Isu peribadi dengan isteri kekal motif utama suspek lepaskan tembakan di KLIA

Berdasarkan soal siasat, polis mendapati suspek seorang yang normal

12:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Isu peribadi di antara suspek dan isteri kekal menjadi motif utama dalam insiden tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, pada Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, setakat ini pihaknya tidak mengesan sebarang motif lain yang mendorong suspek, Hafizul Harawi, 38, bertindak sedemikian.

Menurut beliau, berdasarkan soal siasat, polis mendapati suspek seorang yang normal.

“Setakat ini pihak kami tidak mengesan sebarang unsur lain yang mendorong suspek untuk bertindak cuba menembak isterinya.

“Suspek akan dibawa ke Selangor untuk tindakan lanjut serta beberapa saksi juga akan dipanggil bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.

Shuhaily berkata, suspek menggunakan pistol jenis Glock 19 Austria yang dipercayai diperoleh secara haram dari negara jiran dan siasatan sedang dilakukan berhubung bagaimana senjata api itu diseludup masuk ke dalam negara.

Dalam pada itu Shuhaily berkata, suspek juga sempat ke hospital swasta di Kelantan untuk mengambil laporan perubatan sebelum dia ditahan pada jam 3 petang semalam.

Menurutnya, polis masih lagi menyiasat tujuan suspek berbuat demikian sama ada untuk tujuan permohonan visa atau sebaliknya.

“Apa tujuan laporan perubatan sama ada mahu memohon visa atau sebaliknya, kita masih menjalankan siasatan.

“Bagaimanapun, suspek sudah membuat pemeriksaan kesihatan di hospital swasta berkenaan sebelum kejadian tembakan dan suspek hadir semalam untuk mengambil laporan,” katanya.

Polis juga mengesahkan suspek bertindak seorang diri dan terus melarikan diri ke Kelantan selepas insiden tembakan itu.

Terdahulu, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Isnin depan.

Tahanan reman ke atas Hafizul Harawi, 38, dikeluarkan Mahkamah Majistret di sini bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Scoop sebelum ini melaporkan, seorang pengawal peribadi parah selepas terkena tembakan dilepaskan suspek terbabit dalam kejadian pada jam 1.30 pagi Ahad lalu.

Berdasarkan siasatan, suspek sebenarnya ingin menembak isterinya yang dikenali sebagai Ustazah Farah Cie yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di KLIA, sebelum peluru dilepaskannya tersasar dan terkena pengawal peribadi terbabit.

Menurutnya, suspek melepaskan tembakan sebanyak dua kali sebelum satu daripada peluru itu terkena seorang pengawal peribadi yang kini dirawat di Hospital Cyberjaya. – 16 April, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Related