangan yang boleh membawa kepada pergaduhan yang merugikan semua pihak – Gambar Facebook, 17 April, 2024

“Agama Islam tidak suka umatnya bersikap ekstrem dan taksub walaupun atas nama agama. Sikap sedemikian lazimnya didorong oleh kejahilan serta fikiran tertutup golongan yang tidak boleh bertolak ansur terhadap orang lain yang berbeza pandangan dan kepercayaan dengannya.

“Dalam dunia global hari ini, kehidupan bersama antara sesama warganegara yang berbeza etnik, agama dan budaya adalah realiti yang mesti diakui. Di sinilah persefahaman dan toleransi amat mustahak,” katanya kepada Scoop, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan segelintir invidividu yang menyamakan pelanggan sedang menikmati makanan di sebuah restoran makanan segera umpama anjing dan babi.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk dan ada kalanya berlaku kejadian yang mengguris atau menyinggung perasaan mana-mana pihak sama ada disengajakan atau tidak.

Mufti turut mengingatkan bahawa kelainan dan kepelbagaian menjadi faktor positif yang menguntungkan, bukan sebaliknya dijadikan sebab untuk saling membenci dan bermusuh-musuhan. Gambar sekadar hiasan – Gambar Scoop, 17 April, 2024

Susulan itu, katanya, rakyat di negara ini perlu menggunakan kewarasan dan kebijaksanaan dalam mengurus kepelbagaian supaya tidak menambahkan lagi ketegangan yang boleh membawa kepada pergaduhan yang merugikan semua pihak.

“Dilihat daripada perspektif Islam, kepelbagaian adalah sesuatu yang lumrah. Ia adalah kehendak Allah SWT supaya manusia dapat berkenal-kenalan dan saling memanfaatkan kelebihan yang wujud dalam setiap bangsa dan kabilah.

“Dengan demikian kelainan dan kepelbagaian menjadi faktor positif yang menguntungkan, bukan sebaliknya dijadikan sebab untuk saling membenci dan bermusuh-musuhan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa semua rakyat di negara ini supaya sentiasa bekerjasama dalam memupuk dan menyuburkan lagi perpaduan dan toleransi antara satu sama lain.

“Sikap toleransi itu penting demi mewujudkan keamanan negara dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

“Jika berlaku kejadian yang tidak diingini atau tidak disenangi, maka hendaklah ditangani dengan berhikmah dan bijaksana melalui rundingan, bukan dengan memberi reaksi melampau atau tidak rasional,” katanya. – 17 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related